SATU perkara yang menarik perhatian Wanda kebelakangan ini adalah mengenai judul-judul drama tempatan kita. Macam-macam ada! Macam-macam judul diberikan. Ada sesetengahnya memang membuatkan Wanda rasa ketawa terguling-guling.
Bukan tak masuk akal judul yang digunakan cuma bunyinya sangat tidak sedap disebut dan didengar. Malah adakalanya boleh mengundang kepada makna lain.
Wanda perhatikan stesen televisyen swasta lebih banyak menggunakan judul-judul drama yang bombastik, kalau bolehlah Wanda gunakan perkataan itu untuk sesetengah judul-judul drama yang pernah disiarkan.
Wanda tahu yang memilih tajuk atau judul sesebuah drama itu sendiri adalah penerbit tetapi rasanya, pihak stesen sendiri haruslah peka dan tegas untuk mengekalkan kualiti bahasa kita.
Misalnya judul-judul drama bersiri seperti Di Bawah Ketiak Isteri atau Jangan Main Belakang. Juga beberapa judul telemovie antaranya yang terbaru yang membuatkan Wanda tersengih sendirian adalah sebuah drama lakonan Lisa Surihani yang diberi judul Mataku Nampak Hantu.
Bila melihat judulnya, apakah kita terbayang drama itu sebuah drama seram atau kita menganggap ia sebuah kisah komedi?
Tentu sekali dengan tajuk seperti itu, apabila mendengarnya kita menganggap ia kisah lucu sedangkan hakikatnya, sedutan yang dibuat adalah sebuah kisah seram.
Wanda tidak nafikan, memang sesetengahnya adalah judul diambil daripada penggunaan bahasa harian yang digunakan masyarakat kita.
Misalnya kisah-kisah queen control dalam drama Di Bawah Ketiak Isteri. Ataupun penggunaan judul Jangan Main Belakang yang membawa maksud jangan menipu atau mengambil kesempatan.
Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB), Zainir Aminullah pada satu pertemuan dengan Wanda baru-baru ini juga menganggap penggunaan judul itu tidak salah daripada segi bahasanya dan ia memang digunapakai oleh masyarakat kita.
Cuma bagi Wanda, apalah salahnya jika kita menggunakan judul-judul yang lebih sedap dan manis didengar dan disebut serta membawa maksud kepada keseluruhan drama itu sendiri.
Tapi entahlah, mungkin juga penggunaan bahasa yang pelik-pelik begitu menjadi gaya masa kini yang disukai ramai. Mungkin juga ia lebih mudah. Sebab orang kita memang tak nak gunakan otak semaksimum mungkin. Takut rosak.
Hinggakan untuk menceritakan sebuah kisah mengenai homoseksual, ada penerbit guna judul telemovie, Donut. Tak pastilah Wanda di mana signifikannya penggunaan judul itu.
Mungkin juga kerana donat itu sedap dan enak rasanya serta lembut pula maka ia diguna pakai untuk sebuah karya seperti itu. Atau bentuk donat itu sendiri.
Apakah sudah sukar benar para karyawan muda masa kini mencari tajuk-tajuk yang sesuai dan elok untuk sesebuah karya mereka?
Mungkin Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim patut melakukan sesuatu dalam menilai semula penggunaan judul dan tajuk drama agar lebih relevan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: