Wednesday, April 8, 2009

Dengarnya...: Pengkritik program realiti sambil lewa?


CIK NORMAH terkedu ketika menonton dua program realiti baru-baru ini. Bukan terkedu fasal pesertanya tidak dapat menyanyi, tetapi kali ini mata Cik Normah naik buntang melihat gelagat pengkritiknya.

Dalam program realiti pertama, Cik Normah mendengar seorang pengkritik menegur sebutan seorang peserta lelaki yang menyanyi lagu dalam bahasa Inggeris. Padahal, sebutan mamat tu tak adalah teruk sangat. Tak banyak bezanya dengan sebutan Inggeris seorang lagi peserta wanita.

Tetapi, tidak pula dia menegur peserta wanita itu ketika mengkritiknya secara langsung di televisyen. Kononnya, dia berbuat demikian ketika berada di belakang pentas. Isyyy... Kenapa pula bersikap berat sebelah macam tu? Kalau peserta lelaki itu boleh dikritik secara terbuka, mengapa pula peserta perempuan tidak dibuat demikian?

Kisah kedua pula membabitkan pengkritik program realiti yang tidak kurang popularnya. Pengkritik yang satu ini memang sejak awal lagi agak mengecewakan kritikannya. Pendek kata, kalau dia ditiadakan pun, rancangan itu tidak akan cacat bentuknya.

Baru-baru ini, selepas peserta mengadakan persembahan, dia tiba-tiba berkata, dia malaslah hendak tegur fasal pitching lagi. Eh, kalau sudah diberikan tugas mengkritik tu, buat sajalah. Takkan hendak buat sambil lewa saja?

Kalau seseorang peserta itu mengalami masalah picthing, sama ada ke laut atau ke sungai, mereka hendaklah ditegur supaya masalah itu dapat dihindari pada masa depan. Kalau pengkritiknya tak mahu menegur, siapa lagi hendak berbuat demikian?

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: