Thursday, April 2, 2009

Interaksi: 'Perubahan babit syarikat, bukan artis'


BANYAK pihak terutama penggiat industri muzik tempatan terkejut apabila syarikat pengurusan Maestro Talent & Management Sdn Bhd (Maestro) ditamatkan operasinya berkuat kuasa 27 Mac lalu.

Maestro ditubuhkan pada 24 Julai 2003, berupa anak syarikat Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB). Fungsinya sebagai syarikat pengurusan dan penerbitan album artis yang dilahirkan menerusi program terbitan stesen televisyen berbayar itu.

Beroperasi di Plaza Damansara, Bukit Damansara, Maestro mempunyai 13 kakitangan dan mengendalikan lebih 37 artis. Juara program Raja Lawak musim ketiga, kumpulan Sepah adalah artis terbaru di bawah pengurusan

syarikat itu.

Apa yang berlaku turut memberikan impak besar membabitkan industri muzik secara amnya. Tambahan pula sebelum ini kita turut dikejutkan dengan penutupan operasi syarikat rakaman EMI Music Malaysia Sdn Bhd dan katalog lagu dimiliki kini diuruskan Warner Music Malaysia Sdn Bhd sepenuhnya.

Adakah penutupan itu bermakna syarikat paling aktif memasarkan album artis ternama seperti Mawi, Mila, Stacy, Zahid dan ramai lagi ini tidak lagi mampu menjana keuntungan akibat kelembapan industri muzik tempatan dan kegawatan ekonomi global?

Timbul juga cerita buruk apabila tersiar gambar menunjukkan penutupan operasi Maestro dilakukan secara mengejut dengan pengurusan Astro datang bersama pihak sekuriti, ia seakan-akan membawa maksud ada sesuatu yang tidak kena berlaku dalam syarikat pengurusan artis itu.

Pengarah Eksekutif AESB, Zainir Aminullah bagaimanapun sewaktu pertama kali menjelaskan perkara itu di konsert Akademi Fantasia musim ketujuh, Sabtu lalu, menafikan penutupan Maestro kerana wujud penyelewengan.

Sebaliknya seperti yang dijelaskan Zainir dan disiarkan Harian Metro kelmarin, apa yang dilakukan AESB terhadap Maestro adalah prosedur biasa bagi menstruktur semula pengurusan syarikat terutama dalam berhadapan kemelesetan ekonomi dunia sekarang.

Begitupun, masih ramai pihak keliru dengan apa yang berlaku terutama membabitkan apa yang akan terjadi kepada 31 artis yang masih mempunyai kontrak bersama Maestro. Bagaimana masa depan mereka serta persoalan mampukah AESB menguruskan kerjaya seni ramai artis?



Ikutan penjelasan lanjut Zainir kepada wartawan Rap, RUDY IMRAN SHAMSUDIN (imran@hmetro.com.my) mengenai isu penutupan operasi Maestro.





SOALAN (S): Mengapa penutupan operasi Maestro dilakukan secara tiba-tiba?

JAWAPAN (J): Bagi merancakkan lagi prestasi syarikat, AESB memperhalusi proses perniagaan dan membuat keputusan untuk memperkukuhkan lagi aktiviti pengurusan seni artis bernaung di bawah Maestro. Pengambilalihan tanggungjawab ini perlu dilakukan segera kerana ia akan berkuat kuasa 1 April (hari ini).



S: Timbul dakwaan mengatakan penutupan Maestro kerana wujud penyelewengan dalam syarikat pengurusan artis itu sehingga memaksa AESB mengambil tindakan drastik. Anda sendiri mengatakan mahu menutup operasi Maestro bersama pengawal keselamatan.

J: Tiada perkara negatif berlaku membabitkan operasi ini. Perkara ini sudah pun saya jelaskan ketika sidang media selepas konsert AF7, Sabtu lalu. Saya mengatakan hadir bersama pihak pengawal keselamatan itu adalah satu prosedur biasa. Di Astro, rutin seperti ini dilakukan kepada mereka yang meninggalkan syarikat adalah perkara sudah ditetapkan dan harus dipatuhi.



S: Bagaimana AESB berhadapan dengan artis yang bernaung di bawah Maestro bagi memberitahu penutupan syarikat?

J: Pihak pengurusan bertemu mereka pada waktu malam kerana waktu siang kami perlu menjelaskan terlebih dahulu tindakan diambil kepada 13 kakitangan terbabit. Hampir separuh daripada artis hadir terutama juara bintang Akademi Fantasia seperti Mawi, Zahid, Faizal, Mila dan Stacy.

Begitupun, kami masih lagi cuba menghubungi semua artis yang mempunyai kontrak dengan Maestro bagi membincangkan perkara yang berlaku. Maklumlah, apabila perkara ini dibuat dalam keadaan mengejut tidak semua artis dapat hadir untuk mendengar taklimat diberikan kerana masing-masing tinggal jauh dan ada urusan yang perlu diselesaikan.



S: Reaksi mereka apabila diberitahu operasi Maestro ditutup?

J: Ramai terkejut dan sebahagian besar artis memberikan reaksi begitu. Melihat keadaan itu, AESB menjelaskan mereka masih lagi artis Maestro cuma yang berubah adalah mereka kini berada di bawah syarikat induk. Kami turut menjelaskan akan memberikan sokongan tidak berbelah-bagi dan perubahan hanya membabitkan syarikat, tetapi bukan kerjaya seni mereka.

Mendengarkan perkara itu boleh dikatakan kebanyakan daripada mereka menerimanya dengan pandangan positif. Pada asasnya apabila diberikan penjelasan, mereka faham perubahan yang berlaku dan secara tidak langsung yakin dengan apa yang kami mahu lakukan.



S: Persoalan timbul bagaimana AESB mahu menguruskan 37 artis dengan hanya seorang kakitangan yang ada sekarang?

J: Sepanjang Maestro beroperasi, mereka tidak mempunyai ramai kakitangan iaitu kira-kira 13 orang saja. Daripada jumlah itu, tidak semuanya menjadi pengurus artis. Dalam erti kata lain, Maestro beroperasi tidak sepenuhnya bergantung kepada kakitangan dan mereka bertindak seperti agensi.

Bagaimanapun, dengan perubahan ini, AESB mungkin akan menyerapkan beberapa kakitangan lain untuk menjaga mereka ini dan kami turut mengekalkan empat kakitangan Maestro untuk berkerja dengan kami. Bagaimanapun, hanya seorang dua saja yang akan bertindak menjaga artis ini dan selebihnya menumpukan perhatian kepada kerja dalaman dan pengurusan.

Apa yang akan kami lakukan adalah memastikan proses berterusan dan perubahan tidak akan mengganggu tumpuan kerjaya seni artis. Kami mahu memberi penekanan terhadap dua perkara iaitu strategi bakat dan pengurusan mereka.

Dalam erti kata lain, kami tidak menjaga jadual harian mereka sebaliknya hanya menjaga strategi untuk mengembangkan kerjaya, kedudukan dan hubungan mereka dengan pihak berkaitan seperti pelanggan, media dan apa saja perkara yang memainkan peranan penting dalam kerjaya seni mereka.



S: Bagaimana pula dengan artis yang bakat mereka bukan lahir daripada rancangan terbitan Astro, tetapi mempunyai kontrak dengan Maestro seperti Faradhiya?

J: Tidak ada perbezaan dan layanan bakal diberikan sama rata. Apapun, perkara yang perlu kami beri perhatian adalah kontrak yang sudah ditandatangani sama ada ia membabitkan pengurusan penuh atau hanya membabitkan beberapa perkara saja.



S: Peserta AF7 pula bagaimana? Adakah mereka akan terus bernaung dengan AESB?

J: Ya, memang benar. Sebaik tersingkir, mereka diuruskan AESB. Bagaimanapun, kontrak mereka belum kami putuskan bagaimana. Bagaimanapun, sebaik keluar, pelbagai aktiviti sudah diatur untuk mereka seperti mengikuti promosi dalaman yang kami adakan seperti Gempak Astro, Ceria Astro dan Gempak Desa.



S: Sebaik diumumkan pembubaran Maestro, adakan ia turut memberi kesan kepada pihak luar terutama membabitkan urusan perniagaan yang sudah dilaksanakan sebelum ini dan bakal dilaksanakan? Apakah tindakan AESB untuk menyelesaikan perkara ini?

J: Sebaik pengambilalihan dilakukan, selain bercakap kepada media kami turut bertemu rakan niaga dan penaja yang bekerja dengan artis kami. Perkara ini kami jelaskan dan mereka faham memandangkan seperti apa yang saya tegaskan tiada ada satu perkara pun berubah. Segala urusan akan diteruskan dan dijalankan seperti biasa.



S: Sudah ada pihak yang datang kepada AESB memberitahu mahu menjalinkan kerjasama di bawah syarikat pengurusan baru ini?

J: Tidak dinafikan ada juga yang sudah merisik-risik dan bertanya. Malah, kami menerima dengan tangan terbuka kepada mana-mana pihak sama ada membabitkan individu mahupun syarikat yang mahu menjalinkan kerjasama. Apa yang penting adalah kesinambungan kerjaya seni artis yang bernaung di bawah Maestro sebelum ini dapat terus dikembangkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: