Calon Pelakon TV Wanita Popular ABPBH 2008 seronok sertai PLKN
"MEMANG saya dijemput untuk menghadiri Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 pada 12 April ini, tetapi saya tidak pasti sama ada boleh menghadirinya atau tidak," kata pelakon dan model, Diana Danielle yang dicalonkan untuk bertanding dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular.
Pelakon ini ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dan stesen televisyen, 8TV di Kem PLKN Princess Haliza di Sepang pada 2 April lalu.
MoU adalah untuk menerbitkan sebuah dokumentari mengenai PLKN yang bakal disiarkan mulai 8 Mei ini.
Diana kini mengikuti PLKN di Kem PLKN Princess Haliza sejak 19 Mac lalu selepas menangguhkannya pada Kumpulan Satu siri 6/2009 kerana sibuk dengan kegiatan seninya.
Mengulas lanjut, Danielle berkata, soal kalah atau menang dalam ABPBH bukanlah perkara pokok yang sedang bermain dalam fikirannya ketika ini kerana terlalu sibuk dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan PLKN.
"Saya tidak kisah sekiranya tidak dapat menghadiri majlis anugerah ABPBH di Genting Highlands kerana tahu saya kini terikat kepada peraturan yang ditetapkan oleh pihak pengurusan PLKN.
"Lagipun, saya seronok tinggal di sini dan sama sekali tidak menyangka segala gambaran negatif yang diperolehi rupa-rupa tidak benar. Malah, saya tidak kisah sekiranya terpaksa tinggal lebih lama di sini," katanya.
Mengenai kegiatan seninya, Diana berkata, beliau tidak pernah terkilan kerana terpaksa melupakan sementara kegiatan seninya hanya semata-mata untuk menyertai PLKN kerana walaupun baru seminggu tinggal di kem itu, banyak perkara yang sudah dipelajarinya.
"Saya tidak sangka tinggal di dalam kem PLKN ini amat menyeronokkan walaupun pada awalnya saya mengakui berlaku sedikit kejutan budaya.
"Namun, berkat sokongan dan bantuan jurulatih dan rakan-rakan pelatih yang lain, semuanya berjaya diatasi kerana faham PLKN bertujuan menjadikan pelatih lebih berdisiplin dan bertanggungjawab," katanya yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Kontinjen Wirawati Kompeni Bravo pada siri kali ini.
Mengenai sama ada beliau menerima layanan berlainan berbanding pelatih lain, Diana berkata, dia dilayan seperti pelatih lain dan tiada sebarang keistimewaan diberikan kepadanya.
"Saya juga pernah ditegur dan dikenakan denda, jadi ini membuktikan saya tidak diberi sebarang keistimewaan. Tapi saya tidak kisah kerana ia dapat mendidik saya menjadi lebih dewasa kerana sebagai anak tunggal, memang saya sering dimanjakan mama," katanya.
alam pada itu, Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, pihaknya tidak mempunyai halangan untuk memberi pelepasan kepada Diana supaya beliau boleh menghadiri ABPBH 2008.
Bagaimanapun, katanya, Diana perlu mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan dan buat masanya pihak masih belum menerima sebarang permohonan daripada Diana untuk tujuan berkenaan.
"PLKN memang memberi kelonggaran kepada pelatih untuk keluar daripada kem, sekiranya ada perkara kecemasan khususnya yang membabitkan keluarga. Tetapi pada masa yang sama, pelatih atau keluarganya hendaklah mengemukakan alasan yang kukuh sebelum mereka dibolehkan keluar dari kem sepanjang tempoh menjalani latihan," katanya.
Masa untuk kurangkan berat badan
BEBERAPA hari sebelum mendaftar diri mengikuti program PLKN, si cantik manis ini sudah mula bercakap mengenai betapa dia pasti merindui masakan ibunya, Norsiah Ramli.
Bagaimanapun, ada kebaikannya juga iaitu dia dapat mengurangkan berat badan sepanjang tempoh tiga bulan di Kem PLKN Princess Haliza. Gadis ini mengakui sebelum masuk ke kem, berat badannya bertambah gara-gara melayan selera tekaknya.
Katanya, merindui rakan-rakan adalah sebahagian daripada ketahanan mental yang perlu dilaluinya dan paling penting dia juga harus menyesuaikan diri dengan keadaan dalam kem itu.
“Sudah tentu saya akan merindui mama, adik angkat (Halley Hayden) dan kawan tersayang. Saya juga akan melupakan seketika aktiviti seperti membeli belah, bersukan dan bergosip,” katanya.
Dalam sesi temu bual ini, Diana turut mengambil kesempatan memperagakan pakaian yang dihasilkan oleh pereka fesyen, Irwan Arsbo yang bertanggungjawab mereka busana bertemakan sentuhan tenun untuk digayakan pada malam kemuncak ABPBH 2008.
Maklumlah pelakon Air Mata Maria ini tidak lagi boleh berhubungan dengan Irwan memandangkan komitmennya terhadap PLKN yang harus diberi keutamaan.
“Kesempatan berada di dalam kem seboleh-bolehnya akan dimanfaatkan untuk menguruskan badan. Kalau tak muat pakai baju rekaannya, siapa yang susah?” usiknya yang memuji hasil inovatif dan kreativiti Irwan.
“Semestinya saya berharap mendapat pelepasan sementara waktu daripada komandan kem. Kalau dapat pelepasan saya mahu meraikan kejayaan malam anugerah ini sebagai tanda sokongan kepada akhbar Berita Harian dan peminat yang setia menyokong saya. Apatah lagi, ini kali pertama saya tercalon dalam ABPBH 2008,” katanya.
Busana yang digayakan Danielle berwarna hijau pucuk pisang ini antara contoh yang menepati tema ABPBH kali ini berkonsepkan sentuhan tenun atau songket. Katanya lagi, mujur muat juga baju tajaan Kraftangan Malaysia ini dan tampak terletak di tubuhnya.
“Ini gandingan pertama kami untuk pentas ABPBH 2008. Harapnya hasil rekaannya nanti akan menarik dan menawan hati saya dan paling penting ia menepati tema yang sudah ditetapkan kali ini,” katanya lagi.
Danielle tak cerewet
SEMENTARA itu, Irwan Arsbo, berkata selain Danielle, dia turut bertanggungjawab mereka busana untuk Kenchana Dewi buat kali kedua selepas ABPBH 2007.
Kata anak muda berusia 27 tahun kelahiran Bumi Kenyalang ini, dia mempraktikkan corak kaftan untuk disarungkan pelakon jelita itu.
Sudah tiga tahun berada di dalam arena fesyen tempatan, pelajar Giat Mara dan pemegang diploma Fesyen dari Bunka Fashion School, Kuala Lumpur ini banyak menggunakan bahagian kepala kain terutamanya untuk bahagian kaftan dan kolar untuk rekaan kepada Danielle.
“Penggunaan songket atau tenun digunakan di bahagian korset dengan perincian bunga penuh. Di lengan tangan saya banyak menggunakan butang bungkus. Korset dan kaftan itu akan dipadankan seluar panjang dan seluar itu hanya jelas kelihatan sewaktu Danielle berjalan. Untuk bahagian sisi kaftan saya terangkan kain dengan jahitan ‘baby sim’ termasuk menggunakan batu permata Swarovzki,” kata Irwan.
Ditanya mengenai Danielle, Irwan menjelaskan yang dia tidak mempunyai masalah bekerjasama dengannya. Ini adalah kali kedua mereka mencuri masa untuk berbincang mengenai rekaan bersempena ABPBH 2008 ini. Kali pertama mereka berbincang di rumah Danielle beberapa minggu sebelum ini.
“Dia setuju dengan setiap hasil lakaran awal yang dibentang kepadanya dan saya akan buktikan kerja tangan saya berbaloi untuk sesiapapun. Dia tak cerewet dan menerima cadangan saya dengan hati terbuka. Dia pernah tertarik dengan pakaian rekaan saya tahun lalu ketika Miss Malaysia, Deborah Henry memakainya dalam majlis minggu setiausaha di Hotel Istana,” katanya yang pernah mereka pakaian untuk Ayu Damit ketika Anugerah Planet Muzik tahun lalu.
PROFIL: Diana Danielle
- Nama penuh: Diana Danielle Danny Beeson
- Tarikh lahir: 22 November 1991
- Asal: Dilahirkan di Houston, Amerika Syarikat, namun dibesarkan di Kuala Lumpur sejak berumur dua tahun
- Keluarga: Anak tunggal
- Drama: Air Mata Maria, Janji Diana, Gol & Gincu The Series dan Farah Syakirah.
- Filem: Idola (ketika berusia sembilan tahun), Evolusi KL Drift, Maut, Bohsia*, Setem*, Kecoh Betul* dan Magika* (bertanda * filem lakonannya belum ditayang).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: