Sunday, April 19, 2009

Muhasabah Nabil


TERBABIT dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini mengingatkannya supaya kembali ke pangkal jalan. Walaupun terlalu gembira dengan status Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH) sejak seminggu lalu, Nabil menjadikan ia sebagai ‘ingatan’ untuk hidupnya.

Akuinya, mungkin apa yang terjadi itu mempunyai hikmah tersendiri. Mungkin kerana terlalu seronok dengan kejayaan yang dikecapinya, Allah yang Maha Esa memberi petunjuk kepadanya supaya tidak lupa diri.

“Kemalangan itu terjadi minggu lalu. Ketika itu saya dalam perjalanan untuk ke ntv7 menaiki motosikal Kawasaki 750. Kerana gagal mengawal motosikal di selekoh, saya akhirnya jatuh dan terseret beberapa meter.

“Beberapa pemandu yang ada di sana memberhentikan kenderaan untuk membantu saya. Malah mereka memberitahu, sebelum itu satu lagi kemalangan berlaku di situ.

“Disebabkan jalan yang berminyak akibat kemalangan berkenaan, saya pula yang menjadi mangsanya.

“Nasib baik saya pakai jaket keselamatan, luka tak teruk. Begitupun, hari pertama kemalangan, saya tidak boleh bergerak kerana pinggang saya terhentak pada pembahagi jalan.

“Namun, alhamdulillah, cuma otot pinggang yang bengkak dan kini saya boleh bekerja,” katanya.

Tambah pemenang kategori Artis Komedi Popular, ABPBH ini, semua yang terjadi mungkin amaran daripada Tuhan yang Maha Berkuasa. Akibat kejadian itu, Nabil mula sedar dia tidak sepatutnya terlalu gembira dengan apa yang diperolehnya kini.

“Terus terang saya katakan, selepas meraih tiga anugerah di ABPBH, saya teruja dengan kejayaan itu, malah ia terbawa-bawa sehingga hari ini. Selepas kejadian itu, saya mula muhasabah diri dan melihat kenapa boleh jadi begitu.

“Mungkin ia terjadi untuk menyedarkan saya supaya tidak lupa diri. Kini, saya kembali ke ‘pangkal jalan’ dan cuba untuk menjadi seperti dulu dan tidak bermegah dengan apa yang saya miliki hari ini. Insya-Allah, saya tidak akan lupa asal usul saya sebelum dan selepas bergelar artis,” katanya.



Ketika ini, motosikal berkuasa besar dimilikinya dalam proses dibaik pulih kerana rosak teruk. Jelas pemilik nama Ahmad Nabil Ahmad ini, buat masa ini Irma Hasmie menjadi ‘pemandunya’ sementara menunggu motosikalnya siap dibaiki.



“Irma akan membantu untuk menghantar saya ke lokasi atau untuk menghadiri sesi fotografi bersama media. Jika dia sibuk, pengurus saya pula yang akan mengambil alih tempat itu.

“Dia menjadi orang pertama mengetahui kejadian yang menimpa saya. Mengetahui perkara berkenaan, dia tidak habis-habis membebel dan menyuruh saya menunggang motosikal dengan lebih laju lagi,” katanya sambil tergelak mengingati peristiwa itu.

Untuk kali ini, Nabil berharap tidak ada pihak menganggap dirinya mula meminta-minta atau ‘demand’. Katanya, sekarang ini pun sudah ada pihak menganggap dirinya dalam status ‘artis mahal’.

“Saya tidak mahu dilabelkan sebegitu. Saya orang baru. Meskipun memenangi tiga kategori ABPBH, jangan memandang saya seperti itu. Banyak yang perlu saya pelajari berkenaan industri ini.

“Sebelum ini saya pernah menerima tawaran kerja semurah RM500, malah saya juga tidak pernah meletakkan harga lebih daripada RM10,000, apatah lagi keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan. Paling mahal bayaran yang saya terima setakat tahun ini cuma RM5,000,” katanya.

Tambah Nabil, dia akan cuba melakonkan watak serius dan keluar daripada zon selesanya. Untuk menguji kredibilitinya, Nabil bakal membintangi sebuah drama arahan sutradara Jinggo tidak lama lagi.

“Insya-Allah, jika tiada aral, drama itu akan mula dirakam tahun depan. Kali ini saya mahu mencuba sesuatu yang baru. Walaupun sebagai pelawak, saya harus cuba pelbagai watak lain untuk lebih versatil.

“Lagipun, rakan sering mencabar sama ada saya mampu melakonkan watak berkenaan atau tidak. Jadi kali ini saya akan cuba buktikan kemampuan saya.

“Harap-harap saya boleh melakukannya,” katanya yang berhasrat mahu bergelar penyanyi dan memiliki sekurang-kurangnya sebuah album berkonsepkan komedi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: