|
|
KALAU sudah namanya artis, apa sahaja yang dilakukan sama ada baik atau tidak pasti menjadi perhatian dan bualan umum. Justeru, sedikit kesalahan yang dilakukan kalau tidak kena gaya tentu sahaja mengundang pelbagai kata nista sebagai habuan.
Benar atau tidak, segala tohmahan yang dilemparkan hanya yang empunya diri lebih mengetahui dan bagi aktres yang cukup terkenal dengan sikap degil dan keras kepala, Haliza Misbun,36, katalah apa sahaja terhadap dirinya, namun melatah tidak sekali.
Dia yang mula mencuri tumpuan penonton menerusi filem Abang 92 pada tahun 1992 bagaikan sudah lali dilambakkan dengan pelbagai gosip.
Selepas satu isu, timbul pula isu lain yang terpaksa ditempuhi. Bagaimanapun, menariknya tentang anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini,dia tidak pernah mengamuk tidak tentu pasal biarpun kadangkala cerita-cerita negatif yang digembar-gemburkan mengguris hatinya.
Kebelakangan ini, kelibat Haliza jarang sekali dilihat beraksi dalam mana-mana drama mahupun filem tempatan.
Bukan merajuk jauh sekali cuba mengelakkan diri, tetapi Haliza lebih selesa melakukan tugas-tugas di belakang tabir sebagai pengarah dan penerbit.
Ketika ditemui pada sidang media pelancaran dokumentari terbaru arahannya, Jelajah Kasih di Restoran Bora Ombak baru-baru ini, pelakon yang sudah menghambakan diri dalam bidang lakonan sejak 17 tahun lalu itu memutuskan untuk tidak lagi aktif sebagai pelakon.
Dia sebaliknya mahu lebih fokus terhadap kerja-kerja pengarahan dan penerbitan pelbagai program televisyen.
"Saya sudah lama berlakon. Bermula tahun 1992 sehingga kini, sudah 17 tahun berlakon. Kini saya rasa sudah sampai masanya saya perlahankan aktiviti lakonan.
"Memandangkan saya sekarang sudah ada syarikat produksi sendiri (Helle Pictures (M) Sdn. Bhd.), saya mahu tumpukan kepada kerja-kerja di belakang tabir pula.
"Bagaimanapun, itu bukan bermakna saya tidak mahu berlakon langsung selepas ini, saya akan berlakon tetapi kena memilih.
"Tidak lama lagi saya bakal muncul dalam tiga telemovie dan ketiga-tiganya adalah antara lakonan saya yang terakhir," kata heroin siri Cinderella yang pernah ditayangkan di TV3 tidak lama dulu itu.
Selepas berjaya menerbitkan 13 episod dokumentari, Jurnal Kembara Eropah yang ditayangkan di RTM, Haliza dan krewnya bakal bertolak ke Australia awal Mei ini bagi meneruskan pengambaran siri jelajah musim keduanya, Jurnal Kembara Australia.
Sebuah lagi dokumentari arahan Haliza yang bakal menemui penonton setia TV1 ialah dokumentari terbitan Eurofine (M) Sdn. Bhd., Jelajah Kasih.
Bercerita tentang dokumentari tersebut, kata Haliza, pengisiannya meliputi perjalanan pencarian keluarga dan saudara mara kanak-kanak Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (Pernim).
Bersama pengasasnya Norlina Alawi, selama hampir dua bulan bermula 5 Disember tahun lalu, krew Jelajah Kasih menjejaki keluarga kanak-kanak Pernim.
Antara negeri-negeri yang mereka kunjungi termasuklah Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Menurut Haliza, Jelajah Kasih diterbitkan bagi membuang tanggapan serong masyarakat yang sering memandang jijik terhadap para pesakit HIV selain sebagai medium pembelajaran kepada umum dalam menyelami isi hati para pengidap penyakit tersebut.
"Walaupun pernah mengarahkan program dokumentari sebelum ini, tetapi saya masih lagi tercari-cari peluang untuk melakukan sesuatu yang baru di luar bidang saya.
"Ada juga cita-cita sebelum ini untuk buat sesuatu program berbentuk kebajikan dan Jelajah Kasih membuka jalan untuk saya. Sesuatu perubahan yang saya rasakan dalam diri saya sekarang ialah semakin tenang berbanding sebelum ini.
"Melihatkan ketabahan kanak-kanak memerangi penyakit dalam program ini mengajar saya erti bersyukur, insya-Allah, jika diberi peluang untuk buat lagi program berbentuk kebajikan seperti ini memang saya mahu cuba," kata Haliza lagi.
Jelajah Kasih bakal bersiaran mulai 27 April ini di TV1, setiap Isnin pukul 11 pagi.
Selain dokumentari, Haliza kini dalam proses menyiapkan tiga telemovie lakonannya termasuk dua telemovie arahan Murali iaitu Bangkitnya Aku dan sebuah kisah komedi, Bedah Siasat. Satu lagi telemovie adalah arahan Pierre Andre iaitu Sophilea.
Belum mahu kahwin
Kebanyakan wanita apabila mula berganjak usia ke angka 30-an, pasti runsing memikirkan soal jodoh.
Namun bagi Haliza sendiri, yang sebelum ini lebih gemar menjalin hubungan cinta dengan lelaki bangsa asing tidak mahu menjadikan angka sebagai taruhan untuknya terburu-buru mendirikan rumah tangga.
Sebelum ini, Haliza dikatakan pernah menjalinkan hubungan dengan pelakon Indonesia berdarah kacukan Jerman, Ari Wibowo.
Malah, pernah juga dia menjalin hubungan dengan dua jejaka Inggeris, seorang dari Austria dan terbaru, lelaki berasal dari Eropah.
Berulang kali ditanya, berkali-kali juga Haliza meluahkan untuk tidak berkahwin.
Mengakui masih berhubung, barangkali, Haliza punya alasan sendiri dalam membuat keputusan besar yang bakal mempengaruhi perjalanan hidupnya kelak.
"Sebenarnya, dalam perhubungan saya banyak korbankan kepentingan saya sendiri demi menjayakan banyak perkara, sebab itu saya rasa tidak mahu berkahwin.
"Ini apa yang saya rasa sekarang. Saya terlalu pentingkan diri dan sentiasa mahu menang dalam segala segi.
"Saya tidak tahu apakah ada lelaki yang boleh mengubah sikap saya. Bukan kerana saya kecewa tetapi saya terfikir adakah di kalangan lelaki di luar sana yang boleh menerima saya yang sentiasa nak menang kerana saya jenis yang tidak suka dikongkong," jelas Haliza tentang situasi hubungan cintanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: