Thursday, April 9, 2009

Roda-Roda KL musim baru


ANTARA babak menarik dalam Roda-Roda KL yang bersiaran setiap Rabu di TV2.


SAMBUTAN menggalakkan terhadap drama bercorak kepolisan menerusi Roda-Roda KL yang memaparkan cabaran anggota polis trafik telah memberi idea kepada Skop Production untuk meneruskan musim kedua siri itu.

Justeru, April ini TV2 akan menyiarkan Roda-Roda KL (musim 2), setiap Rabu, pukul 10.30 malam dengan mengetengahkan 13 episod dengan pelbagai kisah menyentuh tugas dan kehidupan anggota polis.

Membariskan pelakon terkenal seperti Serina Redzuawan, Datuk Jalaluddin Hassan, Memey Suhaiza, Farid Amirul dan Roy Azman, dengan episod pertama hingga ketiga membawa kisah mengenai Ranjau Jalanan.

Menerusi Ranjau Jalanan penonton diajak berkongsi kisah Unit Trafik dengan kehadiran anggota baru, Kopral Karim yang diserapkan dari cawangan Trafik Selangor.

Sifat Kopral Karim yang agak pendiam menyebabkan anggota lain menganggapnya sebagai anggota yang penuh dengan misteri.

Sebenarnya dalam diam, Kopral Karim memendam hati kerana masalah rumahtangga dengan isterinya, Sofea yang sering meluahkan rasa tidak puas hati dengan kehidupannya yang serba sederhana bersama Karim.

Tanpa Karim sedari, Sofea kerap berjumpa dengan bekas kekasihnya Ezam ketika Karim sedang bekerja.

Kemudian diikuti dengan Gerhana yang akan bersiaran sebanyak tiga episod.

Melalui tiga episod ini, pihak polis dan JPJ membongkar kegiatan sindiket lesen memandu palsu di kalangan orang awam yang tidak perlu menjalani ujian dan samseng di kalangan Mat Rempit.

Gerhana mengisahkan mengenai Amri, seorang pengantara dalam sindiket tersebut giat mencari mangsa. Salah seorang pelanggannya adalah rakan kolej Syafiq.

Dalam satu kejadian, seorang lelaki dipukul oleh empat orang Mat Rempit dan diselamatkan oleh Sarjan Manan dan Kopral Kamarul.

Ekoran daripada kejadian itu, polis cuba menjejaki mereka. Siasatan mendapati mereka adalah suspek yang di buru polis atas pelbagai kesalahan jalan raya.

Dalam pada itu, Kopral Karim semakin tertekan apabila sekali lagi ternampak isterinya Sofea dengan seorang lelaki. Di tengah kekalutan itu, Kopral Karim bertambah bingung apabila Sofea mahu menuntut cerai.

Lalu apakah tindakan yang diambil oleh Kopral Karim dan berjayakah dia menyelesaikan masalah peribadinya dan pada masa sama menunaikan tanggungjawabnya untuk menjadi seorang petugas trafik?.

Segalanya bakal terjawab apabila anda meluangkan masa menonton Roda-Roda KL (siri 2) di TV2.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: