Thursday, April 2, 2009

Angan-angan Linda


IMPIAN Linda Onn, 31, ingin memiliki rumah tangga yang aman bahagia, suami beriman dan melayan keluarganya dengan baik.

Sebagaimana wanita lain, Linda juga memasang angan-angan majlis perkahwinan gilang-gemilang diadakan selama tiga hari tiga malam serta bersanding di pelamin yang indah dengan kuntuman bunga segar menghiasi segenap ruang.

Malah Linda yang terus melakar populariti di radio Sinar FM, ingin sekali mengadakan majlis perkahwinan dalam taman. Pun begitu, Linda kata tak tahu hendak buat di taman mana kerana jodohnya belum sampai.

Adakah dengan impian yang menggunung tinggi itu bermakna Linda akan menamatkan zaman solonya tidak lama lagi sementelah pula dia dikatakan sudah pun menghadiri kursus kahwin tiga minggu lalu di Setiawangsa, Kuala Lumpur. Apabila soalan itu diajukan kepadanya, riak wajah Linda seakan-akan berteka teki.

"Memang benar saya menghadiri kursus kahwin tiga minggu lalu dengan kawan. Saya menghadiri kursus itu kerana sudah bersedia melangkah ke alam rumah tangga. Sebagai persediaan awal, saya berkursus dulu kerana sekarang perlu ada sijil kursus kahwin.

"Insya-Allah saya akan berkahwin kalau ada jodoh, tetapi bila, tak tahu lagi. Sebelum ini tiada siapa tahu saya mengikuti kursus itu, tetapi kini ramai yang tahu apabila gambar saya tersiar di laman web pusat kursus itu sebelum ia ditarik pihak pengurusan kursus itu tidak lama kemudian.

"Saya tak rasa pihak pengurusan kursus itu mahu sabotaj. Mungkin niat mereka hendak mengiklankan pusat itu, tetapi memang terkejut apabila dapat tahu gambar saya digunakan dalam iklan pusat itu dan dalam laman web mereka.

"Saya tidak akan mengambil apa-apa tindakan, tetapi harap lain kali kalau ada artis atau selebriti berkursus kahwin di sana, minta kebenaran dulu sebelum menggunakan gambar mereka untuk tujuan apa sekali pun," katanya.

Selepas putus kasih dengan Fahrin Ahmad tahun lalu, Linda dikatakan menjalin hubungan intim dengan seseorang. Paling ketara, persahabatannya dengan lelaki mat saleh bernama James Gibbs. Jejaka berasal dari Wales, United Kingdom itu mula menjadi tumpuan dan perhatian apabila hadir bersama Linda pada majlis resepsi Mawi dan Ekin di Palace Of Golden Horses, 11 Januari lalu.

Sejak itu ramai menduga apakah James bakal mengisi kekosongan hati pemilik rangkaian restoran nasi ayam dan asam pedas itu?



"Setakat ini saya memang berkawan dengan dia, tetapi perkara selanjutnya saya tak berani hendak komen. Apabila sudah pergi berkursus, saya terbayangkan mengenai perkahwinan. Malah tahun lalu lagi saya bersemangat hendak berkahwin, jodoh pula tak sampai.



"Apabila tiba saatnya bertemu jejaka idaman, saya tidak mahu membazir masa dan duit dengan mengadakan majlis pertunangan. Lebih elok perkara yang baik itu dipercepatkan dengan terus menikah dan mengadakan majlis persandingan sekali," katanya.

Menyentuh hubungan baiknya dengan James, jelas Linda mereka berkenalan lebih 10 tahun lalu di Kuala Lumpur dan dia juga pernah mempunyai restoran satu ketika dulu. Dia ahli perniagaan dan datang ke Kuala Lumpur Januari lalu.

"Andai berkahwin nanti, saya mahukan rumah tangga yang bahagia. Tak mahu ada sebarang pergaduhan kerana penatlah bergaduh setiap hari selain dapat suami yang boleh membimbing dan melayan keluarga saya dengan baik serta mesra. Biarlah jodoh kami berkekalan sampai bila-bila," katanya.

Linda yang menempa kejayaan tersendiri dalam bidang perniagaan makanan tidak menolak andaian yang dia kini berhati-hati mencari calon suami.

Wanita berjaya sepertinya ada kala sukar menelah sikap lelaki sama ada mereka jujur berkawan dengannya atau tarikan kesenangan yang dimiliki membuatkan mereka ingin mendekatinya.

"Susah hendak cakap, tetapi apabila sudah terkena, saya terpaksa berhati-hati selepas ini. Apa pun saya juga manusia biasa," katanya penuh makna.

Linda ditemui pada majlis Media Hepi Hepi Nite di Restoran Asam Pedasnya yang baru dibuka lapan bulan lalu di Ampang, Selangor. Turut diadakan pertandingan karaoke dalam kalangan wartawan.

"Majlis ini diadakan untuk merapatkan hubungan dengan media serta memperkenalkan restoran baru ini kepada semua. Hendak mengadakan majlis pelancaran pun, restoran ini sudah dibuka agak lama.

"Saya baik dengan semua orang termasuk wartawan. Bagaimanapun, artis dan wartawan adalah manusia biasa yang mempunyai hati serta perasaan. Lantaran itu tentu saja tidak terlepas daripada sikap marah, kecil hati, geram dan merajuk. Mungkin penulisan wartawan buat artis marah dan barangkali juga ada perbuatan artis mengguris hati wartawan.

"Ada juga tulisan di dada akhbar atau majalah membuatkan saya menjeruk rasa, tetapi saya terimanya dengan hati terbuka dan itulah kehidupan anak seni yang tidak pernah terlepas daripada pandangan masyarakat. Biasanya setiap yang negatif saya jadikan ia positif untuk membaiki kesilapan diri dan membina keyakinan untuk terus melangkah ke hadapan," katanya.

Imbas cerita lalu, ketika Linda menerima berita akan ditukarkan ke Sinar FM, dia sedih kerana hatinya sudah terlalu menyayangi Era. Jiwa mudanya sesuai sekali dengan konsep yang dibawakan saluran radio itu.

Namun, atas nama tugas dan tanggungjawab, dia meneruskan perjuangannya di Sinar dan semakin lama, jiwanya kian serasi di sana.

"Selepas tiga bulan bersama Sinar, saya dapat menyesuaikan diri. Peminat yang biasa mendengar saya ke udara di Era mula beralih mendengar Sinar. Merekalah sumber inspirasi dan kekuatan saya. Jika tanpa sokongan mereka, agaknya dah lama saya 'rebah'," katanya.

Menceritakan perkembangan perniagaannya, dia kini memiliki tiga restoran nasi ayam (My Mom's Chicken Rice), dua di Ampang dan satu di Shah Alam. Dengan semangat keusahawanan yang sentiasa berkobar dalam dada, Restoran Asam Pedas pula dibuka Jun tahun lalu.

"Kedua-dua restoran itu mengutarakan resipi emak. Saya suka makan asam pedas emak, jadi saya abadikan resipi istimewa emak dengan membuka restoran ini. Di sini saya perkenalkan asam pedas dengan pelbagai pilihan ikan seperti ikan kembung, pari, tenggiri, siakap dan telur ikan. Setiap hidangan itu akan disediakan segar dimasak terus dalam periuk tanah.

"Sajian kedua istimewa di sini, ikan bakar. Mereka juga boleh menikmati air bandung dan air asam boi yang menjadi kegemaran utama pelanggan apabila datang ke restoran ini. Alhamdulillah, sejak dibuka sehingga sekarang sambutan amat baik. Ada rancangan buka cawangan baru, tetapi perlu perkemaskan dulu pengurusan dan sistem restoran ini," katanya.



>Profil

NAMA: Rozlindah Onn

TARIKH LAHIR: 26 November 1977

TEMPAT LAHIR: Singapura

STATUS: Bujang

KERJAYA: Penyampai radio Sinar dan ahli perniagaan (My Mom's Chicken Rice dan Restoran Pedas)

ANTARA FILEM: Soal Hati (2000), Soalnya Siapa (2002), Gila Bola (2003), Biar Betul (2004)

DRAMA: Datin Diaries, Delima Wanita - Psycho

PENGACARA: Tanya Linda di Astro Ria, Festival Filem Malaysia ke-19, Anugerah Era (2005-2006), Charity Dinner Show with Anuar Zain & Ziana Zain - Istana Hotel, KL (2006), mengacara untuk Erra Fazira's beauty product 'FERRA KOSMOLOOK' launch (2006) dan Sehati Berdansa

IKLAN: Power Root

ANUGERAH : Penyampai Radio Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), enam kali berturut-turut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: