Friday, April 17, 2009

Pencarian model kreatif


SAMBUTAN pada program realiti sering kali menarik perhatian ramai penonton. Sama ada program mencungkil bakat penyanyi, penari, model mahupun pelakon, program sebegini dinantikan.

Selain penonton teruja untuk menyaksikan gelagat dan aktiviti peserta yang dirakam secara langsung, sambutan juga diterima daripada jumlah peserta yang hadir pada sesi uji bakat.

Program mencari bakat dalam bidang peragaan iaitu I Wanna Be A Model terbitan 8TV kembali dengan musim terbaru pada tahun ini. Memasuki musim ketiga, program ini meneruskan matlamat mencari bakat baru yang boleh diketengahkan sebagai model.

Sebagaimana penerbitan program realiti lain, program ini turut merancang pembaharuan dan kelainan dari aspek kandungan program ini agar memberi tarikan pada penonton.

Pengurus Besar Penjenamaan, Pembangunan Perniagaan, Pemasaran dan Komunikasi 8TV, Lam Swee Kim berkata sambutan peserta yang hadir pada sesi uji bakat untuk dua musim sebelumnya begitu menggalakkan dan 8TV berkeyakinan musim baru kali ini dinantikan ramai bakat baru. Pada musim pertama hampir 2,000 peserta hadir pada sesi uji bakat manakala musim kedua hampir 1,000 peserta.

"Berdasarkan dua musim sebelum ini, program ini dianggap berjaya kerana ramai peserta yang hadir ketika kami mengadakan uji bakat dan rating mencatatkan antara 300,000 hingga 500,000 penonton menyaksikan program ini untuk setiap episod.

"Sudah tentu bila program yang sama diterbitkan untuk musim baru, tanggapan penonton pada program ini juga tinggi. Sama ada penonton atau peserta yang akan mencuba nasib pada uji bakat nanti, mereka mengharapkan program ini bertambah baik dari aspek penerbitan, cabaran yang menanti peserta dan hadiah menarik yang ditawarkan.

"Untuk dua musim sebelumnya, saya berpandangan program ini melalui proses belajar dan memperbaiki kekurangan yang ada. Kini, musim baru dilihat lebih matang dan dewasa. Sungguhpun, kami mencari bakat baru untuk digilap sebagai model tetapi kami melihat potensi model bukan terhad pada bidang peragaan semata-mata.

"Model juga berkebolehan untuk mengembangkan bakat dalam bidang seni lain seperti lakonan dan nyanyian jika berminat. Sebagai contoh, bekas peserta musim lalu seperti Jack Khoo dan Eloise L aktif sebagai model manakala Angie Seow dan Michael Huang banyak membintangi drama," katanya.

Katanya, kriteria pemilihan peserta terbuka pada warganegara tempatan yang mempunyai wajah fotogenik, berusia 18 hingga 26 tahun dan tidak terikat dengan sebarang agensi peragaan.



"Jika pernah menjadi model, peserta yang mempunyai pengalaman kurang dua tahun masih boleh diterima untuk hadir pada sesi uji bakat.



"Penyertaan juga terbuka pada sesiapa tidak mengira bangsa untuk mencuba nasib. Jika ada peserta Melayu yang berminat digalakkan hadir pada sesi uji bakat tetapi dengan syarat, dia harus fasih bahasa Mandarin kerana komen juri dan cabaran yang diberikan adalah dalam bahasa Mandarin.

"Kami berharap lebih ramai peserta yang hadir pada sesi uji bakat kali ini dan kami tidak mempunyai sasaran jumlah peserta untuk musim baru ini. Seperti yang saya katakan, menerusi bidang ini mereka yang berjaya diserapkan sebagai peserta program ini berpeluang meraih peluang kerja lain jika mempunyai bakat," katanya.

Musim baru kali ini diterbitkan sebanyak 13 episod dan saringan awal mencari 16 peserta yang berbakat. Selepas itu, lapan peserta lelaki dan lapan wanita akan bersaing di peringkat seterusnya sebelum hanya empat peserta yang dipilih ke peringkat akhir. Cabaran yang menanti peserta, mereka perlu bersaing sesama sendiri untuk setiap tugasan berbeza pada setiap minggu dan peserta yang gagal akan disingkir.

Cabaran yang diberikan bergantung pada cara peserta berjalan catwalk, melakukan solekan sendiri dan bergaya ketika sesi penggambaran fotografi. Penonton berpeluang mengundi secara SMS memilih peserta kegemaran. Tiga juri yang diberi tanggungjawab mengadili peserta musim kali ini adalah Christopher Low, Addy Lee dan Priscilla Yee. Program ini dihoskan Jeffrey dan Cheryl.

Lam Swee Kim hadir pada majlis pelancaran program berkenaan yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini. Turut hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar.

Uji bakat akan dijalankan serentak di tiga lokasi berbeza bermula 18 April ini iaitu Atrium, Plaza Pelangi, Taman Pelangi, Johor Bahru, Gurney Centre Atrium, Gurney Plaza, Gurney Drive, Pulau Pinang dan Centre Court, Tingkat 3, Mines Shopping Fair, Seri Kembangan, Kuala Lumpur.

Untuk uji bakat di Mines Shopping Centre, ia diadakan selama dua hari. Uji bakat bermula jam 10 pagi hingga 6 petang.

Program ini akan ditayangkan bermula 5 Julai depan, pada setiap Ahad jam 9.30 malam. Siaran 8TV juga boleh ditonton menerusi saluran 708 di Astro.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: