Sunday, April 26, 2009

Noryn Aziz mula rimas




Apabila sebut nama Noryn Aziz, tentu sahaja akan terlintas macam-macam gosip yang dikaitkan dengannya sejak kebelakangan ini. Tapi itulah hakikatnya menjadi seorang artis. Memang tak sunyi daripada berhadapan dengan ujian itu dan ini.

Selepas sekian lama orang tertanya-tanya dan mahu mendengar sendiri kesahihan berita-berita kurang enak itu, Noryn akhirnya tampil memberi penjelasan.

Kata wanita berusia 33 tahun ini, dia sebenarnya malas untuk membicarakan perkara yang tak benar itu.

Cuma apa yang diinginkan Noryn supaya masyarakat tidak terus menuduh perkara yang bukan-bukan melainkan dia sendiri memberi kenyataan berhubung sesuatu perkara itu.

Tak apa, kita tinggalkan sekejap cerita panas itu. Yang hendak saya katakan, mengenai sesi fotografi kali ini.

Menariknya, Noryn tampil dengan baju rekaan Bill Keith sambil menggayakan aksesori berupa kalung berlian yang terdiri daripada rantai, gelang dan subang bernilai RM1 juta milik Fa’iq Jewels.

Menurut wakilnya, Fadhil Fazal Ellahi, kalung berkenaan dipakai secara eksklusif oleh Noryn khas untuk sesi fotografi Pancaindera ini.

Selama ini butik berlian berkenaan tidak pernah menaja barang kemas seperti itu kepada mana-mana artis kerana ia dianggap benar-benar eksklusif.

Yang menjadi mahal disebabkan banyak warna terdapat pada kilauan berlian tersebut seperti oren, merah jambu dan kuning kemasan.

Pemilihan berlian pula mengambil masa kira-kira dua tahun kerana proses mendapatkannya agak rumit. Ia dipilih dari serata dunia sebelum disiapkan dalam masa enam bulan.

Kata Noryn, kalau nak suruh dia sendiri membeli berlian itu, agaknya sampai tua pun tidak mampu menyimpan duit.

Tapi dapat menggayakan kalung itu pun sudah cukup untuk menyerlahkan kehebatan seseorang wanita apatah lagi melihat kepada nilainya jutaan ringgit.

- Jangan buat tuduhan

Tidak lama dulu ada laporan menyebut Noryn atau nama sebenarnya Norazmahwati Abd. Aziz sudah berkahwin senyap-senyap. Berita itu tersebar ketika Noryn bercuti ke London dan Paris beberapa bulan lalu.

Ketika Noryn diam membisu daripada memberi komen tentang perkara itu, berita tersebut menjadi bertambah kencang.

“Kalau dia diam memang betul dia kahwin.” Begitulah bunyinya cakap-cakap orang mengenai status Noryn. Biarpun agak berat untuk membuka mulut tentang perkara itu, wanita ini mengakui dia agak tertekan.

Bukan apa dia benar-benar kecewa. Yalah... kenapa benda yang tidak benar itu disebarkan dengan begitu cepat? Kenapa dia menjadi sasaran terhadap cerita-cerita palsu itu?

Apa yang dipinta Noryn agar semua pihak tidak membuat tuduhan dan andaian yang bukan-bukan kerana dia rimas dengan cerita-cerita sedemikian.

Noryn menganggap cerita sedemikian bukannya dapat meningkatkan imejnya tetapi sedikit sebanyak menjatuhkan reputasi dan kerjaya seninya yang cuba digilap ini.

“Kalau Noryn kata tak betul, orang tetap mengata. Seolah-olah mereka lebih tahu daripada Noryn sendiri. Sebab itulah Noryn buat keputusan lebih baik diam membisu.

“Malah ibu bapa pun memberi nasihat yang sama. Tak perlu nak cakap banyak. Asalkan mereka tahu anak mereka tak buat benda yang tak elok, cukuplah. Noryn mula rimas dengan benda-benda yang macam ni,” katanya kesal dengan cerita-cerita itu.

- Akan kahwin juga

Sejak sekian lama bergelar janda, tidak dinafikan kadang-kala hidup itu terasa sunyi. Yalah... orang pernah berumahtangga beza corak hidupnya berbanding mereka yang hidup bujang.

Tidak dinafikan kata Noryn, kadang kala dia terasa sunyi tetapi dia tidak terlalu memikirkan perkara itu.

Betullah, buat apa nak difikirkan sangat kerana perkahwinan belum tentu membawa kepada bahagia. Cuma akui Noryn, mungkin suatu hari nanti dia akan kahwin juga.

Buat masa ini dia mahu menumpukan perhatian terhadap kerjayanya sebagai seorang penyanyi terlebih dahulu daripada memikirkan untuk bergelar seorang isteri.

“Kahwin? Semua orang mahu ke arah itu tapi Noryn tak terlalu memikirkan sangat. Buat masa ini lebih baik Noryn beri perhatian kepada album dulu.

“Lagipun untuk Noryn berada pada tahap sekarang bukan mudah. Lapan tahun Noryn menghilang selepas berpecah dengan kumpulan Sister Sister dulu, inilah masanya untuk Noryn bangun semula,” ujarnya.

- Harapan album baru

Hampir dua tahun tidak muncul dengan album baru, Noryn merasakan hidup sebagai seorang penyanyi tidak akan lengkap jika hanya mengharapkan kepada satu album sahaja.

Mengharapkan segalanya berjalan lancar, ujar Noryn dia yakin album terbarunya nanti akan dapat diedarkan di pasaran pada bulan Jun atau Julai akan datang.

Menggunakan wang hasil simpanannya sendiri, Noryn terpaksa berbuat demikian kerana dalam keadaan kemelesetan ekonomi sekarang ini tidak ada mana-mana pihak yang mahu menjadi penaja.

“Nasib baik wang hasil menyanyi itu ada juga Noryn simpan. Jadi dapat Noryn gunakan juga untuk buat album baru,” katanya.

Tidak menumpukan kepada konsep jazz semata-mata tetapi Noryn melebarkan lagi kelainan dalam albumnya dengan menghasilkan album berkonsepkan jazz kontemporari.

Dalam masa yang sama dia turut memuatkan juga konsep balada agar membolehkan mendapatkan lebih ramai peminat albumnya.

Bukan mengakui jazz itu genre yang sukar diterima tetapi Noryn menganggap masyarakat di Malaysia masih lagi terdorong untuk mendengar lagu-lagu yang biasa mereka amati sebelum ini seperti pop dan balada.

“Untuk mencari kelainan agar pengaruh album Noryn akan datang mendapat sambutan yang lebih, maka Noryn terpaksa menghasilkan sesuatu kelainan dalam album kali ini,” ujarnya.

- Terima pingat

Selama bergelar artis, Noryn tidak pernah menduga untuk menerima apa-apa pingat atau bintang kebesaran.

Tetapi mungkin pihak di luar sana lebih menilai sumbangan Noryn selama ini, maka pada 20 April lalu dia dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kata Noryn, ketika menerima panggilan pihak istana berhubung perkara itu, dia agak terkejut dan macam tak percaya dengan anugerah sedemikian.

“Semasa mengadap Sultan Selangor untuk menerima pingat itu, Noryn rasa terharu kerana baginda menghargai juga sumbangan Noryn.

“Ketika menerima pingat, ibu dan ayah yang turut menemani Noryn tumpang rasa bangga kerana anak mereka telah berbakti dalam bidang seni sehingga mendapat pencapaian itu,” katanya.

Malah anugerah itu menjadi pembakar semangat untuk Noryn terus bergiat aktif dalam mengharumkan nama negara pada masa akan datang.

l Muncul di pentas AIM

Biarpun tidak tercalon dalam mana-mana kategori dalam Anugerah Industri Muzik ke-16 yang akan diadakan pada 2 Mei ini, tetapi peluang untuk menjadi penyampai anugerah dalam pertandingan itu merupakan peluang cukup bermakna buat Noryn.

Mengaku amat teringin untuk bertanding dalam acara berkenaan, harapan Noryn pada tahun hadapan dia dapat merasai peluang tersebut setelah tampil dengan albumnya nanti.

Walau bagaimanapun bagi peminat yang selama ini ingin melihat wajah Noryn, mereka boleh menyaksikannya melalui saluran NTV7 yang akan menyiarkan secara langsung acara berkenaan.

Dalam AIM ke-16 itu nanti Noryn akan muncul dengan pakaian rekaan Bill Keith sambil memperagakan kalung berlian yang dipakai untuk sesi fotografi Pancaindera ini.

Dalam masa yang sama NTV7 yang merupakan penyiar rasmi acara itu turut menyiarkan Prelude AIM 16 yang memberi peluang penonton melihat di sebalik kegemilangan acara berkenaan sejak ia diperkenalkan pada tahun 1994.

Rancangan itu disiarkan setiap hari Khamis sejak 9 April lalu selama setengah jam bermula pukul 9 malam.

Sementara pengacara yang akan menghangatkan majlis kemuncak pada acara itu nanti ialah Afdlin Shauki, Adibah Noor dan Bob Lokman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: