Sunday, April 26, 2009

Pasar tani bakal berubah wajah - Petani guna karavan pasarkan hasil pertanian


NOH (tengah) meninjau gerai Maulud Mohd. Tan (kiri) yang menjual keli salai di pasar tani tapak MAHA, Serdang semalam.


SERDANG – Pasar tani di negara ini bakal berubah wajah ekoran keputusan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang mahu konsep karavan atau pasar tani bergerak dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun bagi menggantikan penggunaan kanopi ketika ini.

Menterinya, Datuk Noh Omar memberitahu, kementeriannya kini menjalin kerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi memastikan perancangan itu berjalan lancar, sekali gus dapat meningkatkan pendapatan dan potensi pasar tani secara keseluruhan.

Katanya, dengan penggunaan karavan tersebut, pengusaha pasar tani akan mempunyai lebih banyak masa dan tempat untuk berniaga dan tidak terhad pada satu-satu kawasan dan berniaga pada hari-hari tertentu sahaja.

“Saya akan minta kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya memberi kebenaran kepada karavan-karavan itu untuk berniaga di tempat-tempat tumpuan awam dan mereka juga boleh masuk ke dalam kawasan perumahan untuk menjalankan perniagaan.

“Saya mahu para pengusaha ini bergerak bebas untuk mencari pelanggan, kerana dengan cara ini mereka dapat menjana lebih pendapatan,’’ kata Noh ketika ditemui di pasar tani tapak Pameran Pertanian Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) di sini semalam.

Selain itu, katanya, penggunaan karavan juga akan membolehkan orang ramai tidak perlu bersusah-payah untuk keluar mendapatkan bahan-bahan mentah kerana ia boleh didapati melalui karavan yang masuk ke kawasan perumahan mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: