Wednesday, April 1, 2009

Pulang selepas setahun ditahan


SITI Aishah dibebaskan hukuman penjara tiba di KLIA semalam. Turut kelihatan suaminya Jaafar (bersongkok kanan).



KERATAN Kosmo! 30 Mei 2008.


SEPANG - Suasana sedih bercampur gembira menyelubungi ahli keluarga wanita kurang upaya (OKU), Siti Aishah Hamid, 43, yang dibebas daripada tuduhan membawa dadah oleh mahkamah di Karachi, Pakistan sebaik dia melangkah masuk ke balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.

Kepulangan Siti Aishah berusia 44 tahun itu turut disambut oleh suaminya, Jaafar Noor, 44, serta beberapa ahli keluarga lain.

Siti Aishah tiba dari Karachi ke KLIA pukul 7 pagi selepas menempuh perjalanan selama enam jam.

Turut menyambut kepulangan wanita itu ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bayan Baru, Norman Zahalan dan beberapa pegawai dari Wisma Putra.

Sebaik tiba, Siti Aishah terus dibawa ke sebuah bilik khas oleh sepasukan polis dari Jabatan Narkotik Bukit Aman untuk direkod keterangan.

Jaafar berkata, dia bersyukur kerana Siti Aishah pulang dengan selamat selepas melalui episod malang selama hampir setahun selepas ditahan pihak berkuasa Pakistan pada 24 April tahun lalu.

"Syukurlah sebab dia (Siti Aishah) sudah balik," kata beliau.

Siti Aishah bagaimanapun ketika ditemui selepas hampir empat jam keterangannya diambil polis enggan ditemu bual.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Siti Aishah telah ditahan di Karachi, Pakistan selepas pihak negara itu menemui bungkusan heroin seberat 950 gram yang tersorok pada sisi sebuah beg mekap milik wanita itu.

Bagaimanapun, mahkamah di Pakistan baru-baru ini membuat keputusan Siti Aishah didapati tidak bersalah kerana menjadi mangsa penipuan pihak tertentu.

Siti Aishah yang menghidap penyakit tulang rapuh (SLE) dipercayai terpedaya dengan taktik menawarkan hadiah berupa pakej melancong ke Singapura menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: