|
| TANGGAL 15 April ini genap sebulan penyanyi veteran, Zainal Cugat, 73, meninggal dunia akibat serangan angin ahmar. Di kalangan peminat irama muzik latin tempatan, Zainal Cugat atau nama sebenarnya, Zainal Abidin Yassin cukup popular. |
Dia bukan saja boleh menyanyi lagu pop dan malar segar dengan baik malah kemampuannya menyanyi dalam lapan bahasa seperti Inggeris, Sepanyol, Itali, Perancis, Brazil, Jepun dan Tagalog (Filipina) ternyata sukar ditandingi.
Menyorot sejarah pembabitan Zainal dalam bidang seni, anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur itu cukup popular di kelab malam sekitar 1960-an. Bakatnya mula bersinar selepas menjuarai Talentime di Stadium Chinwoo, Kuala Lumpur dua tahun berturut-turut bermula 1954.
Lagu Vollare yang dipopularkan Dean Martin dan Come Closer To Me oleh Nat King Cole membuktikan kehebatan Zainal yang diiktiraf satu-satunya penyanyi Melayu berkebolehan menyanyikan lagu Latin.
Dalam meniti usia emas, Zainal tetap aktif menyanyi dan memenuhi undangan persembahan. Biarpun tidak tampil menerusi album solo, Zainal turut diberikan kesempatan menjadi sebahagian daripada 12 artis yang terbabit dalam album kompilasi, Anugerah.
Dalam album terbitan Gemilang Mirza Sdn Bhd (GM), LFI Event & Entertainment tahun lalu itu, dia menyampaikan satu-satunya lagu latin dalam album berkenaan iaitu Besame Macho.
Pengurus Besar LFI Event & Entertainment, Johari Buyong menyifatkan arwah Zainal seorang yang berjiwa seni malah mempunyai semangat kental.
Walaupun tanpa album dan sokongan daripada pihak syarikat rakaman, arwah membuktikan kemampuan menyanyi lagu Latin dengan cukup baik sehingga penghujung hayatnya.
"Arwah seorang cekal. Kebolehannya menyanyi dan menari dengan irama Latin sukar ditandingi. Sebelum ini kami sudah merakamkan empat lagu Latin yang diberikan nafas baru. Hanya tinggal satu lagu yang perlu dirakamkan. Begitupun penghujung tahun lalu dia mula mengalami kesakitan jadi proses merakamkan lagu untuk album sulungnya itu terpaksa ditangguhkan.
"Zainal memaklumkan untuk tetap menyiapkan album Latin berkenaan. Begitupun, dia hanya bersedia membuat rakaman selepas kesihatannya pulih. Begitupun, dia menyambut seruan Ilahi terlebih dulu.
"Kami berasa sedih dengan apa yang berlaku. Sebagai seorang rakan saya bangga dengan kesungguhan dan disiplinnya. Walaupun tanpa bantuan dan sokongan daripada mana-mana pihak dia tetap bersemangat menyanyikan lagu berentak Latin.
"Mengenang semangat beliau kami merancang menghasilkan sebuah album tribute untuk Zainal. Mungkin satu lagu yang tinggal itu diterbitkan dalam bentuk minus one selain menjemput beberapa artis jemputan untuk album berkenaan.
"Begitupun segalanya bergantung kepada perbincangan bersama pihak pengurusan dan terutama sekali keluarga arwah," katanya.
Sementara itu, komposer, Jammie James, 34, yang bertanggungjawab merakamkan lagu berkenaan mengakui kebolehan Zainal menyanyi. Malah sepanjang mengenali Zainal, dia kerap memaklumkan impian untuk menghasilkan album yang tidak pernah kesampaian.
"Dia (Zainal) satu-satunya penyanyi Melayu yang boleh menyanyi lagu Latin dengan baik. Saya mengenalinya hampir 10 tahun. Sememangnya semangat Zainal harus dicontohi generasi muda kini yang meminati muzik," katanya.
Bagi penyanyi yang popular dengan lagu Hai Apa Khabar, Zur Eda Mokhtar pula mengakui Zainal seorang penyanyi yang menjadi rujukan terbaik buatnya untuk menyanyi dalam irama Latin.
"Zainal suka membantu. Dia sememangnya mempunyai semangat penyanyi dan pemain muzik yang benar-benar komited. Saya kagum dengan semangatnya yang tetap setia dengan irama Latin sehingga akhir hayat.
"Memang apabila saya mahu menyanyi lagu Latin seperti lagu dari Itali atau Sepanyol saya akan mendapat rujukan daripadanya terlebih dulu.
"Kami cukup akrab dan sama-sama menjayakan persembahan di kelab-kelab malam. Malah kebanyakan artis dan pemuzik dari kelab malam cukup mengenali arwah Zainal," katanya.
Zainal meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi jam 10.10 pagi pada 15 Mac lalu. Dia dimasukkan ke hospital itu selama tiga minggu kerana mengalami masalah kesihatan yang dialaminya sejak tiga bulan sebelumnya.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tujuh anak. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas, Ampang.
Bakat Zainal diwarisi tiga anaknya, Raizan, Shahrizal dan Mohd Razif.
Raizan atau Neves adalah penyanyi dan pengubah lagu bagi kumpulan Pretty Ugly yang popular dengan lagu Diari Seorang Wanita, Shahrizal berkebolehan menyanyi dan bermain gitar pernah mengadakan persembahan bersama bapanya dan kumpulan Lost Latinos.
Sementara Razif pula mempunyai potensi mewarisi bakatnya menyanyikan lagu berentak Latin serta berkebolehan bermain gitar. Razif juga aktif mengadakan persembahan di sekitar ibu kota.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: