Navara menampilkan fizikal yang ada pada sebuah trak konvensional, berkotak-kotak dan nampak sangat rugged. Tidak ada langsung ciri feminin padanya.
|
|
|
|
"EH, betul ke tagline dia macam ni?" tanya seorang kawan dengan muka penuh kehairanan selepas membelek risalah yang ada di tangannya. Memang benar, sekali baca ia kedengaran agak provokatif. Tetapi itulah yang membuatkan orang ramai semakin berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai jentera terbaru daripada Tan Chong Motor ini.
Ingin menambah variasi ke ruang pamerannya selepas kejayaan model sedan Nissan Latio dan MPV Grand Livina, pengedar jenama Nissan untuk pasaran tempatan ini memperkenalkan jentera terbarunya, Nissan Navara.
Nissan Navara merupakan salah sebuah trak yang sudah lama dinanti-nantikan oleh peminatnya. Di Malaysia, sesebuah trak pikap dimiliki kerana ia menjadi sebuah kenderaan yang menggambarkan gaya hidup baru yang aktif.
Nissan mempunyai alasan kukuh untuk menggunakan tagline Mother Trucker. Pertama, kerana saiznya yang lebih besar berbanding mana-mana trak sedia ada, tidak kiralah daripada Mitsubishi, Isuzu ataupun Toyota.
Ciri kedua yang membuatkan Navara dilihat layak untuk dianggap sebagai ibu kepada trak lain adalah kuasa yang mampu dihamburkan oleh unit enjin dieselnya.
Untuk makluman, Navara hanya dibekalkan dengan enjin diesel bersesaran 2.5 liter dan ia sama seperti model Mitsubishi Triton dan Toyota Hilux. Namun, keupayaannya jauh menjangkaui apa yang mampu ditawarkan oleh trak-trak pikap tersebut.
Navara menampilkan fizikal yang ada pada sebuah trak konvensional, berkotak-kotak dan nampak sangat rugged. Tidak ada langsung ciri feminin padanya.
Saya perlu mengakui bahawa unit enjin diesel dengan kod YD25DDTi itu cukup bertenaga. Kuasa torknya dapat dirasai dengan ketara sebaik sahaja kaki menekan pedal minyak. Enjin empat silinder DOHC 16 injap Common Rail direct injection itu turut dilengkapi dengan sistem Variable Nozzle Turbo dan Intercooler.
Sistem itu menjadi jawapan kenapa enjin tersebut mampu menjana tork maksimum sehingga 403 Nm pada putaran enjin hanya 2,000 rpm. Selain itu, ia berupaya mencecah kuasa 128kW @ 4,000 rpm.
Maknanya, tidak kira bagaimana bentuk laluan yang anda tempuh dan gaya pemanduan, Navara pasti tidak akan mengecewakan. Jika anda ingin menunda kenderaan lain, anda tidak perlu bimbang kerana ia dapat mengheret beban sehingga tiga tan tanpa masalah.
|
|
|
|
Biarpun dengan kuasa sebegitu, keselesaan pemandu dan penumpang tidak diabaikan. Gegaran enjin cuba dikurangkan ke tahap seminimum mungkin dengan aplikasi sistem balancer shaft.
Untuk penjimatan bahan api pula, penggunaan enjin diesel dengan teknologi suntikan bahan api termaju tidak akan membuatkan anda perlu pergi ke stesen minyak lebih kerap daripada biasa.
Satu lagi perkara yang menarik tentang Navara adalah ia digerak menggunakan transmisi automatik lima kelajuan. Dengan teknologi berkomputer, transmisi itu terasa cukup responsif dan versatil, sekali gus menawarkan pemanduan dinamik sepanjang masa.
Dilengkapi dengan sistem Limited Slip Differential (LSD), kehilangan kuasa ketika diperlukan tidak akan berlaku. Ini kerana LSD berfungsi mengagihkan kuasa tarikan (traction) pada mana-mana roda yang betul-betul memerlukannya.
Trak itu juga mesra kepada mereka yang baru hendak berjinak-jinak menggunakan trak. Sebabnya, penukaran mood pemanduan antara 2WD, 4WD(4H) dan 4WD(LO) boleh dilakukan dengan hanya memutar tombol yang ada di bahagian bawah konsol tengah papan pemukanya.
Sistem pacuan empat roda Shift-on- the-Fly juga membolehkan anda mengubah sistem pemanduan daripada 2WD kepada 4WD(4H) tanpa perlu memberhentikan kenderaan, walaupun berada dalam kelajuan di bawah 100 kilometer sejam.
Memandu Navara memberikan anda pengalaman berada di dalam sebuah trak sebenar. Maksud saya, penggunaan topang MacPherson pada roda hadapan dan pegas gegelung jenis dedaun untuk roda belakangnya boleh membuatkan perjalanan jauh kurang selesa terutama buat penumpang belakang.
Bagi memastikan Navara benar-benar kukuh, ia dibina menggunakan kerangka besi regangan tinggi dua lapis yang ditebalkan. Ia direka sebegitu supaya dapat menyerap impak kemalangan sebaik mungkin.
Ruang kabin Navara bagaimanapun sedikit membosankan. Rekaan dalamannya agak ringkas mungkin kerana ingin disesuaikan dengan penampilannya yang maskulin itu.
Namun, ciri ergonomiknya membolehkan penumpang mengoperasikan semua butang dan stereng dengan selesa. Sistem audionya sama seperti apa yang boleh didapati pada model sedan Nissan yang lain dan mungkin tidak dapat memuaskan telinga-telinga yang cerewet.
Dimonopoli oleh warna coklat cerah pada papan pemuka, di samping balutan kulit pada tempat duduk dan stereng, Navara cuba untuk menyerlahkan rasa mewah.
Trak itu ditawarkan pada harga RM106,197 seunit dengan tiga warna pilihan iaitu hitam, kelabu dan perak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: