Thursday, April 16, 2009

Konsert rock kerohanian 18 April


DARI kiri; Jamal, Yantzen, Mawi, Amy Search dan Ramli Sarip bakal menjayakan konsert Malam Seribu Karya di Stadium Melawati, Shah Alam.

KEKUATAN pada Konsert Malam Seribu Karya yang bertemakan Rock Rohani bukanlah sekadar mempertaruhkan nama besar yang dianggap 'otai' rock, tetapi karya rohani yang bakal dinyanyikan oleh mereka itu sendiri.

Sebelum ini kita sering disajikan dengan lagu-lagu komersial oleh orang lama dalam muzik rock seperti Ramli Sarip, Amy Search, Jamal Abdillah, Yantzen dan pendatang baru Mawi menerusi muzik yang keras tetapi mempunyai mesej pengajaran.

Menerusi Konsert Malam Seribu Karya yang akan berlangsung di Stadium Melawati, Shah Alam pada 18 April ini dilihat bukanlah satu permulaan konsert lagu-lagu berunsur kerohanian ini diperdengarkan kepada masyarakat tetapi bermulanya satu penghijrahan.

Lima nama besar dalam industri muzik tanah air ini akan menjadi penyanyi undangan pada konsert anjuran Karya Hadani Sdn Bhd yang diasaskan sendiri oleh pengasasnya Harun Mat Saat.

Menurutnya, pemilihan rock dalam menyampaikan lagu-lagu berunsur rohani ini bukanlah kerana muziknya tetapi semangat yang diperjuangkan penyanyinya.

“Penganjuran konsert ini bertujuan untuk memberikan mesej positif kepada peminat, selain mahu orang ramai menjadikannya sebagai sumber hiburan berlandaskan kerohanian,’ kata Harun.

Pembabitan lima nama besar dalam konsert ini bukanlah dilihat satu paksaan tetapi jelas keikhlasan sama-sama memperjuangkan bidang muzik dalam konteks positif, melalui perspektif lebih meluas termasuk peranannya dalam pembentukan sahsiah diri serta masyarakat.

Bagi Ramli Sarip, dia menganggap konsert ini bukan satu permulaan buat industri tetapi jalan yang baik untuk melakukan kebaikan.

“Konsert ini mempertaruhkan tema yang baik dan saya menerimanya kerana konsep karya yang akan dipersembahkan bukan saja menyentuh aspek kerohanian tetapi mengenai kehidupan jatuh dan bangunnya seseorang,” katanya.

Amy Search pula melihat tujuan murni menjayakan konsert itu tidak akan dipandang sepi oleh penyanyi lama seperti mereka kerana sudah sampai masanya industri kita mengalami satu pembaharuan oleh orang-orang lama.

“Saya menerimanya konsert rohani ini kerana melihat satu penghijrahan menuju ke jalan kebaikan melalui konsert ini. Semua nama-nama besar yang akan menjayakan konsert ini mempunyai kekuatan dan pengikut masing-masing dan saya percaya konsert ini akan menjadi satu konsert yang besar daripada apa yang saya sangkakan nanti.

Raja Pop, Jamal Abdillah mensyukuri nikmat yang dikurniakan kepadanya akan digunakan ke jalan kebaikan dengan menerima tawaran menjayakan konsert ini.

“Bukan semua manusia dikurniakan anugerah suara yang baik, dan jika seseorang itu dikurniakan suara yang baik alangkah ruginya sekiranya tidak digunakan untuk kebaikan untuk dikongsi bersama,” katanya.

Konsert Malam Seribu Karya pasti menjanjikan kelainan kepada penonton yang hadir datang malam itu, terutama dari segi suasana, pemilihan lagu dan konsep persembahannya.

Semua 14 pemuzik berpengalaman yang mengiringi persembahan pada malam itu sedang sibuk berlatih di bawah pimpinan pengarah muzik, Shaharil Shamsuddin.

Info

Acara: Konsert Malam 1,000 Karya

Tema/Konsep: Rock Rohani

Lokasi: Stadium Malawati, Shah Alam

Masa: 8.30 malam

Penyanyi: Amy Search, Jamal Abdillah, Ramli Sarip, Mawi, Sham Barongan, Razak Ahmad, Ezam Akar, Ustaz Harun Mat Saat, Nazrey Johany, Yantzen, Rahmat Mega dan Kumpulan Manik.

Tiket: RM60, RM120, RM150 dan RM200

Kaunter Tiket: Karya Hadani Sdn Bhd (No.5, Ground Floor, Jln UP 1/6, Taman Ukay Perdana, Ampang, Selangor) Sungei Wang Plaza, Kompleks Pertama dan Kompleks PKNS Shah Alam

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: