Thursday, April 16, 2009

Berbaloi bayar mahal...Anuar Zain


PELUANG keemasan yang tidak dilepaskan peminat untuk mendekati artis kesayangan.

Persembahan Anuar Zain lancar dan mantap selepas bermula dengan berhati-hati kerana masalah kesihatan

SEBAIK berakhir lagu Terima Kasih Cinta, senyuman kepuasan tergaris di wajah sebahagian besar tetamu yang memenuhi dewan utama, Pusat Konvensyen Bukit Kiara, minggu lalu.

Bahang kegawatan ekonomi yang memberi kesan kepada perbelanjaan sebahagian besar masyarakat seakan tidak mengekang minat pencinta seni untuk menikmati hiburan terbaik.

Biarpun terpaksa mengeluarkan wang lebih, semua itu bukan alasan yang menyekat peminat untuk menyatakan sokongan kepada artis yang disayangi.

Tidak semua penyanyi mempunyai kelebihan itu dan Anuar Zain ialah antara penyanyi bertuah kerana memiliki kelompok peminat setia yang sedia berbelanja besar untuk menikmati persembahannya.

Barangkali jenama Anuar Zain yang dilihat begitu eksklusif dan ‘mahal’ membuatkan kemunculannya sentiasa dinanti ramai tanpa peminat terlalu berkira soal bayaran. Tapi apa salahnya membayar lebih kepada penyanyi tempatan yang sememang berbakat besar.

TIDAK jemu melayan tetamu yang ingin mengabadikan kenangan bersamanya.

Itu yang dikatakan tuah dan tidak semua insan seni bertuah memiliki pesona seperti yang dipunyai penyanyi berusia 39 tahun ini.

Karisma yang dicipta Anuar sejak muncul solo dan popular dengan lagu Bila Resah mengumpan peminat untuk tidak melepaskan peluang berhibur dengannya.

Tidak seperti kebiasaan kemunculannya yang penuh bertenaga, penampilan Anuar agak bersederhana ketika membuka tirai persembahannya menerusi lagu Permata dan Siarra Siara.

Sesekali terkesan sedikit gangguan pada perjalanan persembahannya. Lantaran keadaan kesihatannya yang kurang memuaskan kerana sejak sebulan lalu batuk dan demam, Anuar kelihatan agak berhati-hati pada permulaan persembahan.

TELATAH lucu Dee membuat peminat tidak kering gusi.

Namun, semua itu bukan alasan untuk mengecewakan hati peminat. Sebagai penghibur sejati, Anuar tidak membiarkan kesakitan menguasai persembahannya.

Sebaliknya dia berjaya memaksimumkan segala tenaga dan daya untuk memberi kepuasan kepada tetamu yang datang menerusi pilihan lagu yang pelbagai tetapi menghiburkan.

Cuba lari daripada kebiasaan persembahan, petang istimewa itu memperlihatkan Anuar menyampaikan sekitar 15 lagu, sebahagian besarnya adalah rangkuman petikan lagu popular daripada tiga album solo yang pernah dirakamkan.

Permulaan persembahan agak dingin, barangkali peminat masih cuba mencari rentak namun perlahan-lahan dewan itu beransur panas apabila Anuar mula mendekati tetamu.

Aura yang dimiliki penyanyi kelahiran Merlimau, Melaka ini membuatkan peminat tidak sanggup melepaskan detik serta kenangan berharga bersamanya. Seiring nyanyiannya, bidikan lensa kamera memancarkan cahaya di setiap langkah perjalanannya. Pemandangan seperti itu bukan sesuatu yang asing dalam persembahan Anuar.

Ruang dewan yang sebelumnya sepi mula dipenuhi senda tawa dan keseronokan peminat yang mengabadikan detik manis itu bersamanya.

Anuar turut mempersembahkan beberapa lagu popular lain seperti Kau Bunga Cintaku, Ketulusan Hati, Tinggalkan Aku dan Lelaki Ini.

Sentuhan popular diiringi sokongan serta tepukan semangat peminatnya seakan menyalur tenaga kepada Anuar untuk memberikan persembahan terbaiknya.

Tanpa diundang, keterujaan itu mengheret tetamu untuk menyanyi bersamanya dan cetusan kehangatan itu menjadi azimat kepada Anuar untuk tidak mengalah dengan situasi kesihatannya.

Sikap mudah disenangi Anuar jelas terserlah apabila dia mula beredar dari meja ke meja untuk bersalaman dengan mereka yang hadir menyaksikan persembahannya.

Perasaan dekat seperti itu menjalin ikatan yang akrab antara Anuar dan peminatnya, apatah lagi peluang seperti hanya sesekali datang.

Penuh terharu, Anuar berterima kasih kepada peminat setianya yang sanggup menaiki bas ekspres dari Muar, Johor pada awal pagi untuk tidak melepaskan peluang menikmati persembahannya dari dekat.

Menghargai pemberian peminatnya, Anuar turut meminta seorang tetamu untuk menyarung baju T yang dihadiahkan kepadanya sambil mengalunkan lagu.

Barangkali bagi sesetengah penyanyi, ia adalah perkara remeh namun keakraban seperti ini sebenarnya mengerat hubungan serta memanjangkan silaturahim yang sedia terjalin.

Menyuntik sedikit kelainan pada persembahannya, Anuar turut mempersembahkan lagu popular penyanyi lain seperti Hanya Kau Yang Mampu (nyanyian asal Aizat), Jerat (Harvey Malaiholo) dan Selalu Denganmu (Tompi) serta lagu Inggeris, Careless Whisper (Wham!).

Detik yang berlalu bagaikan tidak terasa namun ruang kepuasan masih belum terisi sepenuhnya. Untuk tidak menghampakan peminatnya, Anuar tampil semula membawakan medley Mungkin/Keabadian Cinta dan Sesucinya Cintamu sebelum meninggalkan pentas dengan lagu popular Afgan, Terima Kasih Cinta.

Mungkin ia bukan persembahan terbaik Anuar namun percayalah setiap ringgit yang dikeluarkan berbaloi kerana penyanyi ini bijak merencana perjalanan keseluruhan acara itu.

Sebelum Anuar muncul, tetamu terlebih dulu dihiburkan dengan gelagat Dee yang menggamatkan dewan dengan pelbagai aktiviti termasuk cabutan nombor bertuah yang menyediakan hadiah lumayan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: