PADANG BESAR - Sepasang pelancong suami isteri dari Sepanyol mengharungi detik cemas hampir lima jam apabila salah seorang daripada mereka terjatuh ke dalam gaung ketika mendaki Gunung Perlis di Taman Negeri Wang Kelian dekat sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 malam kelmarin, mangsa yang jatuh, Alfredo Elamo Pasqual, 47, bagaimanapun terselamat apabila tersangkut pada sebatang pokok pada jarak kedalaman 10 meter ketika tergelincir ke dalam gaung sedalam 500 meter itu.
Ekoran kejadian itu, isteri mangsa, Montserrati Ortiz, 48, terpaksa berpatah balik dan bergegas turun dari gunung tersebut setelah mendaki pada ketinggian 732.11 meter bagi mendapatkan bantuan.
Renjer Jabatan Perhutanan Perlis, Abdul Aziz Abdullah, 48, memberitahu, kejadian malang menimpa pasangan itu dipercayai akibat keengganan mereka menggunakan khidmat jurupandu yang cuma mengenakan bayaran RM60.
"Sebaik sahaja diberitahu mengenai kejadian itu, saya bersama dua kakitangan di Taman Negeri bergegas ke tempat kejadian dan apabila sampai, mangsa sedang mengerang kesakitan dan tersangkut pada sebatang pokok," katanya ketika ditemui selepas operasi menyelamat di sini semalam.
Mangsa akhirnya berjaya diselamatkan pada pukul 11.30 malam oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat serta renjer terbabit sebelum dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini untuk menerima rawatan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: