MENGGALAS tugas pada saat akhir bagi menyiapkan persalinan buat pasangan pengacara Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH08), Sharifah Shahira (Shira) dan Adlin Aman Ramli, dianggap sebagai satu cabaran. |
Namun, tidak pula berasa beban sebaliknya, pereka fesyen terkenal, Michael Shu menerimanya sebagai satu penghormatan walaupun terpaksa bersengkang mata untuk memastikan segalanya siap pada malam kemuncak ABPBH08 di Arena Of Stars, Genting Highlands, esok.
Katanya, bukan mudah bagi pereka fesyen meraih kepercayaan penganjur memikul tanggungjawab menyediakan persalinan untuk pengacara yang menjadi tunggak dalam majlis prestij ABPBH08. Apatah lagi, ramai pereka fesyen yang lebih terkenal menanti peluang ini.
“Justeru, saya enggan mensia-siakan peluang diberi. Seperti makluman semua, ABPBH2008 kali ini memperkenankan tema songket dan tenun. Semestinya, fabrik itu digunakan sebagai asas utama dalam rekaan saya.
“Sebenarnya, saya baru saja bertemu Shahira dan rupanya dia sekarang sedang mengandung. Mulanya saya terfikir rekaan gaun mengikut potongan badannya, tetapi disebabkan dia berbadan dua, saya fikir gaun polos lebih selesa dipakai.
“Ia juga sesuai dengan keadaannya itu selain lebih memudahkan pergerakannya. Meskipun ‘sentuhan’ sedikit ringkas, ciri-ciri glamor itu tetap dibangkitkan supaya penampilan kedua-dua pengacara itu menyerlah di pentas,” katanya.
Mengenai penampilan Adlin pula, Michael menyediakan dua sut putih dan kelabu menggunakan fabrik berasaskan songket dan tenunan.
Manakala untuk Shahira, gaun biru dan merah jambu dipilih sebagai warna yang akan membangkitkan keayuan pengacara itu. Keempat-empat persalinan itu bercirikan moden melainkan materialnya.
“Moden sepenuhnya kerana memang tema tahun ini berkehendakkan busana dari kain tenun dimodenkan. Ini kerana, songket atau tenun menurut pemahaman masyarakat hanya sesuai digayakan untuk majlis perkahwinan.
“Di sinilah cabaran kepada kami (pereka fesyen) yang terbabit dalam ABPBH08, untuk menjadikan kain tenun pemakaian komersil, terkini dan moden,” katanya.
|
Pada malam acara berprestij yang dilimpahi kerdipan bintang seni tanah air itu, pereka berusia 33 tahun ini tidak sekadar melaksanakan tanggungjawab buat pasangan pengacara, bahkan turut mereka persalinan pelakon Irma Hasmie, Lisdawati dan Aiman.
|
“Irma dengan saya sudah lama begitu juga dengan Lisdawati. Sama ada mereka calon akhir atau tidak, saya tidak kisah buatkan baju sekali gus menaja pakaian mereka. Sebabnya saya sudah anggap mereka kawan saya.
“Saya buatkan baju mereka atas dasar persahabatan yang sekian lama terjalin. Mereka juga antara selebriti yang banyak membantu memperkenalkan rekaan saya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: