FAKTOR paras rupa memainkan peranan penting pada penampilan diri seorang pelakon. Bagaimanapun, bakat baru yang makin mencipta nama, Tania Zalina Zainal Abidin atau Tania, membuktikan dia mempunyai bakat untuk berjaya sebagai pelakon. |
Lakonannya memainkan watak Sakinah menerusi drama popular, Rona Roni Makaroni yang disiarkan di Astro Ria sebelum ini melonjak namanya antara pelakon baru yang mempunyai potensi untuk berjaya.
Kata Tania, dia mengakui respons penonton drama itu begitu positif yang turut menyukai lakonannya. Dalam drama itu, Tania bukan hanya menggambarkan karakter sebagai gadis biasa yang bekerja di restoran, tetapi menyelitkan elemen komedi pada wataknya.
Selepas kejayaan drama itu, Tania mendapat tawaran menjayakan drama baru, Merah Puteh arahan Isma Yusoff yang disiarkan di TV3 setiap Isnin hingga Khamis, jam 4.30 petang sejak 7 April lalu.
Katanya, pengalaman dalam drama itu suatu yang berbeza kerana dia diberi kepercayaan untuk membawa watak yang lebih besar sebagai Datin Mastura.
“Minat saya pada lakonan sebenarnya bermula sejak masih bersekolah. Ketika itu, saya kerap terbabit dengan lakonan untuk Hari Guru hingga saya terfikir peluang berlakon hanya ada pada hari berkenaan saja. Lalu, sejak itu saya berhasrat untuk mengembangkan bakat lakon, tetapi keluarga saya pada masa itu mahu saya memberi tumpuan pada bidang lain yang lebih menjamin masa depan.
“Saya pernah mencuba tarian, tetapi kemudian mendapat peluang belajar dalam bidang teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Namun, pada tahun kedua pengajian, saya ambil keputusan berhenti belajar kerana saya berasakan harus beri fokus pada apa yang saya minat iaitu lakonan.
“Atas desakan minat yang kuat untuk berlakon, saya sanggup menjadikan lakonan sebagai karier. Drama Rona Roni Makaroni adalah drama keempat saya selepas Sinderella, Lily Marlin dan Bukan Yang Pertama.
“Saya sendiri sebenar tidak sangka apabila produser memberi peluang untuk berlakon apatah lagi mula berlakon pada usia yang agak lewat. Walaupun saya kini berusia 34 tahun dan baru mula berlakon, tetapi saya tidak kisah dengan tanggapan penonton kerana berlakon kerana minat yang mendalam,” katanya.
Menerusi drama Merah Puteh, Tania bergandingan dengan pelakon baru lain seperti Ellyas Abdullah, Zahiril Adzim, Dira Abu Zahar, Nadia Aqilah, Wan Sharmila dan dibantu pelakon berpengalaman iaitu Shaharudin Thamby dan Redzuan Hashim. Kata Tania, dia berusaha menggambarkan karakter berbeza menjadi garang berbanding komedi sebelum ini.
|
“Watak saya adalah ibu pada Merah lakonan Zahiril yang mempunyai anak tiri iaitu Puteh (Ellyas). Dalam drama ini, saya bersikap berat sebelah pada Puteh kerana saya tidak boleh terima kehadiran dia dalam hidup saya. Saya sebenarnya isteri pertama manakala Puteh anak isteri kedua suami saya.
|
“Takdir menentukan ibu Puteh meninggal dunia ketika melahirkannya dan saya terpaksa menjaganya. Untuk melakonkan watak ini, realiti saya adalah seorang yang garang dan saya berusaha untuk menjiwai dengan baik. Bagi saya, watak ini menarik kerana dia bersikap paranoid hingga berasakan diri tidak selamat. Sebagai pelakon, saya seronok untuk melakonkan watak yang berbeza.
“Namun, antara lakonan drama dan teater, pada saya teater lebih memberi kepuasan manakala drama memerlukan pelakon untuk kerja keras memberi peningkatan pada watak yang berbeza. Bagaimanapun, saya menyukai kedua-duanya. Sepatutnya, saya terbabit dengan pementasan teater Ibu Zain musim kedua kerana saya adalah pelakon musim pertama yang membawakan watak Cikgu Munah.
“Sebaliknya, saya tolak tawaran Ibu Zain 2 kerana terbabit dengan komitmen untuk drama Merah Puteh ketika itu. Biarpun sibuk dengan drama, saya akan kembali berlakon teater Randai arahan Rohani Yusof yang dijangka pementasan pada Jun nanti,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: