|
SELAMA enam minggu seorang peserta program realiti, One In A Million musim ketiga mendapat imuniti yang memberi kelebihan terselamat dari penyingkiran. Namun, pada saingan minggu ketujuh yang lalu, juri profesional, Syafinaz Selamat memaklumkan tiada lagi imuniti diberikan. |
Ini bermakna, enam peserta yang masih bertahan berdepan dengan risiko sama rata untuk disingkir pada konsert minggu seterusnya. Bagaimanapun, peserta Muhammad Ridzuan Sharifuddin atau Rizu diumumkan sebagai peserta tersingkir pada minggu lalu. Kata Rizu, dia terbuka untuk menerima keputusan itu biarpun segelintir peminat mahu melihat dia mara ke akhir.
"Saya sudah katakan pada diri, saya akur dengan keputusan jika tersingkir. Namun, apa yang saya harapkan agar rakan saya yang lain terus berjuang. Perancangan selepas ini, saya mahu hasilkan album sendiri yang tertangguh sejak enam tahun lalu.
"Bagi saya, komen juri membuatkan saya mencari diri sendiri dan saya temuinya di sini," katanya.
Untuk persembahan enam peserta yang masih tinggal, hanya tiga peserta mendapat komen positif juri berdasarkan persembahan yang ditunjukan. Peserta yang pernah mendapat dua kali imuniti iaitu Tomok berjaya menghiburkan penonton dengan lagu popular Rihanna, Umbrella. Dua juri sependapat persembahan Tomok mempunyai elemen kejutan hingga Paul membayangkan peserta ini sudah menempah tempat ke akhir.
Kata Syafinaz, persembahan Tomok makin mengujakan pada setiap minggu dan berjaya mengawal vokal dengan baik. Sungguhpun persembahan Tomok menarik perhatian juri tetapi Syafinaz berpandangan semua peserta masih mempunyai peluang untuk ke akhir dan menjadi juara.
Bagi peserta Amylea yang menyampaikan lagu Somewhere Only We Know (Keane), persembahannya kali ini mempunyai peningkatan. Kata Syafinaz, Amylea menunjukkan kebolehan menyusun lagu mengikut cara sendiri. Malah, Syafinaz pula memilih penyanyi ini agar layak ke akhir nanti. Paul turut menyukai persembahan Amylea dari aspek nyanyian mahupun penampilan.
Turut mendapat pujian juri adalah peserta Esther yang mendendangkan lagu Sweet About Me nyanyian asal Gabriela Cilmi. Paul berkata persembahan Esther kali ini menghiburkan dengan kekuatan vokal dan berpontensi untuk ke akhir. Syafinaz pula menganggap Esther sebagai satu fenomena yang membuatkan penonton mengakui kehebatan yang dimiliki peserta dari Kota Kinabalu, Sabah ini.
Untuk persembahan Nine dengan lagu Cinta Gila (Grey Sky Morning), mendapat kritikan pedas daripada Paul yang tidak menyukai cara persembahan peserta ini termasuk mempersoalkan cara peserta ini menggunakan gitar dengan betul. Namun, Syafinaz memberi kata semangat dan menganggap persembahan ini adalah paling baik yang pernah diberikan Nine.
Nasib juga tidak menyebelahi peserta Aweera dan Simon apabila persembahan mereka dikatakan menyamai penyanyi asal. Aweera memilih lagu popular Awie, Di Penjara Janji manakala Simon mempersembahkan lagu Livin' On A Prayer (Bon Jovi). Kata Syafinaz, Aweera masih mempunyai kelebihan pada suara tetapi perlu memberi kelainan pada persembahan.
Bagaimanapun, Aweera yang sebelum ini menunjukkan sikap tidak hadir ke kelas latihan menyatakan dia mengalami masalah ketahanan diri. Mengenai persembahan kali ini, dia mahu melodi asal lagu itu dikekalkan walaupun juri berulang kali menyatakan pada setiap minggu, persembahan perlu berbeza dari penyanyi asal.
Bagi Simon pula, dia memilih lagu berkenaan kerana minat dan menjadikan Bon Jovi sebagai idola. Biarpun, komen juri yang melihat persembahannya kurang menjadi tetapi dia percaya ada perbezaan dari aspek persembahan.
"Saya gembira dengan persembahan malam ini walaupun komen juri sebaliknya. Setiap masa, saya belajar untuk memberi persembahan lebih baik dan kehadiran pengajar dan juri banyak membantu," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: