AIRIN, Xandria dan Faridah pada majlis pelancaran Xandria's Weekend Discovery. |
SUDAH lama dia menyimpan hasrat menerbitkan program gaya hidup dan percutiannya sendiri. Barangkali hobinya yang gemar melihat negara orang serta mahu berbakti kepada tanah air sendiri membuatkan pengacara, model dan wartawan jelita, Xandria Ooi berasakan sudah tiba masanya menghasilkan buah tangan sulungnya yang berjudul Xandria’s Weekend Discovery, terbitan syarikatnya, XO Productions.
Program gaya hidup selama setengah jam ini akan membawa penonton menikmati keindahan alam semula tanah air tercinta serta mengetahui apakah makanan yang lazat di Malaysia yang mungkin penonton belum atau tidak pernah melihatnya.
Sambil melahirkan perasaan terujanya kerana berpeluang merealisasikan impiannya itu, Xandria yang juga penerbit eksekutif program itu berkata, rancangan ini dihasilkan kerana mahu penonton tahu bahawa Malaysia juga menyimpan khazanah yang indah untuk dilawati.
“Rakyat Malaysia sebenarnya perlu digalakkan minat untuk bercuti dalam negara. Ini juga adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri. Apabila saya menerbitkan program seperti ini, sekurang-kurangnya mereka tahu di manakah lokasi menarik yang mereka boleh lawati serta tempat di mana mereka boleh mendapatkan makanan yang sedap hasil masakan pelbagai kaum di Malaysia.
“Sebelum ini pun saya menggunakan kaedah sama iaitu mendapatkan maklumat daripada mana-mana program majalah pelancongan sebelum menuju ke destinasi tertentu,” kata Xandria yang ditemui di majlis pelancaran program itu di ibu negara, baru-baru ini.
Hadir sama di majlis ini ialah Pengurus Besar ntv7, Airin Zainul dan Pengarah Perniagaan Runcit, Esso Malaysia Berhad, Faridah Ali.
Melihat trailer yang ditunjukkan, ternyata Xandria menikmati keseronokan yang tidak mampu dilafazkan dengan kata. Berpeluang bersantai di kawasan yang menarik, menginap di hotel mewah, melakukan aktiviti riadah yang ekstrim membuatkan ramai yang tertanya-tanya apakah konsep percutian seperti itu hanya untuk mereka yang berduit saja.
Ketika diajukan pertanyaan ini kepada Xandria, dia berkata konsep percutian yang ditonjolkannya itu amat sesuai dengan semua golongan.
“Ini bukan percutian bajet ataupun mewah. Ia sederhana dan semua orang mampu untuk memilikinya dan amat berbaloi terutama untuk mereka yang ingin pergi bercuti bersama keluarga. Program yang kami siarkan ini cukup realistik,” ujarnya sambil memberitahu setakat ini sudah tujuh episod dirakamkan dan mereka kini sedang menjalani penggambaran di negeri Melaka.
Selain menyalurkan maklumat kepada penonton, gadis berusia 26 tahun ini juga menimba banyak pengalaman menarik sepanjang mengendalikan rancangan itu.
“Sewaktu mengunjungi kawasan penternakan burung unta, saya berpeluang makan telur burung ini. Tidak dinafikan rasanya memang lazat dan yang lebih penting, telur burung itu bagus untuk kesihatan kerana mempunyai kolesterol yang rendah tetapi kandungan protin tinggi.
“Selain itu, saya juga terbabit dalam aktiviti memancing dan semua aktiviti lasak. Sebagai pengacara, persediaan sebelum merakamkan program ini, semuanya saya buat sendiri iaitu dari skrip dan juga arahan,” cerita Xandria lagi.
BUKAN saja untuk sasaran penonton tempatan tetapi Xandria juga bercadang untuk menjual produknya itu ke pasaran luar negara.
Bakal disiarkan di saluran ntv7 mulai 7 Mei depan, Xandria Weekend Discovery akan muncul setiap hari Khamis jam 7.30 hingga 8 malam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: