MELAKA: Lima lelaki berpakaian menyerupai wanita antara yang ditahan dalam ‘Ops Bersepadu’ Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bersama polis cawangan jenayah berat dan kongsi gelap D7, polis tentera serta penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) di pusat hiburan dan kedai makanan dan minuman sekitar bandar raya ini, awal pagi semalam.
Mereka berusia 30-an ditahan ketika leka menikmati minuman keras sambil melayan pelanggan di beberapa kedai makanan dan minuman sekitar Cheng dan Batu Berendam.
Operasi bermula jam 1.30 pagi hingga 4.12 pagi dan serbuan dilakukan di tujuh premis dengan jumlah kekuatan anggota seramai 33 orang dari ketiga-tiga agensi terbabit.
Seperti menyedari Ops Bersepadu akan dijalankan, sejurus tiba di lokasi pertama di premis di Batu Berendam, beberapa lelaki berpakaian wanita serta pengunjung beragama Islam bertempiaran lari apabila van anggota penguat kuasa berhenti betul-betul di depan premis.
|
Bagaimanapun, tindakan pantas anggota penguat kuasa berjaya menahan sebahagian daripada pengunjung terbabit, termasuk beberapa anggota tentera, untuk pemeriksaan.
|
Selain berlari keluar, beberapa lelaki berpakaian wanita juga dilihat memasuki tandas premis pusat hiburan sebelum diarah keluar oleh anggota penguat kuasa MBMB.
Pegawai Inspektorat dan Pembangunan Komuniti MBMB, Mohd Derus Tompang, yang mengetuai operasi itu berkata, serbuan dan pemeriksaan dilakukan di premis berkenaan bertujuan mengesan premis yang melanggar akta perniagaan selain membanteras kegiatan tidak sihat seperti minum minuman keras, masalah sosial dan pengambilan dadah serta pil khayal yang semakin menular di kalangan pengunjung pusat hiburan, terutama remaja.
“Hasil pemeriksaan dan serbuan ke atas tujuh premis, MBMB mengeluarkan kompaun kepada tiga pusat hiburan kerana beroperasi lebih masa mengikut Enakmen Hiburan berjumlah RM30,000.
“Saman dikeluarkan kerana kita mendapati premis ini masih beroperasi di luar masa dibenarkan iaitu sehingga jam 12 tengah malam.
“Enakmen ini memperuntukkan hukuman denda RM10,000 jika disabitkan. Kita merampas peralatan pengadun daripada sebuah premis hiburan,” katanya ketika di temui di tempat kejadian.
Mohd Derus berkata, lima premis pula melakukan kesalahan pemindahan kerusi meja atau membuat halangan di tempat awam walaupun sesetengah premis mendapat kebenaran daripada MBMB untuk meletak kerusi meja.
“Walaupun ada premis mendapat kebenaran MBMB untuk meletakkan kerusi meja, kita tetap mengenakan kompaun kerana beroperasi melebihi had masa ditetapkan.
“Operasi bersepadu ini akan diteruskan dari semasa ke semasa. Kita juga menerima aduan orang awam yang merasa terganggu kerana ada premis beroperasi hingga awal pagi,” katanya.
Beliau berkata, Jaim pula menahan lima lelaki berpakaian wanita dan menyaman 12 pengunjung kerana berpakaian tidak sopan, termasuk lima yang beragama Islam minum minuman keras.
“Lima lelaki yang berpakaian wanita ini disaman mengikut Seksyen 73 Enakmen Syariah Negeri Melaka 1991, manakala 12 pengunjung yang didapati berpakaian seksi melampau memakai skirt pendek serta berbaju menampakkan dada diberi saman hadir mengikut Seksyen 71 enakmen sama.
“Jika disabitkan mengikut kedua-dua seksyen, mereka boleh didenda sebanyak RM1,000 atau penjara enam bulan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Derus berkata, anggota tentera yang diperiksa hanya diberi amaran kerana berada di kawasan larangan tetapi tidak menimbulkan syak terbabit kegiatan tidak bermoral.
“Polis pula memeriksa 36 orang lelaki dan wanita di dalam pusat hiburan bagi mengesan kegiatan yang menyalahi undang-undang.
“Semua yang diperiksa dicatatkan butiran peribadi mereka untuk tujuan rekod polis, namun tiada tangkapan dibuat,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: