Wednesday, April 22, 2009

Projek RM1.5 juta mahasiswa

Berjaya mengutip tajaan mencecah RM1.5 juta, Adwave semakin membina kredibiliti pada setiap tahun.


SHARMINI Krishna Radha (empat dari kanan) dari UUM dan Ahmad Azizi Shamsudin (kiri) dari USM menunjukkan trofi masing-masing setelah memenangi pertandingan Klip Video Kreatif Pendek pada kempen Adwave 09 di USM baru-baru ini.


MEMASUKI usia penganjuran ke-12, pameran Pemenang Anugerah Periklanan 2009 atau ringkasnya Adwave '09 anjuran pelajar tahun akhir program Komunikasi Pemujukan Universiti Sains Malaysia (USM) berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Buktinya, pameran berprestij berhubung pengiklanan itu berjaya mengutip tajaan sehingga RM1.5 juta daripada lebih 60 penaja. Sudah pasti, angka itu cukup besar bagi satu aktiviti yang digerakkan mahasiswa.

Lantas tidak hairanlah mengapa Adwave turut diiktiraf oleh Persatuan Agensi-agensi Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As).

Pada tahun ini, tema Awakening Minds menjadi pilihan dan seperti penganjuran edisi terdahulu, Adwave menjadi pentas mengetengahkan idea-idea baru berhubung pengiklanan yang diadaptasikan mengikut kreativiti pelajar.

Menariknya tentang Adwave, walaupun ia dianjurkan oleh bakal graduan komunikasi USM tetapi ia terbuka kepada semua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta seluruh negara.

Paling menarik adalah pertandingan video kreatif, Click n Roll yang menguji kreativiti pelajar dalam menghasilkan video pengiklanan pendek. Dengan tawaran hadiah wang tunai keseluruhan lebih daripada RM3,000, ia menerima kira-kira 100 penyertaan.


TIMBALAN Naib Canselor HEP, Prof, Madya Omar Osman (dua dari kanan) melawat tapak pameran selepas melancarkan Adwave 2009 sambil diiringi Teh Thee Kok (kanan) di Dewan Tuanku Syed Putra USM baru-baru ini.


Adwave '09 yang berlangsung selama enam hari baru-baru ini terbahagi kepada empat segmen iaitu bazar dan pameran hasil kerja pemenang Anugerah Kancil serta bengkel mengenai media baru. Kemuncaknya adalah Hari Anugerah bagi mencari pemenang pertandingan video kreatif.

Bertempat di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) USM, tidak kurang 300 pelajar memenuhi ruang legar di situ pada satu-satu masa sepanjang penganjuran Adwave '09 yang turut dimeriahkan lagi dengan persembahan pentas kumpulan Jazz Band USM.

Setelah dinilai, pertandingan video kreatif menyaksikan hasil karya penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Sharmini Krishna Radha mencuri tumpuan juri dengan membawa pulang hadiah utama RM1,500 dan trofi.

Tempat kedua, milik Paul Gan Yew Hoe dari Universiti Tunku Abdul Rahman dengan hadiah wang tunai RM1,000 dan Chee Yik Hong dari USM di tempat ketiga dengan membawa pulang wang tunai RM500 dan trofi. Kategori klip video popular pula menjadi milik Ahmad Azizi Shamsudin dari USM.

Bukan mudah menganjurkan acara sebesar Adwave yang berjaya menarik nama-nama besar sebagai rakan strategiknya seperti Maxis, Sloggi, Firefly Airlines, Pembangunan Pelancongan Negeri Pulau Pinang, Sunway Lagoon dan Utusan Media Sales Sdn. Bhd. (Umes).

Perkara itu diakui sendiri oleh Pengarah Projeknya, Teh Thee Kok yang memberitahu, beliau bersama 25 rakan-rakan Adwave '09 yang lain telah bekerja keras bagi merancang dan menjayakan projek tersebut sejak setahun yang lalu.

"Kempen kami bermula sejak 15 Januari lalu dengan menjelajah beberapa universiti dan kolej sekitar Pulau Pinang dan Kedah termasuk publisiti melalui media massa.

"Kami sedar misi Adwave bukan mudah kerana ia menjadi kayu pengukur terhadap prestasi kami yang dinilai oleh pensyarah. Namun begitu, kami benar-benar teruja untuk menjayakannya," katanya.

Katanya, Adwave bukan sekadar memenuhi keperluan kursus pengajian, tetapi membuktikan sejauh mana kemampuan pelajar yang rata-ratanya bakal menceburi bidang itu selepas graduasi nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: