![]() |
| Alyah mahu berusaha lebih keras lagi. |
SERING kita mendengar di corong-corong radio lagu yang bertajuk Tak Mungkin Kerna Sayang.
Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan lagu tersebut merupakan antara lagu yang menjadi siulan orang ramai ketika ini serta tersenarai di beberapa carta radio popular negara.
Bukan itu sahaja, video klip lagu tersebut yang menjalani penggambaran di Jakarta, Indonesia itu juga turut dimainkan di stesen-stesen televisyen.
Siapapun pasti tersenyum gembira jika lagu yang dinyanyikan mampu menjadi antara lagu kegemaran orang ramai tatkala lambakan lagu-lagu serta penyanyi-penyanyi yang berkualiti ketika ini susah mendapat tempat.
Namun, Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan hanya mampu menadah tangan dan memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi atas limpahan rezeki yang diberikan kepadanya selepas sembilan tahun bergelar anak seni.
“Ini satu permulaan baru buat Alyah. Namun, Alyah masih belum boleh berbangga dengan apa yang ada.
“Masih banyak yang perlu diperbaiki dan Alyah perlu berkerja keras untuk itu,’’ ujarnya merendah diri.
Menyingkap kembali sejarah penglibatannya dalam bidang seni ini, nama Alyah mula dikenali setelah dia menjuarai pertandingan Bintang Hiburan Minggu Ini (HMI) anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Atas kejayaannya tersebut, Alyah dilamar oleh EMI dan menghasilkan sebuah album solo yang bertajuk Permata.
Album yang berkonsepkan pop komersial itu mendapat khidmat dan kerjasama daripada beberapa komposer terkenal seperti LY, Pacai, Ross Arifin, Taj Mahal dan ramai lagi.
Namun, mungkin rezeki belum menyebelahi anak kelahiran Gelang Patah, Johor ini menyebabkannya meninggalkan syarikat rakaman tersebut pada 2006 dan menyertai pertandingan One In A Million (OIAM) musim pertama.
Walaupun tersenarai dalam kelompok Top 12, Alyah hanya mampu bertahan hingga minggu keempat.
Kemudian, langkah Alyah tidak terhenti begitu sahaja. Alyah pernah juga menganggotai kumpulan The Fabulous Cats untuk album pertama mereka yang berjudul Fantastik.
Tetapi, dia terpaksa menarik diri atas sebab kesihatan ketika Fantastik giat dipromosikan.
Walaupun menghadapi pelbagai rintangan, gadis genit ini mempunyai jiwa yang besar.
Sekali lagi, Alyah cuba mencari rezeki sebagai anak seni, tampil secara solo di bawah Wake The Baby Records (WTBR), syarikat rakaman milik Ajai.
Muncul dengan konsep album dan lagu yang lebih segar dan trendy, akhirnya nama Alyah sedikit demi sedikit dikenali oleh peminat-peminat industri muzik negara.
“Jika dahulu, Alyah memang kurang dikenali. Namun sekarang, walaupun tanpa mengenakan sebarang solekan, ada juga yang kenal.
“Mengenai pembabitan Alyah dalam WTBR, Alyah mendapat tawaran daripada Ajai pada Julai tahun lepas untuk menjadi artis rakaman.
“Bagai pucuk dicita ulam mendatang, peluang tersebut tidak Alyah lepaskan,’’ ujarnya menyatakan rasa seronok.
Menurutnya, pemilihan konsep album yang lebih kepada pop Indo adalah hasil perbincangannya dengan Ajai.
Apatah lagi, kecenderungan peminat-peminat tempatan yang lebih menggemari genre muzik daripada negara jiran itu.
Dan secara kebetulan pula, menurut Ajai, suara Alyah yang besar seperti Khatijah Ibrahim itu sangat bersesuai untuk lagu-lagu pop Indo.
Memuatkan 11 buah lagu, antaranya Tak Mungkin Kerna Sayang, Yakinkan Cinta, Aku Yang Tertinggal serta banyak lagi nyata berjaya mencuri perhatian peminat-peminat muzik negara.
Untuk album kali ini, Alyah bukan sahaja mempertaruhkan kekuatan lagu dan vokal semata-mata, tetapi juga turut berduet bersama dua orang artis lelaki yang cukup terkenal.
Menampilkan Riz AF6 (untuk lagu Ku Pinjam Satu Bintang) dan Azan Ruffedge (Episod Bersama) pastinya menjanjikan kelainan dan bonus kepada peminat-peminat yang mendapatkan album terbarunya itu.
Malah, peminat-peminat juga turut dihadiahkan dengan dua buah video klip yang menjalani penggambaran di Indonesia iaitu lagu Tak Mungkin Kerna Sayang dan Ku Pinjam Satu Bintang.
Jadi, berbaloi rasanya memiliki album yang original daripada Alyah ini kerana selain memiliki lagu hitsnya, pendengar juga turut berpeluang menyaksikan dua buah video klip tersebut dan turut menyaksikan penampilan Riz dan Azan.
Bukan itu sahaja, kekuatan album ini juga turut dilengkapkan dengan barisan komposer seperti Ajai dan Omar serta penulis lirik Habsah Hassan, Slen, Abie dan Zel Fidhaue Hadauan yang pastinya mempunyai kualiti tersendiri.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: