| ARTIS jelita Maya Karin, akan menjayakan kempen alam sekitar pertamanya di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini (18 April), jam 8 pagi. |
Menurut kenyataan dikeluarkan syarikat pengurusannya, Satu Entertainment Sdn Bhd, kempen alam sekitar pertama Maya itu berjalan selama beberapa minggu sempena sambutan Hari Bumi pada 22 April ini.
Pengurus Satu Entertainment, Azlin Abas, berkata sebelum ini Maya giat berkempen untuk 60 Earth Hour pada 28 Mac lalu dan kini memfokuskan isu Anti Plastik Beg.
"Kempen itu berjaya membuahkan hasil yang unik dan akan ditunjukkan kepada semua yang hadir pada hari kemuncak nanti. Pelaksanaan kempen itu mendapat kerjasama daripada guru dan pelajar di tiga sekolah rendah sekitar Lembah Kelang," katanya.
Sekolah terbabit, Sekolah Rendah Seri Selangor di Subang, Sekolah Rendah Tun Hussein Onn2, Cheras dan Sekolah Rendah Taming Jaya, Seri Kembangan.
Agenda acara kemuncak kempen itu kehadiran pelajar dan guru dari ketiga-tiga sekolah berkenaan, pembahagian sarapan, nyanyian lagu Negaraku, ucapan Maya, ucapan ketiga-tiga guru besar dari sekolah berkenaan dan ucapan wakil syarikat kitar semula.
Acara lain, diadakan sukaneka membabitkan semua pelajar, menolak bola plastik ke arah lori kitar semula dan pengumuman penyertaan terbaik sekolah dan pemberian hadiah.
Tambah Azlin, Maya yang begitu mencintai keindahan alam sekitar sangat teruja menjayakan kempen itu kerana pencemaran udara bukan saja membuatkan udara tidak bersih malah mendatangkan pelbagai jenis penyakit.
"Kehidupan kita bertambah bahagia apabila kita dapat pergi ke mana saja dengan selamat dan jauh dari persekitaran yang kotor," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: