![]() ANTARA barisan calon finalis AIM16. |
ANUGERAH Industri Malaysia (AIM16) satu-satunya anugerah tempatan yang memberi pengiktirafan kepada pengkarya dan pemuzik tanah air yang tidak mengira bangsa akan kembali menemui peminat industri muzik tidak lama lagi.
Sehubungan itu, ntv7 akan menyiarkan Prelude AIM16 yang membawa penonton meninjau di sebalik kegemilangan dan kemasyhuran AIM sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 1994.
Rancangan berbentuk infotainment ini akan mula disiarkan setiap Khamis, bermula esok, jam 9 malam.
Rancangan yang dibahagikan kepada empat episod ini akan membuka tirai dengan paparan mengenai objektif, visi dan misi serta perjalanan yang dilalui oleh Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM) sejak tahun 1994.
Fakta dan sejarah menarik mengenai AIM akan turut dikongsi seperti bagaimana AIM ditubuhkan, latar belakang pengasas AIM, kategori yang dipertandingkan, sistem penjurian dan banyak lagi.
Episod kedua pula akan memaparkan pemenang kategori utama seperti Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album dan Album Terbaik. Episod ini turut akan menyentuh usaha yang telah dilaksanakan oleh Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM) dalam memartabatkan industri muzik tanah air.
Anugerah yang sudah sebati dengan pencinta muzik tempatan ini turut memberi penghargaan kepada pelbagai genre lagu seperti pop, rock, pop etnik dan nasyid. Tampil unik dan sering memberi kejutan kepada penonton pada setiap tahun, pencalonan AIM tidak pernah lari daripada menggabungkan bakat baru dan lama di dalam kategori yang dipertandingkan.
Saksikan kembali saat-saat mendebarkan buat calon-calon kategori Vokal Terbaik, Lagu Terbaik dan Album Terbaik pada AIM yang lalu di episod kedua Prelude AIM16.
Seterusnya saksikan selebriti yang bersinar dan bergemerlapan pada malam AIM melalui segmen fesyen, di dalam episod ke-tiga Prelude AIM16. Episod ini turut memberi penghargaan kepada pihak penaja yang telah memberi sokongan bagi memastikan kejayaan AIM sepanjang 16 tahun ia diadakan.
Dapatkan maklumat yang menyeluruh mengenai AIM16 dalam episod keempat Prelude AIM16 yang memberi pendedahan mengenai keseluruhan konsep yang akan dibawakan pada tahun ini serta pengacara yang mengendalikan anugerah itu.
Diterbitkan oleh Bairulnizam Bahrom, program berbentuk dokumentari yang memaparkan perjuangan serta perjalanan AIM dari tahun 1994 ini akan turut memaparkan temu ramah bersama Pengerusi PAIMM, Datuk Aziz Bakar, Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Sandy Monteiro, pengkarya muzik Ajai, Roslan Aziz dan Habsah Hassan, penyanyi Datuk Sheila Majid, Anuar Zain dan ramai lagi.
“AIM adalah majlis penganugerahan berprestij yang berkembang pada setiap tahun. ntv7 amat berbangga dapat bekerjasama dengan PAIMM sekali lagi dalam penganjuran majlis ini buat tahun yang ke-10.
“Prelude AIM16 adalah sebuah program yang memberi pendedahan mengenai individu dan organisasi yang pernah terbabit dalam AIM selama ini. Melalui program ini, kami pasti penonton akan teruja dan berdebar untuk menanti kemunculan AIM16,” kata Pengurus Besar ntv7, Airin Zainul berkata,
Stesen TV ini juga akan membawa AIM16 ke tahap yang lebih membanggakan tahun ini, dengan meraikan lebih ramai bintang yang mewarnai industri muzik tempatan. Dengan bersiaran Prelude AIM16, penonton akan lebih memahami latar-belakang dan menghargai perjuangan mereka yang terbabit dalam industri muzik tempatan.
Jadi, jangan lupa temu janji anda bersama Prelude AIM16, setiap Khamis, bermula 9 April ini, jam 9.00 hingga 9.30 malam, hanya di ntv7, Saluran Ceria Anda!

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: