Tuesday, April 21, 2009

Lima banduan cuba bolos


JIKA anda peminat cerita Korea, inilah masanya untuk mendengar khabar gembira. Buat julung kalinya, kumpulan B-Boy, yang terkenal di Korea Selatan akan membuat persembahan tarian muzikal ekstrem berkonsepkan komedi, 'Break Out'selama enam hari di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

B-Boy, yang dibawa khas oleh Korea Tourism Organisation (KTO) dan LG Electronics (M) Sdn Bhd, diyakini mampu menggamatkan suasana dengan gelak tawa penonton apabila mempersembahkan Break Out secara komedi dalam pelbagai bentuk tarian.

Break Out, mengisahkan lima banduan yang sentiasa kelam-kabut sudah lama menginginkan kebebasan hidup di luar penjara seperti manusia lain.

Bagi merencanakan impian mereka menjadi kenyataan, mereka merancang melarikan diri.

Nasib menyebelahi mereka, apabila menerima satu teks misteri yang mampu membantu mereka untuk melarikan diri.

Break Out, diadaptasikan oleh B-Boy dalam bentuk tarian dengan menggabungkan unsur gimnastik, break dance, yoga dan seni mempertahankan diri.

Di samping itu, budaya hip hop turut diselitkan dalam Break Out melalui tarian, muzik serta fesyen baju yang digayakan.

Sebelum ini, B-Boy sudah menempa nama di peringkat antarabangsa dengan membuat persembahan langsung di London, New York, Mumbai, Shanghai, Bangkok dan mendapat sambutan yang memberangsangkan.

Bagi Pengarah Urusan KTO, Kim Kee Hun, populariti budaya Korea dilihat semakin menular dalam kalangan rakyat negara ini melalui pengaruh filem, drama dan muzik.

"Dengan membawa B-Boy membuat persembahan, ia bukan saja sebagai hadiah kepada masyarakat di sini yang kelihatan semakin meminati budaya Korea malah sempena menyambut ulang tahun pertama jenama pelancongan Korea 'Korea Sparkling," katanya.



Mengulas objektif utama B-Boy dibawa ke sini, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif LG, Ko Tae Yeon, berkata ia antara tanggungjawab sosial korporat yang dijalankan LG selaku penaja utama, kerana semua hasil jualan tiket akan diserahkan kepada dua organisasi kebajikan.



"Hasil jualan tiket persembahan di Kuala Lumpur akan diserahkan ke 'LG Cleft Lip Project', satu projek yang dijalankan LG untuk mengumpul dana bagi menyediakan rawatan kepada pesakit yang mengalami bibir sumbing.

"Manakala, hasil jualan tiket persembahan di Pulau Pinang akan disalurkan ke D'Home Mental Health Association," katanya.

Break Out, akan dipersembahkan pada 23 hingga 24 Mei ini di Wisma MCA, Kuala Lumpur manakala Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang pada 27 hingga 28 Mei.

Harga tiket bagi persembahan ini adalah RM63 dan RM93 dan boleh dibeli secara online melalui laman web www.axcess.com.my atau hubungi talian hotline Axcess 03-77115000. Bagi enam pembeli tiket bertuah, berpeluang memenangi LG televisyen paparan kristal cecair (LCD) bersaiz 42 inci.

Persembahan amal ini mendapat sokongan daripada kerajaan Pulau Pinang, Persatuan Hotel-hotel Malaysia dan kedutaan Korea. Antara rakan media yang menjayakan persembahan amal ini seperti Star Publication (M) Bhd, 8TV dan ONE FM.

Sementara itu, Ko yakin LG Electronics (M) Sdn Bhd tidak terjejas oleh iklim ekonomi semasa yang agak kurang memberangsangkan.

"Walaupun keadaan ekonomi sekarang kurang baik dan kebanyakannya mengamalkan sikap berjimat cermat, permintaan terhadap produk kami masih meningkat. Syarikat akan memperkenalkan beberapa produk baru seperti peti sejuk, penyaman udara dan televisyen paparan kristal cecair (LCD) akhir bulan ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: