Saturday, April 18, 2009

Kaki kena kuat untuk larian gunung

Sejak dianjurkan pertama kali pada tahun 2005, Cabaran Gunung Ke Gunung menarik minat banyak pihak. Kini, ia turut dibuka kepada peserta luar negara termasuklah dari Kenya, Mesir dan United Kingdom, selain pasukan media.




PAGI Ahad lalu, seramai 222 orang peserta menempuh laluan sukar mendaki Gunung Nuang di Semenyih, Selangor setinggi kira-kira 1,493 meter. Bersaing dalam satu perlumbaan untuk bergelar juara di puncak, mereka bukannya hanya mendaki, tetapi perlu berlari.

Dari jauh sudah kelihatan kelibat para peserta yang bersungguh- sungguh untuk meneruskan larian. Dengan pelekat nombor giliran tertampal di baju, mereka nampaknya begitu bersemangat untuk cuba menamatkan larian dalam masa paling singkat.

Tidak terkecuali, Tan Lee Chin dari Kuala Lumpur yang mencuba nasib dalam sukan yang agak baru kepada dirinya.


PESERTA M2M09 menempuh pelbagai cabaran termasuk menuruni bukit dan meredah sungai untuk menamatkan pertandingan.


Lee Chin mengakui bahawa larian itu sangat mencabar, walaupun sukan berlari bukanlah sesuatu yang baru buatnya. Buktinya, dia pernah dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan Genting Trail Blazer 2008, KL Towerthon dan Perhentian Island Challenge 2008.

Namun, pertandingan yang diberi nama Mountain To Mountain Challenge (Cabaran Gunung Ke Gunung) 2009 (M2M09) nyata menguji keupayaan sebenar dan stamina pekerja syarikat jururunding cukai itu.

"Bukan mudah untuk berlari mendaki bukit. Kaki kena kuat, silap-silap boleh kejang. Sebelum pertandingan, saya ada berlatih berlari mendaki Bukit Gasing sebanyak dua kali.

"Saya hanya ingin mencabar diri kerana pertandingan ini bukan sekadar berlari di atas laluan yang rata. Kalau tidak cuba, kita tidak tahu. Paling susah ialah laluan selepas Kem Pacat kerana peserta perlu mula mendaki bukit.

"Sewaktu turun, tidak ada masalah, cuma kena lebih berhati-hati kerana jalannya licin," kata pemenang tempat kedua kategori terbuka wanita itu sambil menekap ketulan-ketulan ais ke atas kakinya.


PARA pelumba tetap bersemangat meneruskan perlumbaan walaupun hujan turun mencurah-curah.


Bagi Rita Gani, 32, beliau pula hanya berjoging selama 45 minit sebanyak lima kali seminggu sebagai persediaan menjelang M2M09. Mujurlah, latihan itu sedikit sebanyak menyediakan stamina sewajarnya untuk Rita berlari selama lebih dua jam ke puncak Gunung Nuang.

"Inilah kali pertama saya mendaki Gunung Nuang. Saya tidak pernah tahu pun di mana Gunung Nuang sebelum ini. Tidaklah susah sangat, peserta cuma perlu tahu sebanyak mana tenaga yang ada untuk menghabiskan larian.

"Sebagai persediaan pertandingan, saya kawal pemakanan. Sehari sebelumnya, saya banyakkan diet karbohidrat dan tidak makan makanan yang pedas," kata pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas di Bahagian Sukan Bukit Aman itu.

Bersaing dalam kategori yang paling sengit cabarannya (kategori terbuka lelaki), Mohd. Nazri Ahmad, 25, tetap berpuas hati walaupun hanya berjaya menduduki tempat keempat.

Pegawai dari Regimen 21 Komando, Kem Sungai Udang Melaka yang juga seorang atlet triathlon itu menyatakan pertandingan larian gunung nyata memberi kepuasan kepadanya.


BERLARI sambil menghirup udara segar di Gunung Nuang, Semenyih, Selangor.


Dapat bersaing dengan atlet antarabangsa selain laluan trek yang begitu mencabar membuatkan Mohd. Nazri merasakan dirinya perlu lebih banyak berlatih untuk menjadi seorang atlet sukan lasak yang berwibawa.

"Saya tidak pernah menyertai pertandingan larian gunung. Ini satu pengalaman yang sangat baik. Sebagai persediaan, saya ada berlatih berlari, berbasikal, berenang dan mendaki bukit di kem.

"Pertandingan seperti ini memerlukan mental yang kuat. Saya agak kecewa juga kerana dipintas oleh seorang lagi peserta pada kilometer terakhir. Apa pun, saya pasti akan mengambil bahagian dalam pertandingan akan datang," katanya penuh semangat.

M2M09 mendapat kerjasama erat daripada Jabatan Hutan Negeri Selangor, Majlis Perbandaran Kajang dengan penaja utamanya Coleman, selain Milo dan Power Bar.

Acara tahunan yang sebelum ini dikenali sebagai Sirkit Kembara Negara telah dimulakan sejak tahun 2005. Ia kemudian diberi penjenamaan semula dengan nama Mountain To Mountain Challenge 2009. Namun, konsepnya tetap sama iaitu cabaran larian gunung.

"Penganjuran kali ini membawa lembaran sejarah baru dalam sukan larian gunung. Saya harap pada masa akan datang lebih ramai peserta luar negara mengambil bahagian dalam siri larian yang berlangsung sebanyak tiga kali setahun.

"Sebenarnya, aktiviti sebegini telah dimulakan 21 tahun lalu menerusi cabaran Mount Kinabalu Run. Hasratnya adalah untuk mempopularkan lokasi-lokasi menarik kepada para pelari serta pelancong dari dalam dan luar negara.

"Kadang-kadang orang tidak tahu pun di mana Gunung Nuang. Melalui M2M09, diharap lokasi pelancongan ini akan mendapat lebih banyak pendedahan," jelas Presiden Persatuan Kembara Negara (PKN), Datuk Khalid Yunus.

Larian di Gunung Nuang ialah sirkit pertama sebelum pertandingan kedua menyusul di Gunung Besar Hantu, Kuala Kelawang, Negeri Sembilan pada bulan Julai.

Kemudian, Gunung Bujang Melaka yang berlokasi di Kampar, Perak bakal diteroka pada 8 November nanti.

Mencari Raja Gunung

M2M09 turut menampilkan beberapa pembaharuan. Antaranya adalah menyediakan kategori pelajar institusi pengajian tinggi dan media, selain membuka penyertaan kepada atlet antarabangsa.


DUA orang peserta berehat seketika untuk melepaskan lelah.


Istimewanya kategori media, peserta diberikan tugasan menyelesaikan masalah ketika larian, memandangkan jarak lariannya tidak jauh. Ditentukan oleh jawatankuasa pertandingan, peserta perlu mencari barang-barang tertentu untuk dibawa turun.

"Kenapa wartawan tidak masuk? Kalau lari sikit-sikit pun awak boleh dapat hadiah," seloroh Khalid.

Menurut Khalid, pihaknya ada menyediakan satu anugerah khas. Pelari yang meraih mata tertinggi daripada ketiga-tiga pertandingan iaitu di Gunung Nuang, Gunung Besar Hantu dan Gunung Bujang Melaka akan ditabalkan dengan gelaran King of the Mountain atau Raja Gunung.

Sistem mata akan menentukan siapakah juara sebenar. Syaratnya, peserta mesti mengambil bahagian dalam ketiga-tiga sirkit ini.

"Di Eropah, pertandingan sebegini sangat popular. Misalnya ada pertandingan Everest Base Camp Run di Nepal. Malah, di Sabah pun ada pertandingan yang sama. Cuma di Semenanjung Malaysia, tiada siapa yang mahu anjurkan. Sebab itulah pihak PKN laksanakannya.

"Apabila PKN ditubuhkan, salah satu agenda tahunannya adalah menganjurkan larian gunung. Selain untuk mempopularkan sukan ini, PKN berharap dapat mengenal pasti pelari yang boleh diketengahkan di peringkat antarabangsa,

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: