Tuesday, April 21, 2009

Mula sibuk cari dana...Siti


SITI Nurhaliza

Datuk Siti Nurhaliza makin teruja untuk realisasikan impian mengadakan konsert amal di Istana Budaya

TANPA disedari, perjalanan seni figura terkenal bernama Datuk Siti Nurhaliza Tarudin sudah pun mencecah usia 14 tahun, 1 April lalu. Bagi seorang anak seni seperti Siti, berkemampuan untuk bertahan dalam bidang ini sepanjang tempoh itu adalah satu kejayaan manis buat dirinya.

Bukan mudah untuk berada di tempat di mana Siti berada ketika ini. Pelbagai pengalaman pahit manis, suka duka, asam garam terpaksa ditempuhi penyanyi berdagu lekuk ini sebelum mengecap kejayaan dan populariti yang sehingga kini masih belum pudar.

Justeru, sempena ulang tahun ke-14 pembabitannya dalam bidang seni, Siti ada cara tersendiri untuk meraikan dan berkongsi kegembiraannya itu. Sekian lama menyimpan hasrat, Siti berkata dia begitu teringin untuk mengadakan konsert amal.

Dan jelas si pelantun Di Taman Teman ini, konsert yang akan dijayakan di Istana Budaya pada Jun depan ini, adalah hadiah daripada hatinya, khusus untuk mereka yang sebelum ini tidak pernah jemu menyokong kerjaya seninya.

“Sebelum ini bukan Siti tak pernah ada konsert sendiri di Istana Budaya tetapi selalunya konsert itu Siti nyanyi lagu orang lain dan tidak sepenuhnya lagu Siti. Jadi untuk konsert yang akan datang ini, Siti akan nyanyikan lagi Siti sendiri sepenuhnya.



“Mengenai konsep, Siti masih belum memikirkannya lagi tapi apa yang boleh Siti ceritakan adalah Siti mahu konsert itu nanti mempunyai elemen seperti konsert Celine Dion di Las Vegas dan juga sewaktu saya mengadakan persembahan di Royal Albert Hall, London, empat tahun lalu. Siti amat tertarik dengan konsert itu kerana ia bukanlah sekadar nyanyian semata-mata. Ia adalah persembahan gabungan antara bunyi dan visual.

“Pun begitu, bukanlah bermakna saya meniru keseluruhan konsep persembahan Celine Dion. Konsert ini masih lagi mengikut acuan yang saya mahukan. Lagipun saya sedar untuk membuat konsert seperti itu pastinya memerlukan kos yang agak tinggi.

“Apapun masih terlalu awal untuk Siti menjelaskan lanjut mengenai konsert itu. Semuanya masih dalam peringkat perbincangan. Siti sudah pun menghantar kertas kerja kepada pihak Istana Budaya. Kita tunggu saja nanti bagaimana perkembangannya,” ujar Siti ketika ditemui pada sidang media Secretaries' Week Luncheon Special Exclusively With Kris Dayanti and Siti Nurhaliza di Hotel Quality City Centre, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tegas Siti apa yang lebih penting ketika ini adalah dia perlu mencari seberapa banyak penaja supaya konsert itu dapat direalisasikan.

“Sebahagian daripada hasil jualan tiket akan disalurkan kepada Yayasan Nurjiwa. Jadi saya harap selepas ini adalah pihak korporat dan swasta yang sudi untuk menaja konsert ini,” tutur Siti sambil mengharapkan konsert itu nanti akan menjadi kenangan paling manis buat semua peminatnya.

Sempena menyambut ulang tahun kerjaya seninya yang ke-15 tahun depan, penyanyi ini juga akan muncul dengan sebuah buku biografi bergambar yang akan menyiarkan foto menarik dan eksklusif sepanjang Siti bergelar anak seni.

Kembali jayakan Minggu Setiausaha

SELAMA dua tahun suaranya tidak berkumandang di mana-mana lokasi persembahan Minggu Setiausaha. Kali terakhir Siti muncul dalam acara itu adalah sewaktu dirinya masih bergelar anak dara dan pada masa itu Siti menjadi buruan media yang mahu mencungkil rahsia hatinya dan dengan lelaki manakah dia bakal menamatkan zaman solonya.

Kini, selepas dua tahun bergelar isteri kepada usahawan terkenal, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, Siti kembali memeriahkan acara itu dan lebih manis, penyanyi kelahiran Pahang Darul Makmur ini tetap setia dengan Hotel Quality City Centre untuk kali keenam.

“Terus terang, Siti memang merindui untuk kembali menghiburkan peminat Siti untuk minggu setiausaha. Bukannya apa, suasana acara itu sendiri memang menyeronokkan kerana Siti akan menyanyi pada waktu tengah hari berbanding persembahan yang selalu berlangsung pada waktu malam.

“Lagipun tawaran pihak Hotel Quality memang sukar untuk saya tolak kerana kami mudah untuk bekerjasama dan saling bersikap toleransi. Apa yang pasti, setelah dua tahun berehat, saya akan memberikan persembahan yang berbeza kali ini,” kata Siti yang akan mengadakan persembahan esok dan persembahan di Pusat Konvensyen dan Pameran Matrade (MECC).

Hadir sama pada sidang media itu Ketua Pegawai Operasi Cash Band (M) Sdn Bhd, Johan Thomas Low dan Penolong Pengurus Eksekutif tre, Hidzir Abdul Hamid.

Selain Siti, hotel berkenaan menampilkan diva dari Indonesia, Kris Dayanti yang akan membuat persembahan di tempat yang sama sehari sebelum persembahan Siti. Untuk kedua-dua acara itu, pelakon dan pelawak Dee akan bertindak sebagai pengacara manakala anak kepada mendiang Loga dari kumpulan Alleycats, Dsha Logan akan membuat persembahan pembukaan.

Bercerita mengenai corak persembahannya nanti, Siti berkata seperti biasa setiap nyanyiannya pasti akan diselitkan kelainan untuk kepuasan peminat.

“Siti akan menghiburkan penonton untuk tempoh 45 minit hingga sejam. Dan dalam tempoh itu juga Siti akan menyanyikan lebih kurang 10 buah lagu. Untuk persembahan ini nanti Siti juga akan menyelitkan lagu nostalgia sebagai hiburan semua peminat,” katanya yang akan menyanyi sambil diiringi enam pemuzik di bawah pimpinan Jenny Chin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: