Sunday, April 26, 2009

Maut latihan payung terjun


Mohd. Jais


PADANG BESAR – Seorang anggota payung terjun 10 Briged Para dari Kem Terendak, Melaka terbunuh manakala dua lagi cedera ketika membuat latihan terjunan di Felda Chuping, Mata Air di sini pada pukul 10.45 pagi semalam.

Mangsa yang maut ialah Zamri Yusof, 26, dari Pasir Mas manakala dua lagi rakannya yang cedera dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supritendan Che Man Md. Dros yang mengesahkan kejadian itu memberitahu, kejadian tersebut berlaku ketika mereka membuat latihan di kawasan Felda terbabit.

“Berdasarkan siasatan awal mangsa yang sedang mengikuti latihan payung terjun dikatakan ditiup angin sehingga gagal mengawal payung terjunnya sebelum jatuh ke sebuah kolam tadahan untuk menyiram tebu.

“Saya dimaklumkan ketika kejadian keadaan cuaca baik tidak hujan manakala kelajuan angin di antara enam hingga tujuh knot. Mangsa ialah penerjun ke-36,’’ jelasnya semalam.

Che Man berkata, Zamri dipercayai lemas ketika jatuh ke kolam itu dan gagal diselamatkan melalui bantuan pernafasan kecemasan oleh anggota penyelamat sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Sementara itu, seorang mangsa yang cedera, Mohd. Jais Mohd. Yusof, 38, memberitahu, mereka menaiki pesawat Hercules C130 sebelum membuat latihan payung terjun.

“Ketika berada pada ketinggian 300 meter sebelum mendarat, saya tidak sedarkan diri. Apabila sedar, saya sudah terhempas di darat dan dibawa ke hospital.

“Ketika ingin bangun, pinggang saya terasa sakit dan anggota yang lain membantu membawa saya ke hospital,’’ ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment