|
|
SHAH ALAM - Pelakon Norish Karman menuntut supaya bekas suaminya, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir mengembalikan semula kenderaan Nissan Murano yang telah ditarik balik selepas perceraian mereka.
Tuntutan itu terkandung dalam permohonan untuk mendapatkan perintah sementara inter parte (sebelah pihak) harta sepencarian yang difailkan Norish di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.
Sehubungan itu, Hakim Abu Zaki Mohamad yang mendengar sebutan kes itu di kamarnya semalam menetapkan 17 Jun bagi kedua-dua belah pihak berhujah.
Norish, 34, hadir di mahkamah bersama anak lelaki sulungnya, Muhamad Haqiem Amani, 9, manakala Hashimuddin, 60, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti dari 1995 hingga 1999 hadir sendirian. Dia diwakili peguam syarie, Muhamad Burok.
Menurut peguam syarie, Akhbardin Abdul Kader, anak guamnya menuntut kenderaan itu atas alasan memudahkan dia menghantar anak-anak ke sekolah selain berlaku kecemasan.
Selain itu, pelakon drama Spa Q itu turut menuntut nafkah RM1,500 seorang bagi ketiga-tiga anaknya, bayaran sewa rumah RM5,000 serta upah pembantu rumah sebanyak RM900.
"Harta sepencarian yang lain pula dibekukan sehingga ia diputuskan mahkamah kelak," kata peguam itu lagi.
Sementara itu, Norish yang kini dikatakan bercinta dengan abang penyanyi dan pelakon, Faradhiya, Mohd. Luqman Mohd. Amin meminta supaya kisah mereka tidak diperbesarkan kerana ia memalukan keluarga.
Ditanya tentang tuntutan harta sepencarian pula, aktres dari Singapura itu menjawab: "Apa yang saya tuntut adalah seperti yang anak-anak dapat sebelum kami bercerai."
Pasangan itu bernikah pada 11 Januari 1998 di Perlis dan dikurniakan dua anak lelaki dan seorang perempuan. Selain Haqiem Amani, dua lagi anaknya ialah Muhammad Hady Amieran, 5, dan Nur Hanyz Amanda, 4.
Pasangan itu bercerai pada 15 Julai 2008 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: