Tuesday, April 21, 2009

Hollywood: Bai tak takut mencuba


CABARAN terhadap pelakon tidak hanya menjiwai watak yang dibawa. Malah, pelakon yang berani melakonkan aksi lasak memberikan kelebihan kepada diri sendiri. Bagi aktres kelahiran China yang menempa nama di Hollywood, Bai Ling, dia menyifatkan keberaniannya untuk melakonkan aksi lasak dan berbahaya menerusi filem baru, Crank: High Voltage tidak sekadar mencabar diri, tetapi memberi pengalaman menarik.

Katanya, filem arahan bersama Mark Neveldine dan Brian Taylor ini memberi ruang kepadanya untuk berkongsi idea aksi lakonan yang ingin ditonjolkan. Dalam filem ini, dia memberanikan diri melakonkan aksi kemalangan dua jentera membabitkan kereta yang dipandunya dilanggar kereta lain hingga melambung ke udara.

"Aksi berkenaan berlaku dengan pantas dan selepas dilanggar, badan saya seperti melayang ke udara. Memang aksi itu cukup berbahaya dan ia hampir mencederakan hidung saya.

"Namun, karakter yang saya bawa bukan berdasarkan penampilan masyarakat Asia. Pada saya, watak sebagai Ria menarik kerana dia diselamatkan watak utama, Chev Chelios (lakonan Jason Statham) dan kemudian mereka menjadi rapat untuk bekerjasama menewaskan musuh.

"Ada ketika watak antara kami menjadi romantik mungkin kerana saya sering bersama Chelios. Atas sebab itu, teman wanita Chelios, Eve (Amy Smart) berasa cemburu hingga kami bergaduh. Di sebalik elemen romantik, pertembungan antara watak kami juga mencetuskan gelak tawa pada penonton.

"Namun, apa yang saya lakukan hanya berlaku dalam filem dan bukan realiti sebenar hidup saya. Saya sanggup bergaduh dan berani melakukan apa jua cabaran menerusi filem. Di luar lokasi penggambaran, saya gemar tampil perasaan cinta kepada kehidupan dan berusaha membuatkan orang sekeliling saya gembira," katanya.

Hingga kini, Bai, 42, sudah terbabit dengan lebih 50 filem sejak memulakan karier lakon pada 1984. Bercerita mengenai pengalaman lakon sebelum ini, katanya sukar untuk mencari watak yang benar-benar memberi kepuasan dari aspek lakonan. Sambil merujuk pada filem Crank: High Voltage, dia akui ia adalah pengalaman yang menyeronokkan apabila pelakon diberi peluang untuk melakonkan aksi lasak yang dianggap ekstrem.

"Saya sebenarnya sanggup lakon pelbagai watak termasuk watak lelaki. Bagi saya, setiap watak mempunyai alasan yang kukuh untuk diwujudkan dalam filem. Menjadi pelakon, saya mahu mencuba sesuatu yang baru yang mungkin sebelum ini tidak berani dilakukan pelakon lain.

"Jika ada adegan yang mahu saya berbogel, saya fikir ia tidak menjadi masalah kerana apa yang saya lakonkan adalah watak yang dianggap penting untuk kekuatan sesebuah filem. Selain filem Crank: High Voltage, saya juga terbabit dengan filem baru, Love Ranch arahan Taylor Hackford yang turut dijayakan Gil Birmingham, Joe Pesci dan Helen Mirren.

"Menariknya, dalam filem ini saya melakonkan watak Samantha Smoke yang bekerja sebagai pengusaha rumah pelacuran. Sebenarnya, filem ini diadaptasi daripada kisah benar yang berlaku di Nevada pada zaman 1970-an. Saya memang teringin untuk kembali berlakon filem di negara asal saya. Filem sebenarnya adalah untuk semua pelakon tidak kira asal-usul. Bagaimanapun, kebanyakan filem Asia majoriti dibintangi pelakon Asia," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: