BARANGKALI kesan suntikan botox dan terapi kecantikan yang menjadi rejim hariannya, tidak banyak garis kedutan timbul di wajah Kris Dayanti.
Di usia pertengahan 30-an, dia masih kelihatan jelita seperti usia remajanya, justeru tidak hairan kenapa dia masih mengekalkan populariti sebagai diva paling hebat di Indonesia.
Bagaimanapun itu hanya di penglihatan orang lain. Kepada yang empunya diri, dia sudah cukup tua, kalis dengan pengalaman hidup.
Melihat angka penglibatannya dalam industri seni yang telah mencecah 20 tahun, Kris sedar akan dirinya yang semakin tua dan menghitung hari untuk mengundurkan diri daripada dunia seni.
Ditambah pula dengan persaingan sengit dan kemunculan penyanyi baru baik di Malaysia mahupun negara asalnya, Indonesia, Kris harus mempersiapkan diri bersaing dengan anak-anak muda.
"Saya sedar, saya bukannya makin muda, tahun ini pun umur sudah cecah angka 34 tahun. Anang juga ada beritahu, sekarang ini saya masih boleh menyanyi dan dikurniakan rupa yang dipinjamkan oleh Allah.
"Selepas ini jika sudah tua, muka sudah berkedut, saya akan tinggal di rumah menjaga anak atau terlibat dengan kerja belakang tabir sahaja," katanya jujur, mengakui kekurangan diri.
Namun, buat masa ini dia masih berdaya dan mempunyai ribuan peminat yang setia menonton serta membayar setiap hasil karyanya.
Istilah bersara belum lagi wujud dalam dirinya, malahan dia semakin bekerja keras untuk tampil berbeza dan menarik daripada penyanyi-penyanyi baru.
"Orang muda fikiran serta cita rasa mereka berbeza, lebih segar. Jadi, saya harus menyediakan diri saya sama seperti mereka dan lebih baik supaya dapat terus bertahan dalam industri seni dua negara. Jika tidak, saya akan ketinggalan jauh.
"Saya perlu buat muzik yang disenangi oleh orang muda supaya saya tidak ketinggalan" bicaranya merendah diri.
Selain bergelar penyanyi, Kris juga terkenal sebagai pelakon.
Bagaimanapun kini, dia lebih rela tinggal di rumah berbanding berada di lokasi penggambaran. Sekalipun mungkin ini bermakna sumber kewangannya hanya terhad kepada satu bidang, nyanyian, ia bukan hal yang merumitkan.
Bukannya dia sudah tidak mahu berlakon tetapi kecewa dengan kualiti yang ditawarkan pengarah sinetron di Indonesia.
"Sekarang ini, kualitinya kurang, kuantitinya lebih. Pada saya kalau sinetron itu tidak berkualiti dan karakter yang ditawarkan tidak menarik, untuk apa saya berlakon. Tak payahlah!" katanya.
Kepada ibu dua anak ini, lebih bernilai seandainya masa emasnya itu diluangkan bersama keluarga, di samping anak-anak yang semakin membesar.
"Lebih baik bersama anak-anak dan berehat sahaja. Bagaimanapun saya pasti, kalau ada tawaran yang benar-benar menarik, bagus, ceritanya memikat hati, pastinya saya terima. Saya bukan menolak mentah-mentah segala tawaran yang datang," ucapnya yang pernah membintangi filem Jatuh Cinta Lagi.
Janji dengan Siti
Jika dulu perancangan untuk diva terkenal dua negara Kris Dayanti dan Datuk Siti Nurhaliza bergabung dalam satu album kelihatan seperti omong kosong, kini tidak lagi.
Ini kerana perancangan itu bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi dalam sebuah album yang masih tidak berjudul.
Berita itu disampaikan sendiri oleh Kris Dayanti dalam pertemuan sebaik selesai mengadakan persembahan sempena Secretaries' Week Luncheon Special Exclusively With Kris Dayanti di Pusat Konvensyen dan Pameran Matrade, Jalan Duta, baru-baru ini.
Menurutnya, album yang sudah lama dirancang itu bakal menjadi kenyataan kerana baik dia mahupun Siti sudah bersetuju untuk membikin album, malah mereka juga sedang berusaha untuk menyiapkannya.
"Bulan November tahun lalu, Datuk K dan Siti menjemput saya dan Anang ke rumah mereka dan kami ada membincangkan perihal album duet itu.
"Ia mengambil masa yang agak lama kerana mencari lagu yang sesuai dan kesibukan kami membataskan perjalanan album ini, apa pun album duet kami harus diselesai dan dikeluarkan tahun ini juga," ujarnya.
Tambahnya lagi, album duet itu menggabung tenaga kerja dua negara termasuklah lagu-lagu yang bakal dimuatkan dalam album.
"Setakat hari ini sudah enam buah lagu yang disahkan. Ada empat lagu baru, dua dari Siti dan dua dari saya, manakala selebihnya, satu lagu hit masing-masing.
"Ini bermakna kami berdua akan menyanyi secara duet dalam setiap lagu untuk album ini. Cuma banyak lagi perkara yang harus diselesaikan, jadi sabar ya," tuturnya ramah.
Malaysia rumah kedua
Kris sebelum ini berpayung di bawah label Warner Music Indonesia mula berdikari apabila meninggalkan label yang dinaunginya selama 10 tahun itu. Kris kini sudah bebas dan tidak lagi terikat dengan syarikat berkenaan.
Keputusan itu turut disokong oleh suaminya Anang yang mahu melihat isterinya bergerak sendiri bersama syarikat rakamannya, KD Records.
"Saya sudah 10 tahun bersama label, banyak pengalaman yang saya kutip. Apabila mula bergerak sendiri memang agak sukar tetapi saya puas kerana boleh mencorakkan kerjaya mengikut kemahuan sendiri.
"Suami juga banyak membantu. Banyak perkara yang dulu saya ambil ringan kini dipandang berat dan setiap perkara kecil juga dilihat dengan teliti supaya tidak menimbulkan masalah di kemudian hari," jelasnya.
Walaupun tinggal di Jakarta, Indonesia, Kris kerap berulang-alik antara Malaysia dan Indonesia. Malah, Malaysia sudah dianggap seperti rumah keduanya.
Kekerapan berada di Kuala Lumpur dek undangan persembahan pentas membuatkan Kris yang mula menapak di Malaysia sejak 10 tahun lalu mempunyai ramai teman di Malaysia.
"Syukur sudah 10 tahun saya di sini, diterima dan dihargai oleh peminat serta rakan-rakan dari Malaysia. Seperti Minggu Setiausaha ini, sudah lima kali saya diundang.
"Saya pastinya berasa bangga dan harus berfikiran secara kreatif untuk menghiburkan tetamu memandangkan ada di kalangan mereka pernah menghadiri persembahan saya pada tahun sebelumnya," katanya.
Beritahunya, pada persembahannya kali ini telah menampilkan 50 peratus susunan muzik yang baru sempena persiapan konsertnya di Esplanade, Singapura pada 9 Mei depan.
"Lagu yang saya nyanyi sebenarnya atas permintaan ramai, kalau ikutkan memang saya mahu nyanyi lagu baru tetapi lebih baik dendangkan lagu yang semua orang sudah tahu, tidaklah orang bosan.
"Bagi saya jemputan ke Minggu Setiausaha ini merupakan satu penghargaan untuk saya mendekatkan diri dengan peminat, rakan artis dan media di sini," terangnya yang mendendangkan 10 buah lagu antaranya Mencintaimu, Cinta, Pilihlah Aku, Rembulan dan I'm Sorry Goodbye.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: