Wednesday, April 8, 2009

Fiesta Fesyen hangatkan ABPBH2008


Kehadiran tetamu diraja memeriahkan lagi acara mempromosikan seni tenun tanah air

SETELAH berakhirnya enam siri jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, Ahad lalu di Klang yang bertujuan untuk merancakkan kehadiran anugerah berprestij itu dpada 12 April ini, promosi untuk menghangatkan lagi ABPBH tidak terhenti setakat itu.

Pada Isnin lalu, Berita Harian terus memanaskan ABPBH 2008 yang akan menyingkap tabir empat hari saja lagi di Arena Of Stars, Genting Highlands apabila buat julung kalinya menganjurkan Fiesta Fesyen Kuala Lumpur (FFKL) yang bertemakan Sentuhan Tenun.

FFKL yang berlangsung selama dua hari bermula Isnin lalu di pusat membeli belah One Utama manakala Gala FFKL diadakan di Hotel One World itu memberi peluang kepada pereka terkenal tanah air dan pereka muda serta penenun songket terkemuka negara mempamerkan ciptaan fabrik menggunakan songket dan kain tenun eksklusif sebagai sebahagian daripada elemen rekaan busana masing-masing.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah berkenan mencemar duli menghadiri Gala FFKL. Turut hadir isteri Pengerusi The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Puan Sri Hajah Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Anthony Firdaus Bujang; Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Manja Ismail dan Timbalan Pengarang Kumpulan BHSB, Mustapa Omar.

Manja dalam ucapannya berkata, ABPBH2008 yang mengetengahkan Sentuhan Tenun sebagai tema anugerah itu secara tidak langsung membantu mempromosikan pemakaian tenun atau songket di kalangan selebriti, penggiat seni dan seterusnya peminat seni tanah air terutama generasi muda.

“Bagi menghangatkan lagi kehadiran ABPBH 2008, Berita Harian buat julung kalinya menganjurkan acara pertunjukan fesyen ini dengan matlamat mengangkat kain tenun seperti songket dan tenun Pahang ke peringkat lebih tinggi.

“Sebagai penganjur, kami berharap pertunjukan fesyen ini dapat meningkatkan pemakaian kain tenun yang menjadi warisan tradisi kita bukan saja di negara ini, bahkan di persada antarabangsa serta meningkatkan warisan dan budaya bangsa,” katanya.

Pada majlis berkenaan, 10 pereka fesyen terkenal, muda serta pembuat kain tenun terbabit di dalam pertunjukan fesyen yang mempamerkan hasil sentuhan mereka mengikut tema ABPBH tahun ini.

Mereka ialah Hatta Dolmat, Rizman Ruzaini, Hazwani Othman, Chandra Shegar, Calvin Thoo, Amir Luqman, Aidawati Saidin, Nazreen Idris, Zery Zamry dan Nik Erwan Roseli.

Sementara penenun yang memberikan kerjasama ialah Manang Songket, Bibah Songket, Wan Hasnan Songket (Sri Gamelan Songket), Zaidah Songket, Atikah Songket TTD, Tenun Diraja Pahang Felda Chini 05, Terengganu Songket, Perusahaan Tenun Pulau Keladi, Nur Atikah Songket dan Tenun Corak Tun Razak.

Di majlis yang sama juga beberapa artis tempatan turut mempamerkan kebolehan mereka berjalan di pentas peragaan iaitu Cheryl Samad, Sazzy Falak, Saida Tarudin dan Marsha. Manakala Nikki pula menghiburkan tetamu pada majlis itu dengan sebuah lagu Inggeris.

Selebriti harap FKKL jadi acara tahunan

SELAIN tetamu kehormat, majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran finalis ABPBH 2008 yang hadir memberikan sokongan kepada FFKL seperti Maya Karin, Fara Fauzana, Kenchana Dewi, Faizal Ismail, Ashraf Muslim dan Aizat.

Calon bagi kategori Pelakon Filem Wanita Popular, Maya Karin berkata, dia tertarik dengan pertunjukan fesyen yang menggabungkan elemen moden dan tradisional itu.

“Walaupun saya keliru dengan pelbagai fiesta fesyen yang diadakan sejak akhir-akhir ini, namun secara jujurnya FFKL satu majlis yang sangat bermanfaat kerana memartabatkan seni warisan tempatan apabila mengangkat songket dan tenun sebagai tema utamanya. Secara tidak langsung, majlis ini turut menaikkan nama pereka fesyen tempatan,” katanya yang bakal menggayakan rekaan yang diilhamkan daripada Anugerah Oscar hasil sentuhan Albert King.

Ditanya debaran menghadapi ABPBH 2008 yang bakal berlangsung tidak berapa hari saja lagi, calon bagi kategori Pelakon Filem Wanita Popular itu berkata, debarannya tidak lagi sekuat dulu kerana ini bukanlah kali pertama namanya dicalonkan, malah dia tidak meletakkan harapan besar untuk memenangi kategori berkenaan setelah dua kali memenangi kategori sama.

Bagi calon kategori Pelakon TV Lelaki Popular, Ashraf Muslim, ini adalah kali pertama dia menyaksikan pertunjukan fesyen.

“Saya berpendapat majlis yang memartabat warisan tempatan seperti songket ini wajar diadakan pada masa depan. Takkanlah kita hanya mahu moden sentiasa sehingga lupa asal usul dan warisan budaya bangsa sendiri,” katanya yang gembira kerana namanya dicalonkan di samping artis popular tanah air yang lain.

Sementara itu, Kenchana Dewi pula berkata, pertunjukan fesyen seperti ini memberi peluang kepadanya untuk melihat sentuhan pereka tempatan yang kreatif dan membanggakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: