SEBUT pasal program realiti, SS lihat ramai orang kita khususnya golongan muda berminat untuk cuba nasib. Tidak kira program cungkil bakat nyanyi, lakon atau model, sambutan yang diterima cukup menggalakkan. |
Namun, dalam banyak program realiti yang disiarkan di televisyen, SS lihat ada program yang berjaya mengetengahkan kualiti peserta manakala ada pula yang sekadar popular pada nama tetapi mutu jauh sekali.
Tapi baru-baru ini SS dikejutkan dengan satu luahan rakan SS mengenai satu program realiti. Kalau SS sebut program ini mungkin tidak semua yang tahu kerana tidaklah popular seperti Akademi Fantasia atau One In A Million.
Kata rakan SS itu, dia tertarik memberi pandangan kerana melihat program ini berat sebelah dan tidak sesuai untuk negara berbilang kaum seperti di negara kita. SS pada mulanya hairan juga kenapa rakan SS cakap begitu kerana setahu SS, program realiti masa kini sudah terbuka malah ada yang terima artis sebagai peserta.
Namun, cerita rakan SS rupanya lain daripada apa yang SS sangkakan. Katanya, ketika program realiti berkenaan dilancarkan, antara syarat pertandingan ia terbuka pada semua bangsa. Bagaimanapun, rakan SS hairan juga kerana dalam musim sebelumnya kelihatan hanya satu bangsa monopoli barisan peserta.
Akhirnya rakan SS dapat tahu, program berkenaan turut mengenakan syarat lain, mereka yang ingin jadi peserta perlu fasih dalam bahasa asing. SS fikir kalau bahasa Inggeris, ia bukan masalah kerana ia dianggap bahasa antarabangsa.
Bagaimanapun, apabila SS sendiri dapat tahu bahasa yang diminta bukan bahasa Melayu atau Inggeris, SS pun terus hairan dan tertanya sendiri.
Rakan SS berkesempatan bertanya pada penganjur. Kata mereka, syarat itu dikenakan kerana cabaran dan komen juri hanya dibuat dalam bahasa berkenaan. Terlopong rakan SS mendengar jawapan penganjur.
Hebatnya mereka, sampaikan sanggup ketepikan bahasa rasmi hingga membuatkan ramai penonton tidak faham seolah-olah itu bukan program tempatan.
SS fikir tidak sepatutnya penganjur membuat syarat begitu kerana mereka harus sedar dan peka dengan sensitiviti masyarakat negara ini yang ambil berat soal bahasa ibunda.
|
Jangan terlalu fikir aspek komersial atau skop penonton, mereka alpa dan anggap bahasa Melayu tidak penting walaupun ada segelintir masyarakat kita kurang selesa untuk bercakap bahasa Melayu. SS harap perkara sebegini perlu diberi perhatian penganjur lain agar tidak berulang dan mengambil sikap berhati-hati.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: