Sunday, April 26, 2009

Siti Jarum

Marilah menonton
Siti ketawa sampai berguling-guling mendapat tahu FOMCA melancarkan kempen tidak menonton televisyen. Ini betul-betul kelakar of the year. Inilah masalahnya apabila memilih cara mudah nak selesaikan masalah. Akhirnya semua jadi masalah.

Siti fikir FOMCA kena realistik bahawa televisyen adalah keperluan sosial dalam kehidupan moden. Malah televisyen juga adalah teknologi komunikasi yang tidak mungkin siapa saja menahan arusnya.

Siti juga tidak menafikan sesetengah isi kandungan dalam program televisyen kita sangat membimbangkan. Tidak membawa nilai-nilai yang boleh membina manusia sebaliknya membina nilai materialistik.

Tapi ada juga program televisyen yang membawa manfaat kepada penonton misalnya berita, dokumentari, sukan dan beberapa jenis lagi. Kalau FOMCA tak bagi kita menonton televisyen, FOMCA juga seolah-olah kata jangan ikut perkembangan semasa dalam program berita atau pengetahuan am dalam dokumentari.

Tidak menonton televisyen bukanlah cara membina institusi keluarga seperti yang disarankan oleh FOMCA. Malah menonton televisyen bersama seisi keluarga juga satu aktiviti keluarga.

Siti bukan penagih televisyen. Siti memilih program yang wajar ditonton saja. Maknanya televisyen hanya menjadi alat dan kita kena pandai mengawal kegunaan alat itu. Kita tidak boleh menganggap satu alat yang bahaya tidak boleh memberi manfaat kalau kita pandai menggunakannya.

Pesanan Siti kepada FOMCA, pisau potong sayur pun kalau tak pandai guna boleh terluka jari. Tapi tak ada pisau susah juga bukan?

Atau adakah kita setuju kalau dilarang menggunakan garpu kerana dalam filem Ibu Mertuaku, P. Ramlee menggunakan garpu untuk mencederakan mata? Banyak orang menggunakan garpu dengan selamat walaupun ada garpu mencucuk mata P. Ramlee. Maknanya bukanlah salah garpu tapi cara menggunanya.

SITI JARUM: Nak menghadap ibu mentuaku.

Kritikan Jackie Chan

Siti bukanlah peminat Jackie Chan. Siti peminat Bruce Lee. Siti tengok semua filem-filem Jackie Chan lebih banyak merapu dari bermutu. Malah Jackie Chan pula bukan pelakon tetapi stuntman yang membuat lawak dalam filem.

Tapi Siti tertarik dengan kenyataan politik Jackie Chan mengenai kebebasan melampau yang diberikan oleh kerajaan China. Siti fikir ketika mengeluarkan kenyataan ini Jackie Chan bukanlah badut seperti yang Siti tonton dalam kebanyakan filem-filemnya.

Lontaran kritikan berbau politik dan anti China (walaupun Hong Kong dalam China) memperlihatkan seorang artis juga perlu mengambil tahu hal ehwal di luar dunia mereka. Siti setuju dengan Jackie Chan bahawa kebebasan melampau akan memberi masalah yang lebih melampau.

Dalam kehidupan yang bertamadun, tidak ada kebebasan yang tanpa batas. Kebebasan berada dalam lingkaran tertentu dan kalau ada yang menuntut kebebasan misalnya kebebasan seni, ini suatu yang sangat mengarut.

Di negara kita, banyak yang menyalahkan sistem kononnya menyekat kebebasan berkarya. Tapi mereka tidak menyalahkan diri sendiri yang tidak boleh berkarya dalam lingkaran yang sewajarnya. Ini kerana mereka fikir hanya kebebasan yang menjadi penentu karya.

Siti fikir sesetengah orang kita kena renung kenyataan Jackie Chan tentang kebebasan yang tidak semestinya bebas ini. Kebebasan mutlak bererti tidak ada undang-undang dan boleh membuat apa saja.

Sesetengah karyawan filem terutama yang datang dari arus filem bebas menganggap sistem yang ada menyekat mereka berkarya. Maka mereka pun menyalahkan sistem yang ada. Mereka mempersenda hal-hal berkaitan agama, kaum dan mempromosi seks bebas. Apabila dilarang mulalah mempersoal kebebasan berkarya yang dipancung. Macam ini punya orang pun ada.

SITI JARUM: Dibesarkan di Chan Sow Lin.

10 minit saja

Minggu lepas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan Festival Drama 10 Minit. Festival ini diadakan di Stor Teater DBP yang sebelum ini banyak menganjurkan pementasan teater-teater kecil untuk menyuburkan budaya berteater di negara ini.

Konsep Festival Drama 10 Minit yang DBP anjurkan itu sama dengan filem pendek. Maknanya pendeknya durasi pementasan itu bukanlah faktornya tapi kepadatan idea untuk berteater dalam masa 10 minit.

Kawan Siti, Wahab Hamzah yang juga kolumnis Utusan Malaysia yang mengilhamkan festival ini percaya bahawa khalayak dan penggiat teater perlu dibina secara konsisten. Salah satu usaha Wahab adalah menggiatkan program pementasan di Stor Teater.

Jangan fikir teater yang durasi 10 minit itu sebagai sketsa. Ini bukan sketsa, ini teater. Ia sama dengan teater lain daripada segi mengolah idea dan pemikiran untuk disampaikan kepada khalayak. Malah ada sesetengah inti pemikirannya lebih besar daripada sesetengah teater di Istana Budaya.

Siti gembira apabila DBP melihat kepentingan teater dan berusaha membangunkan secara penuh tanggungjawab. Teater kecil termasuk yang 10 minit inilah yang menyumbang kepada budaya menonton teater yang besar dan gah.

Sebenarnya untuk membuat sebuah produksi teater yang besar tidak ada masalah kalau keperluan kewangan dipenuhi. Tapi untuk membuat teater 10 minit kalau tidak cukup modal di kepala, jangan harap kewangan yang banyak dapat menyelesaikan masalah.

Inilah bezanya modal di kepala dengan modal di tangan. Kalau banyak modal di tangan sekali pun di kepala kosong modal pemikiran, bukan teater yang baik namanya. Buktinya kita boleh ingat-ingat semula tentang teater yang gah tapi kosong.

SITI JARUM: Terima kasih kepada yang umpat keji.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: