
FENOMENA muzik Indonesia yang kini bermula seawal 8 pagi dengan hampir setiap pagi anak-anak band serta penyanyi republik tersebut menjayakan program live di kebanyakan kaca televisyen di negara itu diakui band baru, Kotak, sebagai satu aktiviti yang menyihatkan.
Band yang dianggotai Tantri, Cella, Chua dan Posan Tobing yang baru muncul dengan album kedua mereka, Kotak Kedua, berkata fenomena tersebut juga membuat mereka berasa seperti kembali ke zaman persekolahan.
Mengakui pada awal fenomena ini bermula mereka juga sering lewat ke lokasi kerana mempunyai persembahan pada waktu malam, namun band yang sempat ke Malaysia bagi mempromosikan album serta membikin klip video single terbaru mereka, Tinggalkan Saja berkata: "Sekarang kami sudah menjadi pemuzik sihat."
"Untuk menjayakan program ini, kami harus keluar dari rumah seawal pukul 5 pagi agar tidak terlewat. Kami fikir, zaman bangun pagi sewaktu bersekolah dulu sudah berakhir, tapi kini rupanya kami sudah seperti kembali ke sekolah semula," kata Kotak tertawa.
Kotak yang dianggotai dua lelaki dan dua perempuan bagaimanapun selesa dengan band 'campuran' mereka.
Memperjuangkan jalur moden rock, kata Kotak: "Dengan adanya dua lelaki dan dua perempuan dalam band kami, ia lebih melahirkan karakter yang berwarna dari segi muzik dan juga idea yang pelbagai kerana pengaruh muzik masing-masing."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: