|
ASSALAMUALAIKUM! Alhamdulillah, selesai sudah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 Ahad lalu dengan jayanya. |
Tahniah kepada Berita Harian kerana sekali lagi berjaya menyelesaikan pencarian nama popular mengikut kategori yang ditentukan.
Paknil sekali lagi ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada peminat dan penyokong Paknil yang tekun memangkah nama Paknil sehingga sekali lagi dinobatkan Pengacara TV Lelaki Popular. Hanya Tuhan yang dapat membalas budi anda semua.
Sejujurnya, Paknil terperanjat kerana masih lagi naik pentas untuk kategori ini. Sejak tiga tahun lalu lagi Paknil bersedia untuk menerima keputusan yang sebaliknya. Memang sudah ditakdirkan rezeki Paknil. Alhamdulillah.
Dengan mandat terbaru ini, Paknil berikrar akan terus bekerja memberi kelainan dalam teknik pengacaraan kerana percaya jika Paknil terus di takuk lama, Paknil mungkin kelihatan ‘out-dated’ dan tidak relevan lagi.
Sebenarnya, perubahan ini memang sentiasa Paknil utamakan setiap tahun supaya penonton rancangan kelolaan Paknil tidak disajikan dengan hidangan sama.
Biarpun sedikit perubahan, namun Paknil kena ambil kira selera penonton. Insya-Allah, Paknil akan teruskan cara ini untuk berkarya.
Paknil juga mahu melihat wajah baru menggantikan Paknil sebagai pemenang kategori ini, tetapi biarlah pemenang itu bekerja keras mendapatkannya sebagaimana Paknil lakukan sebelum pertama kali merangkul gelaran. Paknil sering kecundang sebelum itu.
Paknil puas dengan kemenangan pertama Paknil kerana hanya selepas 13 tahun berkecimpung, Paknil diiktiraf peminat.
Jadi, jika kita inginkan muka baru memenanginya nanti, biarlah ia berdasarkan merit dan bukan kerana sekadar suka-suka ingin berubah angin. Ini lebih bahaya kerana ia tidak membantu memacu kemajuan industri.
Berbeza dengan mandat yang diberi pengundi kepada parti politik di mana ia dilakukan setiap empat tahun sekali sedangkan kami di ABP, setiap tahun.
Ini bermakna semua calon dan pemenang tidak boleh leka dan hanyut dengan kejayaan awal. Selepas 11 bulan, pengiktirafan daripada orang ramai akan dikutip semula.
Ia lebih getir daripada calon kerusi pilihan raya! Ini juga bermakna kami tidak boleh berbulan madu selepas kemenangan kerana kami harus membuktikan kami menghargai anugerah pemberian pengundi dan terus memberi yang terbaik selepas itu.
Bagi kekalahan Paknil dalam kategori Penyampai Radio pula bukanlah sesuatu yang memeranjatkan sebab Paknil pun baru setahun dua saja dalam bidang radio.
Namun Paknil tetap akan bekerja keras untuk meyakinkan pengundi dengan kualiti kerja Paknil selepas ini. Paknil yakin kualiti kerja Paknil belum memenuhi piawaian pengundi.
Satu lagi yang mengejutkan Paknil apabila Paknil turut disenaraikan sebagai antara yang paling popular di belakang Nabil, Mawi dan Datuk Siti Nurhaliza.
Ini juga menjadi kayu ukur buat Paknil supaya tidak mensia-siakan kepercayaan peminat. Paknil harus melihat jauh ke dalam diri Paknil sehingga pengundi meletakkan Paknil hampir setaraf dengan Bintang Paling Popular.
Kecil sangat rasanya sumbangan Paknil untuk berada setinggi itu, tetapi Paknil tetap bersyukur dan berharap populariti Paknil dinilai melalui kerja, bukan publisiti murahan dan kontroversi. Insya-Allah, Paknil cuba jauhkan diri daripada ujian negatif ini dan doa penyokong sangat Paknil harapkan.
Namun, ini tidak bermakna Paknil sudah bagus melangit dan tidak boleh ditegur.
Jika ada ketikanya selepas ini ada yang nampak Paknil seolah-olah di awangan kejayaan, tegurlah supaya Paknil segera meletakkan kaki ini kembali berpijak di bumi nyata.
Kita hanya manusia yang kadangkala tewas dengan khayalan dan godaan. Jadi, Paknil akan terus membiarkan diri ini ditegur kerana Paknil percaya teguran sayang itu lebih baik sebelum terlambat.
Bertuah Paknil kerana memiliki pekerjaan ini kerana ramai yang memantau supaya Paknil lebih berhati-hati.
Pemantauan awam sebegini memang jarang ada pada pekerjaan lain dan Paknil sangat bersyukur!
Seperti yang Paknil janjikan minggu lalu, Paknil ingin coretkan antara yang Paknil dapat amati berlaku ketika majlis ABP lalu:
Paknil terperanjat melihat perubahan fesyen rambut Mawi. Mawi betul-betul berbeza. Sejak dari dalam AF Mawi asyik berimej botak, tetapi kali ini Mawi nampak ‘berambut’! ‘OK ke bang?” tanya Mawi.
Berkesempatan berjumpa Ustaz Asri Rabbani sebelum acara bermula, Paknil bercerita bagaimana adiknya, Ustaz Ghazali, ketika menjadi penceramah yang berkesan di Makkah semasa Paknil menunaikan haji yang lalu. Sememangnya sejuk perut ibu mereka mengandungkan anak yang bijak dalam agama dan pandai mengaji.
Ada ketikanya Paknil bergambar dengan Eizlan Yusuf, Farid Kamil, Diddy Hirdy dan AG (penyampai radio), Paknil terpaksa berjingkit supaya dilihat sama tinggi dengan mereka! Kelakar betul kerana di antara mereka, Paknil paling pendek. Mereka itu semua tinggi lebih 170 sentimeter dan Paknil? Lu tekalah sendiri!
Pernah terjadi di belakang dewan, penganjur terpaksa bertempik meminta semua artis dan tetamu kembali ke tempat duduk kerana kerusi di depan pentas kelihatan kosong. Ketika itu Paknil rancak ditemubual pihak media dan Paknil lihat memang ramai yang berlonggok di belakang dewan. Mungkin ada yang ingin melepaskan gian merokok atau terlalu lama duduk. Sekejap itu juga, mereka bertempiaran kembali ke kerusi!
Wah! Dalam majlis kali ini nampak gayanya sudah ada produksi TV yang membuat kerja ‘Polis Fesyen’! Ini semua gara-gara meniru kerja produksi Barat yang mensabitkan seseorang artis dengan kesalahan berpakaian! Paknil juga ‘ditangkap’ oleh produksi itu kerana dikatakan silap berpakaian walaupun cuba mengikut tema. Namun fesyen pakaian Paknil dikatakan nampak murahan! Kasihan busana Calvin Klein yang rupa-rupanya tidak terserlah di badan Paknil! Paknil gelak sajalah.
Rasanya bukan Paknil saja yang perasan dengan perubahan karektor anak bujang Datuk Yusuf Haslam yang sangat peramah pada malam itu. Sebelum ini, Paknil lihat Shamsul pendiam dan sangat berhati-hati bila bercakap, tetapi pada malam itu Shamsul sangat ‘happening’.
Ada tak sesiapa perasan di kaca TV, ketika Fara Fauzana diumumkan sebagai pemenang, ada pelekat yang melekat pada bajunya dan dibawa naik sehingga ke pentas. Itulah bahayanya apabila duduk di kerusi yang ada label nama kerana sering terjadi pelekat itu terlekat pada pakaian. Pernah juga jadi pada Paknil dan jadi bahan ketawa orang. Lepas kejadian itu, Paknil lebih berhati-hati.
Rata-rata kami yang menonton dari tempat duduk di depan pentas tersipu-sipu di kala persembahan Farah Asyikin. Farah yang berpakaian singkat paras lutut sering tersingkap pakaiannya ketika bergerak agresif. Lebih berani lagi bila dia dua kali dijulang penari. Rasanya susah juga Farah hendak beri tumpuan pada persembahannya kerana sedar pakaiannya asyik terselak. Yang lucunya, kami di bawah juga sukar hendak beri tumpuan kepada persembahan Farah!
Paknil adalah saksi terdekat ketika Nabil memeluk Irma selepas diumumkan sebagai Bintang Paling Popular. Paknil perasan betapa gembiranya Nabil sehingga ‘terpeluk’ Irma. Yang lucunya, Paknil juga terperasan perubahan wajah Nabil apabila menyedari perbuatannya ‘terlebih sudah’! Paknil yakin, itu cuma reaksi spontan Nabil dan bukan sengaja ingin menunjuk-nunjuk.
OKlah cukup setakat ini. Anggaplah corat-coret Paknil sekadar gurauan daripada Paknil. Pasti berlaku terlebih pandang seperti ini dalam mana-mana majlis sekalipun dan Paknil juga sering menjadi mangsa pandangan orang lain. Biar terlebih pandang, jangan terlebih perangai! Wassalam. |
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: