HAYDEN PANETTIERE telah mengalami kerugian sebanyak AS$15,000 (RM52,500) apabila koleksi permata miliknya dilaporkan telah dicuri. Bintang siri popular Heroes yang baru pulang daripada Australia pada minggu lepas mendapati kediamannya di Los Angeles telah diceroboh dan dia kemudian mendapati barangan permatanya itu telah hilang.
Menurut laman web gosip TMZ, tiada sebarang tanda rumah Hayden dipecah masuk. Walau bagaimanapun ada beberapa individu dilihat keluar dan masuk kediamannya itu ketika Hayden tiada di situ.
Namun, pelakon berusia 19 tahun itu yang kini tinggal bersendirian selepas berpisah dengan teman lelakinya, aktor Milo Ventimiglia bakal tidak menghadapi masalah untuk membeli koleksi permata yang baru.
Ini kerana selain sudah memperolehi bayaran yang lumayan menerusi hasil lakonannya, khususnya menerusi Heroes, dia khabarnya mendapat 'wang sampingan' daripada para peminatnya. Hayden baru-baru ini dikritik selepas dia mengenakan bayaran sebanyak RM175 kepada para peminatnya di Australia yang mahu bergambar dengannya dan tambahan sebanyak RM140 dikenakan jika mereka mahu foto itu ditandatanganinya.
Dia yang dikawal ketat oleh sekumpulan pengawal peribadi yang menghalang fotonya dirakam secara curi. Hayden juga enggan ditemu bual ketika kunjungannya ke Supanova Pop Culture Expo di Melbourne itu, tetapi jurucakapnya pada acara tersebut berkata: "Hayden datang ke sini hari ini hanya untuk peminat, bukan untuk media."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: