Wednesday, April 22, 2009

DSA lahir penyelamat termuda


DALAM tempoh 10 tahun, DSA telah melahirkan 7,000 perenang dan 28 penyelamat kelemasan.


SEORANG pelajar tingkatan tiga yang juga perenang dari Dolphin Swimming Academy (DSA) menjadi penyelamat termuda di akademi itu selepas lulus ujian penyelamat oleh Persatuan Penyelamat Kelemasan Malaysia (LSSM) di kolam renang Kompleks Sukan Tan Sri Haji Mohd. Said, Seremban 2, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Abdul Farhat Deba Abdul Aziz, 15, dari Sekolah Menengah Seri Ampangan, Seremban berkata, segala latihan dan tunjuk ajar di bawah jurulatih DSA selama enam bulan secara intensif yang diikutinya dengan gigih menjadi kunci utama kejayaan itu.

"Ada tiga peringkat untuk menjadi penyelamat kelemasan LLSM. Ia bermula dengan peringkat pingat gangsa, perak dan emas. Saya kini lulus pingat gangsa dan akan mengambil beberapa ujian lagi untuk mencapai pingat emas.


ABDUL FARHAT DEBA


"Selain berenang bagi tujuan menyelamat sejauh 50 meter di bawah masa 40 saat dan melakukan teknik bantuan pernafasan atau Cardiopulmonary Resuscitation (CPR), saya juga perlu lulus ujian masa berenang sejauh 300 meter iaitu 6 lap tidak melebihi sembilan minit. Untuk jarak sejauh itu, saya berjaya melakukannya dalam tempoh 6.7 minit," katanya kepada Kosmo!.

Ketika ditanya mengapa mahu menjadi penyelamat, Abdul Farhat berkata: "Ini adalah satu kemahiran dan pengetahuan yang boleh diguna untuk membantu masyarakat. Sekurang-kurangnya, saya boleh menolong mangsa lemas ketika banjir, mandi di kolam atau di laut."

Selain Abdul Farhat, tiga peserta lain iaitu Mohamad Faiz Rosman, 21; Mohd. Fauzy Alias, 29, dan Ezri Fazrin Ramli, 29, turut lulus ujian pingat gangsa sebagai penyelamat kelemasan LLSM.

Dalam pada itu, Abdul Azim Farhan Abdul Aziz, 21, yang menjadi penyelamat kelemasan LLSM sejak 2003 pula merupakan calon tunggal Jurulatih Penyelamat Kelemasan dan beliau turut lulus dalam ujian tersebut.

"Hampir tiga tahun saya menjadi penyelamat kelemasan profesional dan harapan untuk bergelar jurulatih menjadikan impian ini satu realiti. Ini menambahkan lagi keyakinan saya untuk melahirkan lebih ramai penyelamat di negeri ini," ujarnya.

Ezri yang bekerja sebagai Juruteknik Simulator Penerbangan AirAsia berkata, tujuan dia menjadi ahli penyelamat LLSM adalah untuk mencapai kepuasan dalam hidup selepas mahir berenang sekali gus menjadikan ia sebagai satu tanggungjawab sosial bagi membantu mangsa lemas.

Sementara itu, Ketua Jurulatih dan Penyelamat Kelemasan DSA, Abdul Aziz Abdul Rahman melahirkan rasa gembira apabila empat calon penyelamat dan seorang calon jurulatih dari akademi DSA lulus semua ujian tersebut.

"Saya telah melatih orang sejak 10 tahun yang lalu di kolam ini. Dalam tempoh itu, hampir 7,000 perenang dan 28 penyelamat kelemasan telah berjaya dilahirkan oleh DSA," katanya.

Ujarnya, selain menjadikan aktiviti kolam renang untuk melatih perenang pertandingan, asas keyakinan diri, dan penyelamat profesional, akademi itu juga mengajar renang bagi tujuan riadah untuk kanak-kanak dan dewasa.

Katanya, DSA kini bekerjasama dengan Majlis Sukan Negeri (MSN) selepas diberi kepercayaan oleh Majlis Perbandaran Seremban untuk mempromosi sukan renang bagi melahirkan atlet-atlet renang mewakili pasukan negeri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: