Friday, April 17, 2009

Peluang dekati artis popular


INILAH wajah peserta akhir yang bakal beradu merebut gelaran juara Mangga Star Search 2009 yang akan berlangsung di Saloma Bistro & Theatre, Jalan Ampang bermula pukul 1 petang esok.


PELUANG mendekati artis-artis popular sentiasa terbuka menanti peminat-peminat terutamanya yang berada di sekitar Kuala Lumpur.

Acara-acara hebat yang dianjurkan bagi memberikan nilai hiburan ini bagaimanapun turut terisi dengan pelbagai agenda menarik, yang boleh diertikan bukan hanya sebagai hiburan kosong semata-mata.

Utusan Karya Sdn. Bhd., membuka peluang kepada peminat yang meminati artis kesayangan mereka hadir ke acara Mangga Star Search 2009 yang bakal berlangsung secara gilang-gemilang, esok.

Bermula pukul 1 petang esok, acara ini bakal mempertemukan peminat dengan artis secara langsung, bergambar dan beramah mesra dengan selebriti yang mereka minati sempena peringkat akhir pertandingan tersebut.

Para jemputan dan tetamu undangan akan dihiburkan dengan persembahan artis-artis popular seperti Stacy, Adam, Rio Febrian, Jaclyn Victor, Delon, Liyana Jasmay, Wana, Naufara, Pija, Aizat dan Nubhan.

Turut menggegarkan pentas acara ialah kumpulan Bunkface dan 6ixthsense, selain 30 artis dan personaliti popular sebagai tetamu undangan bagi memeriahkan majlis pada petang itu.

Siapakah yang bakal menjadi juara Mangga Star Search 2009 akan diketahui dalam pertandingan yang akan berlangsung di Saloma Bistro & Theatre, Jalan Ampang ini.

Bakal menampilkan 12 finalis dan mereka akan dinilai melalui bakat nyanyian, berlakon, pengacaraan dan peragaan melalui pelbagai sesi uji bakat sebelum ini.

Peserta yang terpilih ke pertandingan akhir ialah Muhammad Ezam Ernadi Asri, Nor Ashimah Ramli, Shahrul Hafiz, Ketty Natalia Rasul Khan, Norshariza Iskandar, Mohd. Hafiz Amin dan Mohammad Rushdan Ramli.

Turut beradu nasib Muhammad Syamsul Idzham Yunus, Nor Shapila Abdullah, Nur Wan Syafinaz Tarmizi, M. Ashmir Nazohan Mazlan dan Sharifah Aishah Syed Hamzah.

Para finalis akan diadili oleh barisan para juri profesional antaranya penyanyi dan komposer popular Hazami; pengarah filem tersohor Ahmad Idham; bekas Pegawai Perhubungan Awam Maestro Talent, Along Bakar dan Pengarang Mangga, Norzeha Kasbi bertindak selaku Ketua Juri.

Selain pertandingan akhir Mangga Star Search 2009, Utusan Karya juga akan meraikan ulang tahun ke-14 majalah hiburan paling popular di pasaran itu.

"Majlis ulang tahun ke-14 Mangga akan diraikan bersama peminat dalam satu acara ringkas, sebaik saja acara pelancaran rasmi wajah baru majalah kesayangan ramai ini.

"Apa yang menarik kami dapat kumpulkan sebanyak 14 biji kek tajaan pihak luar sebagai simbolik sambutan yang ke-14 tahun majalah Mangga. Terima kasih kepada penaja kami yang cukup bermurah hati," kata Norzeha.

Dalam pertandingan akhir itu nanti, dua juara kategori lelaki dan perempuan akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM2,000 bersama trofi dan hamper. Peserta yang kecundang tidak pulang dengan tangan kosong apabila bakal menerima RM300 berserta hamper barangan dan trofi sebagai hadiah sagu hati.

Mangga Star Search 2009 yang dianjurkan oleh Utusan Karya turut mendapat kerjasama Red Apple, Cherry Talent & Event dan Saloma Bistro & Theatre.

Nor Azura Entertainment Farmasi Cosmetic, Jamu Mak Dara, Jackel serta syarikat-syarikat rakaman antarabangsa dan tempatan turut menyumbang hadiah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: