| Album: Rossa Artis:Rossa |
SATU perkara yang dilakukan rakan media sebaik memperolehi album terbaru daripada artis popular seberang Roslaina Sri Handayani atau Rossa, sama ada nama suaminya juga anggota kumpulan Padi, Yoyo Presetyo disenaraikan dalam ucapan aluan atau tidak.
Puas dibelek ternyata ia tidak dicatatkan kecuali dalam senarai pencipta lagu. Jelas ucapan dirakamkan untuk anak tunggalnya Rizky Langit Ramadhan dan ahli keluarga.
Perkara itu secara tidak langsung membuatkan pihak media dapat menghidu masalah rumah tangga yang dihadapi Rossa dan hangat diperkatakan sebelum ini masih berlanjutan.
Lihat saja beberapa lirik lagu dimuatkan dalam album ini, ia bagaikan menceritakan luahan hatinya mengenai pergolakan yang berlaku.
Sayu, pilu, sedih kerana dikhianati dan tidak lagi dicintai seakan menjadi tema kepada keseluruhan album kesembilan dihasilkan Rossa.
Penghayatan sangat baik dipersembahkan Rossa menerusi lagu Hati Yang Kau Sakiti ciptaan anggota kumpulan Ungu, Enda.
Mendengarkan nyanyiannya dalam dua versi iaitu pop balada dan akustik piano seakan penyanyi kelahiran Sumedang, Jawa Barat ini benar-benar merasai apa yang disampaikan.
Album Rossa bermula baik dengan lagu rentak rancak, Hey Ladies yang dicipta Melly Goeslow, memaparkan mesej agar wanita tidak mudah lemah dan mengalah apabila dikecewakan.
Hampir sebahagian besar lagu ini menceritakan mengenai bagaimana wanita seharusnya bangun dan berpandangan positif, dalam berhadapan dengan apa saja situasi kurang menyenangkan membabitkan perhubungan dua jiwa.
| |
Begitupun Yoyo turut menyumbangkan karya dalam album ini apabila menghasilkan lagu yang tidak kurang menarik melodinya iaitu Terlanjur Cinta yang didendangkan Rossa secara duet bersama Pasha dari kumpulan Ungu dan Impas.
| |
| |
Album ini menjadi lebih mantap apabila hampir keseluruhan lagu dimuatkan diterbitkan dan disusun kembali Melly bersama suaminya Anto Hoed. Begitu pun beberapa nama besar penggiat industri muzik seberang, seperti Tohpati, Andi Rianto, Pongky turut membantu.
Antara lagu lain turut dimuatkan dalam album ini seperti Tega, Cerita Cinta, Keajaiban Cinta, Sakit Hatiku, Takkan Berpaling Dari-Mu dan Kecewa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: