Monday, April 20, 2009

Tersangkut pada teksi

melarikan diri." title="DICARI...Kifli menunjukkan lesen pemandu teksi yang
melarikan diri." border="0" width="300" height="336">
DICARI...Kifli menunjukkan lesen pemandu teksi yang
melarikan diri.

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu teksi bersikap agresif seolah-olah hilang akal apabila melarikan diri sewaktu diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) semalam menyebabkan seorang anggota penguat kuasa wanita nyaris cedera diseret.

Dalam kejadian jam 9.30 malam kelmarin, Muhammad Kifli Mahassan yang juga Penolong Pengarah Penguat Kuasa JPJ Putrajaya bersama seorang anggota wanitanya sedang melakukan Ops Penyamaran di sebuah pusat beli-belah di Jalan Syed Putra di sini.

“Bertindak atas maklumat awam mengenai salah laku pemandu teksi yang semakin bermaharajalela, kami menjalankan operasi di hadapan pusat beli-belah itu.

“Selepas menunggu, kami menaiki sebuah teksi berwarna kuning yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun dan memintanya menghantar ke Hentian Puduraya,” katanya.


Menurut Kifli, tanpa menggunakan meter, pemandu teksi itu mengenakan tambang RM10 dan dipersetujuinya.


“Ketika teksi yang dinaiki kami bergerak, tiba-tiba datang seorang pemandu teksi lain menahan teksi yang dinaiki kami dan mereka berbual dalam bahasa yang tidak difahami,” katanya.

Sejurus selepas berbual, pemandu teksi itu meminta kedua-dua ‘penumpang’ turun dengan memberi alasan tidak mengetahui jalan untuk ke Hentian Puduraya.

“Bagaimanapun, kami bertegas menaiki teksi itu. Melihat kedegilannya, kami mendedahkan identiti sebagai pegawai JPJ dan meminta beberapa dokumen berkaitan untuk diperiksa,” katanya.

Pemandu teksi berkenaan bersetuju diperiksa lalu memberhentikan kenderaannya sejauh kira-kira 10 meter sebelum mengeluarkan dokumennya.

“Ketika itu, saya turun dan pergi ke bahagian depan di sebelah kanan teksi untuk melakukan pemeriksaan lanjut dan seorang anggota saya masih berada di tempat duduk belakang kerana mencatatkan butiran pemandu teksi itu.

“Hasil pemeriksaan, kami mendapati pemandu teksi itu melakukan pelbagai kesalahan antaranya lesen memandu tamat tempoh, tidak mempunyai lesen perkhidmatan awam (PSV), gagal mempamerkan kad pemandu serta pelbagai lagi kesalahan yang membolehkan teksi itu disita,” katanya.

Mengetahui kenderaan itu akan disita, pemandu terbabit bertindak agresif dan terus menghidupkan enjin teksinya untuk melarikan diri menyebabkan berlaku pergelutan.

“Saya cuba merampas kunci kenderaan menyebabkan pemandu teksi bertindak kasar dengan menolak saya untuk melepaskan diri.

“Pada masa yang sama saya mengarahkan anggota wanita yang berada dalam teksi itu turun menyelamatkan diri,” katanya.

Dalam keadaan genting, tangan anggota wanita berkenaan tersangkut pada teksi berkenaan, namun tanpa mengendahkan, pemandu itu terus memecut laju.

“Anggota saya terjatuh di atas jalan raya dan nyaris diseret teksi itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Penguatkuasaan JPJ, Salim Parlan, berkata identiti pemandu teksi itu sudah dikenal pasti termasuk syarikat pemilik teksi itu.

“Operasi memburu pemandu teksi itu sedang dilakukan dan tindakan tegas akan diambil terhadapnya kerana enggan bekerjasama, sebaliknya melarikan diri sehingga hampir mencederakan anggota kita,” katanya yang mengesan tujuh kesalahan dilakukan pemandu terbabit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: