![]() |
| (Dari kiri) Yan, Joe, Man Keedal, Hattan, Man Dayak dan Mus bakal berkolaborasi untuk Konsert Rock Lefthanded & Kawan-Kawan untuk Mercy Malaysia di Stadium Negara, 30 Mei nanti. |
SATU perkara yang menarik tentang penganjuran Konsert Rock Lefthanded & Kawan-Kawan untuk Mercy Malaysia selain untuk tujuan amal adalah kerana ia himpunan dua generasi rock baru dan lama.
Diadakan dalam dua sesi - petang dan malam - konsert itu akan dilangsungkan di Stadium Negara pada 30 Mei depan.
Sebagai tunjang utama pentas persembahan, Lefthanded menyifatkan konsert itu sebagai satu konsert mega pertama mereka sejak terlibat dalam dunia rock, tiga dekad yang lalu.
Bagi mereka, ia satu pengiktirafan buat kumpulan rock legenda yang telah diasaskan oleh Man Keedal bersama Man Dayak dan Yan sejak 1979 malah turut didedikasikan buat Allahyarham Samad, pemain gitarnya yang meninggal dunia Oktober tahun lalu.
Dianjurkan oleh Win Archer Entertainmnet, ia turut menghimpunkan nama-nama besar di satu pentas seperti Amy (Search), Awie (Wings), Mus (May), Hattan dan Shima selain penampilan istimewa Joe (Wings) dan Hassan (Babylon).
Dan kolaborasi band-band indie pada persembahan sesi siang seperti penampilan The Pilgrims, Pop Shuvit, Bunkface, The Times, Jump-P dan The Federated serta kemunculan pemenang Rentak Juara, Rhythm Of Champions (RJROC) 2008, Aisunam dianggap mampu memeriahkan lagi persembahan.
Cuma sayang sekali, vokalis Lefthanded, Nash tidak dapat sama-sama menggegarkan stadium dengan vokal uniknya kerana terikat dengan komitmen lain. Begitu juga dengan perancangan membawa Ramli Sarip yang pernah berkerjasama dengan Lefthanded suatu masa dahulu.
“Kami memang teruja untuk menghimpunkan nama-nama yang pernah bersama Lefthanded, malang sekali mereka mempunyai komitmen lain,” kata Man Keedal.
Pun begitu, pemain gitar kidal itu tetap optimis kerana baginya, konsert itu bukan tentang gandingan anggota Lefthanded semata-mata.
Sebaliknya, tegas Man Keedal, ia tentang komitmen untuk melakukan satu kerja amal bagi membantu mengutip dana untuk Mercy Malaysia (Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia) dengan menghimpunkan vokalis-vokalis rock undangan yang popular.
Malah Man Keedal menganggap pembabitan dua generasi ini di satu pentas persembahan dapat memberi lebih nilai dan pilihan kepada penggemar muzik.
Telah diinspirasikan sejak November lalu, pada persembahan selama dua jam itu, Lefthanded yang popular dengan lagu-lagu antaranya Tiada Lagi Kidungmu, Ku Di Halaman Rindu dan Seruan serta rakan kolaborasi mereka akan mempersembahkan lagu-lagu popular kumpulan itu dengan paparan visual perang di Gaza dan Mercy Malaysia.
Menurut Man Keedal, sebahagian kutipan daripada penjualan tiket akan disalurkan kepada persatuan tersebut malah pihaknya juga berhasrat untuk memasarkan rakaman secara langsung konsert tersebut bagi tujuan membantu mengutip dana bagi Mercy Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Urusan Win Archer (M) Sdn. Bhd., Azlina Ibrahim memberitahu, selain dapat membantu mengumpul dana bagi pertubuhan itu, pihaknya juga menganggap penganjuran itu sebagai sebuah perjuangan untuk menyemarakkan arena rock tempatan selain memartabatkan kumpulan legenda seperti Lefthanded.
Bagi Hattan, Mus dan Joe pula, kesempatan berkolaborasi di satu pentas memang sesuatu yang dinanti dan merupakan satu penghormatan buat mereka.
Hattan dan Mus misalnya, sudah lama menjalinkan kerjasama dengan Lefthanded dan Joe pula menganggap, hubungan mereka seperti abang dan adik. Malah bagi mereka, pertembungan legenda rock seperti yang akan diadakan ini bakal menjadi antara acara gemilang yang tidak akan dilupakan.
Trivia Lefthanded
nLefthanded amat dikenali dengan barisan anggota seperti Man Keedal, Nash, Samad, Man Dayak dan Yan.
nAwal penubuhan, Lefthanded pernah dianggotai oleh Rahim Maarof dan Roy sebagai vokal sehingga kemasukan Nash dan melahirkan album sulung, Keadilan pada 1986.
nPenyanyi Arab dan Ramli Sarip pernah menyertai Lefthanded menerusi album Nafas dan Fanatisme.
nAlbum Nafas pernah diangkat sebagai Album Rock Terbaik Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM) 1997.
nLefthanded pernah menghibur di persembahan Sunday Nite Live di Planet Hollywood bersama Hattan dan di Hard Rock Cafe, Singapura bersama Mus.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: