|
SITKOM Phua Chu Kang (PCK) meraih populariti tersendiri sejak lebih sedekad lalu. PCK yang mula bertapak di negara jiran, Singapura menampilkan telatah lucu dan ceria teraju utama, Gurmit Singh bersama keluarga dan rakannya dengan gaya tersendiri. |
Pasti ramai mengingati telatah lelaki berambut kerinting memakai kemeja santai dan but kuning yang kerap menarik perhatian apabila membawakan watak kontraktor syarikat miliknya PCK Pte Ltd yang mendakwa menyediakan perkhidmatan terbaik di daerahnya.
Malah populariti yang dirai daripada sitkom berkenaan mendorong stesen televisyen rangkaian Media Prima Berhad, ntv7 menjalankan kerjasama bersama Media Corp Singapura untuk menerbitkan program versi Malaysia, PCK Sdn Bhd. Sitkom 13 episod arahan Loh Aik Khoon dan Ian Syemour kini rancak disiarkan setiap Rabu jam 8.30 malam di ntv7 sejak 25 Mac lalu.
Selepas direhatkan hampir dua tahun, peminat siri sitkom berkenaan menyaksikan kembali gelagat spontan pelakon utamanya, Gurmit dan Irene di samping penampilan pelakon popular daripada Malaysia seperti Harith Iskander, Adibah Noor dan Nell Ng.
Penyanyi dan pelakon, Adibah Noor, berkata dia tidak menunggu tempoh panjang untuk menyatakan persetujuan menjadi sebahagian daripada barisan pelakon sitkom itu.
“Selepas ditawarkan untuk membintangi sitkom popular itu saya tanpa berfikir panjang menyatakan persetujuan. Apatah lagi rakan seangkatan, Harith Iskander turut terbabit dalam menjayakan siri itu. Saya memang meminati dan mengikuti sitkom ini sudah sekian lama.
“Malah saya juga sentiasa mengintai peluang untuk menjayakan watak bersama pelakon seperti Gurmit dan Irene. Memang seronok dapat menjadi sebahagian daripada mereka yang terbabit dalam siri yang popular ini,” katanya.
Bagi Irene Ang pula melalui penggambaran itu dia mengakui mudah menyesuaikan diri dan melalui pengalaman menarik yang turut dikongsi bersama pasukan baru dalam siri kali ini.
“Kami cepat serasi. Saya bertuah kerana dapat bekerja dengan Harith dan Adibah. Mereka bukan saja berpengalaman malah mudah bekerjasama dalam menjayakan siri ini. Sebelum ini, saya gementar apabila dimaklumkan pihak penerbitan untuk berlakon dengan kelompok baru. Begitupun, perasaan takut itu dapat diatasi.
“Mungkin kerana keserasian itu membuatkan tempoh penggambaran berlangsung dengan cukup pantas,” kata Irene yang membawa watak Rosie isteri PCK.
Pelakon dan pengacara versatil, Gurmit Singh pula memaklumkan populariti bukan faktor utama baginya untuk menjayakan watak berkenaan sebaliknya minat dalam memperkembangkan bakat menjadikan dia lebih seronok bersama kru penerbitan siri itu.
“Saya harus melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan sebagai pemegang watak utama dalam siri ini dengan sebaik mungkin. Justeru jika ia mendapat sambutan yang baik dan diterima ramai sudah pasti ia satu kejayaan besar buat seluruh produksi yang terbabit.
“Populariti bagaikan satu bonus kepada usaha gigih yang dilakukan. Kalau peminat suka ia sudah memadai. Saya pula tidak pernah meletakkan diri popular atau bermegah dengan pencapaian siri ini. Begitupun saya bangga dengan sambutan yang diberikan penonton. Malah sehingga ke hari ini ke mana saja saya pergi masih ramai yang bertanya mengenai PCK,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: