Monday, April 20, 2009

Penjenayah bogel ditembak


KUALA LUMPUR: Padah cuba melibas polis menggunakan parang, seorang penjenayah berbahaya yang mengamuk, cedera parah ditembak dalam satu kejadian di sebuah hotel murah di Jalan Silang, Kepong di sini pada kira-kira jam 12.30 tengah malam semalam.

Difahamkan suspek dikehendaki polis kerana dipercayai terbabit dalam beberapa kes rogol serta samun di sekitar Lembah Klang.

Ketika kejadian, suspek yang sedang tidur terkejut dengan kehadiran polis, tidak sempat mencapai pakaian lalu terjun melalui tingkap hotel terbabit dalam keadaan bogel dalam usahanya meloloskan diri.

Polis bertindak menyerbu hotel terbabit selepas mendapat maklumat orang ramai memaklumkan suspek serta seorang lagi rakannya menginap di situ.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata ketika serbuan rakan suspek dikatakan tidak melawan dan dapat diberkas.


“Suspek kemudian lari ke sebuah restoran berhampiran sebelum bersembunyi di sebuah kawasan setinggan kira-kira 200 meter dari hotel bagi mengelak ditahan dan kami terpaksa mengepung kawasan itu untuk mencarinya.

“Sebaik dihampiri, suspek yang dalam keadaan marah melawan dan berlaku pergelutan selain turut melibas parang ke arah polis menyebabkan anggota terbabit terpaksa melepaskan satu das tembakan yang mengenainya,” katanya.

Dia dihantar ke Hopital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan di paha kiri.

Polis menemui sebilah pisau dan sebuah Proton Waja dilaporkan hilang di Brickfields ketika pemeriksaan di hotel berkenaan.

Polis percaya dengan tertangkapnya dua suspek yang ditahan mengikut Ordinan Darurat, pihaknya akan dapat menyelesaikan beberapa kes pengedaran dadah, samun kenderaan mewah dan rogol.

Polis juga akan memanggil seorang pelajar tingkatan lima yang dipercayai dirogol kedua-dua suspek akhir Mac lalu untuk melakukan pengecaman berdasarkan tatu pada badan suspek.

Akhir Mac lalu, satu pasukan khas ditubuhkan bagi memburu kedua-dua suspek dikategorikan berbahaya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: