Tuesday, April 7, 2009

Kebanggan Estranged


MENDAHULUI dengan lapan pencalonan, kumpulan Estranged berasakan satu penghormatan apabila album terbaru dihasilkan Remain Unknown mendapat pengiktirafan juri yang mengadili Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM16).

Apatah lagi pencalonan turut diterima dalam kategori utama termasuk dua lagu Melayu iaitu Aurora dan Yang Pernah.

Remain Unknown dicalonkan untuk kategori Kulit Album Terbaik, Rakaman Album Terbaik, Lagu Rock Terbaik (menerusi lagu Aurora dan Yang Pernah), Lagu Inggeris Tempatan Terbaik (untuk lagu Dances of The Spirit dan In No Time), Album Inggeris Tempatan Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu (menerusi lagu Aurora).

Ditemui pada majlis sidang akhbar mengumumkan lima peserta terbaik AIM16 di Hotel Concorde, baru-baru ini, Andy mewakili anggota Estranged bangga apabila album dihasilkan itu memperoleh pencalonan pada majlis anugerah paling prestij di tanah air.

"Apa yang saya katakan ini mungkin dianggap 'klise' tetapi dicalonkan dalam lapan kategori sudah dianggap satu kemenangan besar bagi Remain Unknown.

"Begitupun kami tidak menaruh harapan tinggi untuk menang kerana kebanyakan saingan hebat, terutama album hip hop dihasilkan Joe Flizzow.

"Kami turut bangga apabila dua lagu Melayu dimuatkan dalam album Remain Unknown, Aurora dan Yang Pernah turut disenaraikan dalam Lagu Rock Terbaik. Tetapi untuk menang susah kerana dua lagu popular dendangan Hujan, Dugaannya dan Bila Aku Sudah Tiada turut berada dalam kategori sama," katanya.

Joe Flizzow atau nama sebenarnya Johan Ishak berada sebaris dengan Datuk Siti Nurhaliza apabila album solo pertama dihasilkan, President memperoleh tujuh pencalonan.

Lebih menarik apabila dia yang terlebih dulu mencipta nama sebagai penyanyi hip hop berkumpulan Too Phat turut dicalonkan dalam kategori Artis Baru Terbaik.

Teman kumpulannya Malique, yang turut muncul dengan album solo pertama, Mentera Beradu juga dicalonkan dalam kategori sama.



Antara pencalonan lain diterima Joe termasuk Kulit Album Terbaik, Lagu Hip Hop Terbaik (untuk tiga lagu, Bergerak, Isabella dan Mengapa Harus Bercinta), Album Inggeris Tempatan Terbaik dan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik.



Walaupun ada yang cuba mempertikaikan pencalonannya dalam kategori Artis Baru Terbaik, namun Joe menerima dengan positif.

"Prinsip saya dalam hal ini, rezeki jangan ditolak dan musuh jangan dicari. Susah sebenarnya untuk kita mempertikaikan kerana sebelum ini kalau kita perhatikan Faizal Tahir turut memenangi kategori sama tahun lalu menerusi album Aku.Muzik.Kamu.

"Sedangkan semua orang tahu dia pernah menganggotai kumpulan nasyid dan pernah menghasilkan album. Malah ada beberapa kemenangan artis dalam kategori itu turut dipertikaikan kerana ada antaranya pernah menghasilkan album solo sewaktu muda," katanya.

Joe turut meluahkan kegembiraannya apabila pihak penganjur AIM16 mewujudkan kategori hip hop tahun ini sekali gus mengiktiraf dan membuka ruang kepada penggiat muzik itu.

Menyentuh mengenai persaingan dengan rakan kumpulannya sendiri Malique dalam kategori Lagu Hip Hop Terbaik jelas Joe perkara itu turut membuatkan dirinya teruja.

"Bayangkan sebelum ini kami dicalonkan sebagai satu kumpulan tetapi sekarang bersaing sesama sendiri. Pada saya tidak kira sama ada saya mahupun Malique menang pada malam itu nanti kami tetap saling menyokong antara satu sama lain," katanya.

Sementara itu Reshmonu yang kali pertama menghasilkan album Melayu sepenuhnya, Harapan, gembira apabila ia menerima lima pencalonan termasuk beberapa kategori utama.

"Saya tahu ramai tidak tahu mengenai kewujudan album ini, kerana ia belum dipromosikan sepenuhnya. Saya hanya sempat mengedarkannya akhir tahun lalu.

"Pencalonan album ini dalam beberapa kategori utama di AIM16 diharapkan dapat membuka ruang buat saya mempromosikannya. Kini saya dan pasukan promosi ditubuhkan akan bekerja keras untuk mempromosikan kepada umum," katanya.

Reshmonu menerima dua pencalonan dalam Persembahan Vokal Terbaik Dalam Album (Lelaki) menerusi dua lagu iaitu Doa Untuk Dia dan Sayu, Rakaman Album Terbaik, Video Muzik Terbaik dan Album Pop Terbaik.

AIM16 dijadualkan berlangsung pada 2 Mei ini di Dewan Merdeka , Pusat Dagangan Dunia Putra, jam 8.30 malam. Ia turut disiarkan secara langsung menerusi ntv7 selaku penyiar rasmi dan FlyFM serta HotFM sebagai radio rasmi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: