|
|
HAMPIR tujuh bulan bergelar isteri kepada Muhammad Ali Abdullah, 38, atau Steven David Shorthose, perjalanan rumah tangga yang dilalui mereka sungguh bahagia. Suasana hidup yang berwarna warni itu menambah rencah hidupnya. |
Bagaimanapun, lumrah kehidupan suami isteri itu tidak akan lengkap tanpa kehadiran anak. Akui Maya Karin, naluri kewanitaannya kuat mahukan cahaya mata. Lebih-lebih lagi anak itu anugerah Tuhan yang tidak terhingga besarnya bagi pasangan yang berkahwin.
Namun, mengenangkan liku-liku perjalanan yang harus ditempuhinya buat masa ini, lebih elok dia merancang dulu. Tidak terniat di hatinya mahu melambat-lambatkan proses berkenaan, sebaliknya demi masa depan anaknya, lebih baik ia ditangguhkan dulu.
“Siapa yang tidak mahukan anak. Merekalah yang menjadi penyeri hidup di kala sunyi. Melihat rakan mengecap bahagia bersama cahaya mata masing-masing, sudah pasti jauh di lubuk hati ini tersentuh.
“Begitupun, bagi saya tidak mengapa jika ia dirancang. Lagipun melihat keadaan persekitaran sekarang, keadaan ekonomi yang tidak stabil dan kesibukan kerja membuatkan saya berfikir panjang.
“Saya tidak mahu anak yang dilahirkan nanti terabai dan tidak mendapat kasih sayang yang cukup daripada ibu bapa. Memikirkan masa depan anak membuatkan saya takut untuk memilikinya sekarang,” katanya.
Tambah aktres ini, satu hari nanti pasti impiannya memiliki cahaya mata akan termakbul. Begitupun, biar masa menentukannya.
“Insya-Allah, apabila bersedia sepenuhnya, saat bahagia itu akan datang jua. Saya dan suami juga tidak sabar-sabar untuk menimang cahaya mata pertama kami.
“Apapun, saya mahukan segala yang terbaik apabila dikurniakan anak. Saya melihat bagaimana ibu bapa saya membesarkan saya. Jadi pengalaman itu akan saya gunakan untuk mendidik anak supaya menjadi insan berguna kelak.
“Saya juga mengimpikan sebuah keluarga besar. Lebih-lebih lagi apabila suasana perayaan Aidilfitri dapat diraikan beramai-ramai seperti keluarga Melayu lain,” katanya.
Tahun ini, Maya berazam sendiri. Melupakan seketika kerjaya lakonannya, fokus aktres popular ini beralih kepada bidang seni suara.
Menurut Maya, dia mahu bergelar penghibur disegani. Namun, penerimaan terhadap dua albumnya yang terdahulu melemahkan semangat wanita ini. Kali ini, biarlah apa yang dilakukan menjadi.
“Kini, saya dalam proses mengeluarkan album ketiga. Belajar daripada kesilapan lalu, kini saya bangkit semula. Alhamdulillah, akhirnya Audi Mok bersetuju menjadi produser untuk album baru ini.
“Kali ini biar ia dilakukan dengan baik. Saya tidak mahu main-main dalam bidang ini. Cukuplah dengan maklum balas yang saya terima apabila album pertama, Erti Cinta dan Bukan Qalamaya menerima reaksi negatif,” katanya.
Tambahnya, sebagai wanita, sudah tentu hatinya rapuh apabila diberi komen negatif terhadap kerjayanya dalam seni suara. Mungkin dulu semangatnya hilang entah ke mana, tetapi kini Maya yakin dapat melakukannya.
“Sejak album kedua dikeluarkan tidak lama dulu, pelbagai komen diberi kepada saya. Sejak itu juga saya bagai hilang semangat untuk meneruskan kerjaya dalam bidang nyanyian. Tidak dinafikan juga, dulu saya gementar apabila menyanyi di pentas.
“Bagaimanapun, pengalaman itu mematangkan kita. Akhirnya saya berjaya memperoleh keyakinan itu kembali. Terima kasih kepada Audi Mok kerana sentiasa memberi semangat dan dorongan.
“Saya juga sedar, sebagai penghibur kita tidak mampu menghiburkan semua orang. Masing-masing punya cita rasa berlainan dan pandangan berbeza. Selepas ini saya akan melakukan apa yang termampu ikhlas daripada saya,” katanya bersemangat.
Begitupun, Maya tidak berani berjanji bila album terbaru itu akan disiapkan. Katanya, biar ia mengambil masa sedikit asalkan kualitinya terjamin.
“Bukan mudah untuk melahirkan produk berkualiti. Kadangkala ia memakan masa bertahun-tahun lamanya. Namun saya tidak kisah mengenai perkara itu, asalkan album kali ini dapat dilahirkan sebaik mungkin.
“Buat masa ini saya memilih lagu bersama lirik menarik. Audi Mok juga menyediakan enam lagu baru untuk dimuatkan dalam album ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: