![]() MAHYIDIN merasmikan Pameran Seram 2009 sambil disaksikan Pegawai Pengurusan Galeri Perfileman Finas, Muhammad ar-Riyyan Roslan (kanan). |
Peluang ketahui sejarah filem seram tanah air
ANDA seorang penggemar filem seram dan tidak mudah lemah semangat? Atau anda memang seronok untuk ditakut-takutkan? Jadi mengapa tidak anda serta keluarga berkunjung saja ke Galeri Perfileman Finas di Jalan Pahang Kechil, Off Jalan Pahang, sempena Pameran Filem Seram 2009 yang kini rancak diadakan di galeri terbabit sehingga 30 Mei ini.
Pameran berkenaan diadakan bagi mendekatkan dan memberi pendedahan kepada peminat filem Malaysia, khususnya peminat filem dalam genre terbabit untuk mengetahui sejarah perkembangan filem seram tanah air yang bermula sejak 1950-an, hasil usaha Cathay Keris dan Malaysia Film Production sehinggalah ke hari ini.
Di galeri itu, pengunjung akan dapat melihat dengan lebih dekat kostum dan set filem seram yang terpilih serta maklumat mengenai filem terbabit. Antara karakter filem seram yang dipamerkan kali ini ialah toyol daripada filem Toyol, hantu daripada filem Hantu Kubur, pontianak daripada filem Pontianak Harum Sundal Malam, hantu daripada filem Chermin dan lain-lain.
Menurut Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim, pameran yang bermula sejak 7 April itu adalah sebahagian daripada aktiviti Pameran Bertema Galeri Perfileman yang dijalankan setiap tiga bulan, sepanjang tahun ini.
Katanya, selain mendekatkan peminat filem seram dengan perkembangan filem tempatan, pameran itu sendiri sebenarnya antara agenda yang disusun untuk mempromosikan lagi galeri terbabit di samping beberapa aktiviti yang sudah dan akan dilaksanakan.
![]() |
| ANTARA karakter hantu filem Melayu. |
"Beberapa program sudah kami laksanakan termasuk program Imbas Kembali serta aktiviti bersama ahli Kelab Pencinta Filem yang diadakan setiap dua bulan sekali. Namun kami dapati ia belum mencukupi untuk memastikan galeri ini benar-benar disedari kewujudannya oleh orang ramai.
"Jadi, pada tahun ini kami menganjurkan pula pameran bertema yang diadakan sebanyak empat kali setahun, bermula dengan pameran filem seram ini. Selepas ini, mungkin kami adakan pula pameran filem bangsawan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran pameran itu baru-baru ini.
Kata Mahyidin, tema filem seram dipilih untuk pameran kali ini berdasarkan tinjauan yang mereka lakukan.
"Apabila ditanya, ramai peminat filem Melayu berasakan, mereka akan datang menyaksikan pameran sekiranya pihak galeri mempamerkan bahan daripada filem seram," katanya yang mensasarkan sekitar 1,500 pengunjung akan datang menyaksikannya sepanjang pameran terbabit diadakan.
Mahyidin juga berkata, pemilihan tema seram juga bersesuaian dengan suasana perkembangan industri perfileman Malaysia hari ini apabila lebih banyak judul dalam kategori terbabit diterbitkan oleh syarikat produksi tempatan.
"Pada tahun ini saja, daripada lapan judul filem Melayu yang ditayangkan sehingga April, empat daripadanya ialah filem seram. Selepas ini, ada beberapa lagi filem dalam genre serupa akan memasuki panggung, termasuk Gentayangan, Eee Hantu, Seremmm..., Janin, Skrip 7707 dan Misteri Dendam Balan-Balan," kata Mahyidin.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: