Black Dog Bone mahu buktikan masih mampu hiburkan peminat di Istana Budaya mulai 8 Mei
ANDAI ditanya perasaan mereka ketika ini, barangkali sukar mahu dirungkaikan dengan perkataan. Terlalu banyak pertanyaan yang bermain di benak mereka namun satu janji Black Dog Bone (BDB) - memberikan persembahan terbaik selepas lebih 30 tahun tidak beraksi dalam konsert besar.
Saat ditemui di Istana Budaya, Jalan Tun Razak sempena kunjungan singkat untuk siri promosi Konsert Black Dog Bone , kumpulan legenda dari Singapura itu tidak menafikan akan ketakutan yang menyelubungi tatkala memikirkan detik bersejarah yang semakin mendekati.
Vokalisnya, Tahir Ali atau lebih dikenali sebagai Jatt, 53, mengakui antara kebimbangan besar yang sedang menguasai ialah apakah mereka masih mampu beraksi bertenaga selepas lebih 30 tahun tidak menjayakan konsert besar.
“Kami tidak dapat menolak pandangan skeptikal sesetengah pihak yang meragui apakah BDB masih diterima? Mampukah kami tampil bertenaga di pentas nanti?
“Disebabkan itu kami membuat persiapan rapi, apatah lagi ini peluang terbaik untuk BDB membuktikan kepada generasi muda kami masih mampu beraksi dengan penuh tenaga di pentas nanti.
“Banyak yang terpaksa kami korbankan dan kami perlu bersungguh-sungguh kerana konsert ini memberikan kami cabaran besar.
“Lebih lagi ada di antara lagu sudah lama tidak dinyanyikan dan itu membuatkan BDB terpaksa berlatih dengan lebih giat menjelang tarikh konsert,” kata Jatt.
Akuinya, BDB juga perlu melalui sesi latihan ketat, selain menuntut perancangan masa yang teliti disebabkan kebanyakan mereka mempunyai komitmen tersendiri.
Malah, katanya, dia sendiri terpaksa bekerja keras untuk membahagikan masa kerana masih terikat dengan kontrak persembahan di Bellini Grande, Clarke Quay, Singapura.
“Ia bukan sesuatu yang mudah kerana kami akan bermain 26 lagu dalam konsert selama dua jam setengah itu. Konsert ini juga menguji kekuatan kami untuk beraksi selama tiga malam berturut-turut.
“Paling dibimbangi adalah tenaga. Jika fizikal tidak bersedia dan latihan tidak betul, ia akan menimbulkan kesukaran kerana konsert ini menuntut tenaga yang banyak.
“Alhamdulillah, walaupun tidak bersama BDB saya tetap ke gimnasium untuk latihan dan stamina kerana masih aktif menyanyi di kelab di Singapura.
“Cuma pada permulaan latihan, James dan Masron menghadapi masalah kerana sudah lebih 20 tahun tidak meniup trumpet dan saksofon. Tetapi sekarang ia semakin lancar,” katanya mengenai sesi latihan yang semakin giat dijalankan di Singapura.
Cabaran juga dirasainya apabila dia terpaksa menghafal kembali lagu seperti Sayang, Bahagia & Derita dan Zai yang sudah jarang dimainkan untuk konsert yang bermula pada 8 Mei itu.
Sementara itu, Masron yang bertindak sebagai peniup trumpet serta vokalis BDB berkata, tawaran beraksi di Istana Budaya dalam konsert yang turut menampilkan Jay Jay dan Rahim Othman juga menguji kemampuan mereka untuk menarik khalayak.
Ini kerana katanya, ada sebilangan anak muda turut mengikuti perkembangan muzik BDB membuatkan mereka tidak sabar mahu melihat bagaimana reaksinya nanti.
“Ketika kami membuat persembahan di Planet Hollywood, dua tahun lalu, ramai anak muda hadir memberikan sokongan.
“Membuatkan kami terharu apabila mereka turut sama menyanyi sedangkan kebanyakan lagu kami rakamkan sebelum mereka belum lahir,” katanya.
Tambah Jatt, ketika menerima pelawaan daripada Ali Bakar untuk menjayakan konsert berkenaan, dia tidak berani memberikan kata putus.
Ini disebabkan mereka hanya sesekali bertemu untuk menjayakan persembahan, tambahan pula tidak semua anggota BDB masih aktif sebagai anak seni.
“Kami tertarik dengan idea untuk menyatukan BDB dengan kumpulan Carefree kerana mereka ialah kawan lama kami dan sama-sama berusaha mencari tapak dalam bidang seni dulu.
“Kami agak terkilan apabila diberitahu Carefree menarik diri kecuali Jay Jay yang bersedia untuk muncul bersama. Kami faham perasaan hampa dan kesedihan Jay Jay tetapi gembira kerana dia masih mahu meneruskan perancangan ini,” katanya.
Penarikan Carefree juga membuatkan BDB menukar beberapa perancangan pada konsert berkenaan namun kata Jatt, akan ada segmen yang mengimbau nostalgia sebagai lambang keakraban persahabatan antara mereka.
“Dulu kami selalu mengadakan persembahan bersama. Antara kami tiada jurang, malah saling membantu untuk sama-sama berjaya kerana setiap kami mempunyai pengikut tersendiri,” katanya.
Akui Jatt, Konsert Black Dog Bone bersama Orkesta Simfoni Kebangsaan itu juga mengimbau kenangan ketika mereka mula bertapak di Kuala Lumpur, 32 tahun lalu.
“Ketika itu, kami baru merakamkan album pertama tetapi sudah diberi peluang untuk mengadakan konsert di Stadium Negara. Sangkakan tidak ramai yang datang kerana baru pertama kali BDB masuk Kuala Lumpur.
“Namun sangkaan kami meleset apabila lebih 50,000 datang, membuatkan kami gemuruh dan ketakutan. Tapi apabila di atas pentas, melihat sokongan peminat terus menyuntik semangat kepada kami untuk menghiburkan mereka.
“Ramai yang mendapatkan tiket pada saat akhir kerana sebelum itu, kumpulan D’lloyd dikhabarkan akan membuat persembahan tetapi dibatalkan. Dari konsert itu juga kami mula kenal dengan Jay Jay dan Carefree. Ketika itu mereka belum ada album lagi,” katanya.
BDB ditubuhkan di Singapura pada 1972 bersama anggota asal terdiri daripada Jatt, Izhar, James, Michael, Masron dan Hamid.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: